Thursday, 28 August 2014

Itu bukan koleksi saya! kata Rozita Che Wan

SEJAK dahulu lagi, nama Rozita Che Wan, tidak pernah sunyi daripada pelbagai jenis kontroversi.

Walaupun Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta, ini pernah memberitahu perkahwinannya pada Disember tahun lalu diharapkan dapat menamatkan kontroversi, namun ianya dilihat masih belum berakhir.

Lumrah kehidupan selebriti, apa sahaja yang dibuat pasti ada cacat celanya walaupun perkara itu bukanlah disengajakan.
Terbaharu, perkongsian foto suaminya, Zain Saidin yang baharu sahaja menjalani rawatan bekam, mendapat pelbagai reaksi daripada peminat.

Menariknya, foto itu turut disertakan dengan gurauan Zain bertulis 'Apabila Rozita Che Wan buat love bite'.

Melihat perbualan dan komen peminat di Instagram pelakon Oh My English itu, rata-rata menganggap ianya hanyalah gurauan nakal Zain.

"Saya tak nampak apa-apa yang pelik pun pada gambar itu. Orang bodoh sahaja yang cakap saya yang buat 'love bite'.

"Pada saya, Zain hanyalah ingin bergurau dan melawak. Itu sahaja," kata pelakon Kiah Pekasam ini.

Pun begitu, perkongsian gambar berkenaan turut mencuri tumpuan banyak 'mata' ke arah  longgokan beg tangan berjenama di atas almari, kononnya milik Che Ta.

Bertanya mengenai perkara itu, bakal ibu ini menafikan koleksi itu adalah miliknya.

"Itu bukan koleksi beg tangan saya! Itu adalah kepunyaan ibu saya dan foto itu dirakam ketika berada di rumahnya," katanya.

Enggan mengambil pusing cakap-cakap orang mengenai dirinya dan keluarga, Che Ta mengakui dia sudah lali dengan semua itu.

Kata pelakon drama, Kiah Pekasam ini, dia tidak akan melatah dengan isu sebegini kerana ianya sudah biasa menghimpit dirinya.

"Sebenarnya, saya malas dah nak ambil pusing mengenai perkara begini kerana tidak mendatangkan apa-apa faedah.

"Biarlah mereka nak kata apa pun, saya dah biasa dengan benda begini," katanya yang bakal melahirkan cahaya mata ketiganya pada Oktober nanti.

Berat badan bertambah

Hampir 16 tahun tidak mengandung, kini di usia 41 tahun, Che Ta masih kelihatan anggun walaupun berbadan dua.

Akui tidak sabar untuk menyambut kelahiran cahaya mata pertama bagi perkahwinan keduanya itu, Che Ta memberitahu proses kehamilannya membawa kepada beberapa perubahan.

"Walaupun saya tidak mengalami alahan teruk dan mengidam macam-macam, namun saya tidak terlepas dari pertambahan berat badan lebih kurang 17 kilogram.

"Selain itu, sejak hamil ini, saya suka makan burger daging, Sebelum ini, memang saya tak makan.

"Perubahan emosi seperti cepat marah juga ada tapi tidaklah keterlaluan," katanya.

Lebih menekankan soal keselamatan kandungan dan memberi penjagaan yang sewajarnya, ibu kepada  Ammar Effendy, 18, dan Aniq Ezzra, 16, ini telah mula berehat dari kerja-kerja lokasi sebelum Ramadan lagi.

"Insya-Allah, saya merancang untuk menjaga sendiri bayi kami nanti sehingga habis tempoh berpantang dan menyusu.

"Selepas itu, barulah saya mempertimbangkan untuk kembali bekerja," kata duta Safi Rania Gold ini.
Sumber : SH

Baca lagi >>

Wednesday, 27 August 2014

2 banduan dipenggal kepala semasa rusuhan di penjara

PARANA - BRAZIL. Banduan di sebuah penjara di Brazil memberontak, menuntut diberikan kemudahan dan bangunan baru dan diberikan makanan.

Dua orang banduan dipenggal kepala, dua banduan lagi dicampak dari bumbung dan dua pegawai keselamatan penjara dijadikan tebusan.

60 peratus kawasan penjara dikuasai oleh banduan, menurut jurucakap kehakiman negara, Elson Faxina.
Selain daripada itu, keperluan air dan elektrik telah dipotong, dan pegawai polis telah ditempatkan di penjara berkenaan.

Faxina juga memberitahu, pemberontakan berkenaan juga mempunyai kaitan dengan pergaduhan antara kumpulan pengedar dadah.

Penjara berkenaan, Pusat Pemulihan Cascavel terletak di selatan bandar Parana dan memuatkan 1,140 orang banduan.

Sumber: SH

Baca lagi >>

Dulu gaji RM10 sehari

Bermula dengan gaji RM10 sehari, kini Suhaimi Embong, 44, bergelar usahawan berjaya dan memegang jawatan Pengarah Urusan di dua buah syarikat kain terkenal di Terengganu iaitu Desa Murni Batik Sdn Bhd dan Desa Murni Batik Holding.

Suhaimi dari Pulau Rusa di sini, mula berkecimpung dalam bidang perniagaan tekstil sejak berumur 18 tahun setelah selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Semasa Desa Murni ditubuhkan pada 1974 oleh ayah saya Embong Su, 70, di Pulau Rusa bermodalkan hanya RM4,000, beliau menjalankan perniagaan kain batik dengan 30 pekerja termasuk saya bergaji RM10 sehari.
"Namun setelah saya mengambil alih Desa Murni pada tahun 2005, perniagaan mula berkembang selepas membuka sebuah pusat membeli-belah di Pekan Kuala Berang pada 2006", katanya ketika ditemui Bernama.

Suhaimi berkata setelah beliau menerajui Desa Murni, pembekal kain batik dan sutera terbesar di Terengganu itu kini mempunyai 12 cawangan selain di Kuala Terengganu. Antara cawangan itu ialah di Kemaman, Kota Baharu di Kelantan, Temerloh di Pahang, Shah Alam dan Wangsa Walk di Lembah Kelang.
   
Apa yang menarik adalah Desa Murni juga memiliki kilang memproses kain batik digital terbesar di Asia Tenggara.
   
"Kilang kain kami memang besar dengan peralatan dibeli dari Itali. Ini kerana kita mahu modenkan batik, dengan corak yang canggih," kata anak sulung daripada empat beradik itu.
   
Suhaimi berkata Desa Murni mendapatkan rekaan dan corak baru batik dan sutera daripada pelajar-pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Universiti Sains Malaysia (USM) dan pereka terkenal yang lain.
   
Ketika ditanya mengenai promosi Desa Murni yang selalu menggemparkan pelanggan apabila menawarkan harga serendah lima sen, Suhaimi berkata itu adalah strategi perniagaan.
   
"Kedai-kedai Desa Murni di Pengadang Baru, Pekan Batu Enam dan gedung kain terbarunya di Gong Kapas di sini mengadakan jualan barangan seperti talam, set mangkuk dan selendang dengan harga hanya lima sen.

"Orang ramai datang berebut-rebut untuk mendapatkan barangan berkenaan yang kita hadkan tempoh promosi dan kuantitinya", katanya.
   
Mengenai cabaran dan persaingan dalam perniagaan, Suhaimi berkata Desa Murni menghadapi cabaran daripada kain-kain yang datang dari China, India dan Indonesia. Namun Desa Murni menghadapi segala cabaran itu dengan semangat yang kental dan lagipun ia mempunyai pelanggan setianya sendiri.
   
Sejak beliau mengambil alih perniagaan bapanya, syarikat itu terus berkembang maju dan ketika ini terdapat seramai 300 pekerja di kedai-kedai Desa Murni seluruh Terengganu.
   
Pada Disember lepas, Suhaimi dianugerahkan sebagai Tokoh Usahawan Terengganu 2013.
   
Mengenai anugerah yang dimenanginya itu beliau berkata, anugerah daripada Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu YPU sangat bermakna dan memberi dorongan kepada beliau untuk meningkatkan lagi perniagaan. 
Sumber : Bernama

Baca lagi >>

Tuesday, 26 August 2014

Kepala ular putus gigit chef hingga mati

SEORANG chef yang sedang memasak hidangan sup daging ular tedung maut selepas digigit oleh kepala ular berkenaan yang sudah dipotong.

Peng Fan, seorang chef di China digigit kepala reptilia berbisa berkenaan ketika hendak membuangnya ke dalam tong sampah.

Menurut laporan Mirror.uk, beliau dilaporkan maut sebelum dapat dirawat dengan penawar bisa ular di hospital.

"Ia adalah satu kes yang luar biasa.

"Beliau sedang menyediakan hidangan tersebut dan beliau cuma tidak bernasib baik," kata seorang jurucakap polis.

Menurut seorang pakar ular, semua reptilia masih mampu hidup sejam selepas kehilangan mana-mana anggota badan.

Sumber : SH

Baca lagi >>

Monday, 25 August 2014

Sebenarnya 24 jenazah mangsa MH17 sudah dibawa pulang

Dua puluh empat mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 telah dibawa pulang ke Malaysia sehingga semalam dengan dua daripadanya tidak didedahkan identiti atas permintaan keluarga.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata 20 jenazah tiba di Malaysia pada 22 Ogos, satu jenazah pada Sabtu (23 Ogos) dan tiga semalam.

Pada Jumaat, kumpulan pertama 20 jenazah melibatkan 11 penumpang dan sembilan anak kapal dibawa pulang dari Amsterdam dengan sebuah pesawat khas dan diberi penghormatan mengikut adat istiadat tentera di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), Sepang.

Semalam, jenazah penyelia penerbangan kabin MAS, Mohd Ghafar Abu Bakar dan pensyarah Universiti Malaysia Sabah, Ng Shi Ing turut diberi penghormatan dalam istiadat serupa.

Bercakap dalam sidang media selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan kementeriannya di sini hari ini, Rohani berkata kerajaan perlu menghormati permintaan mana-mana waris yang mahu identiti mangsa dan kepulangan jenazah dirahsiakan.

"Syukur kerana urusan istiadat penghormatan dan pengebumian jenazah berjalan lancar dan mendapat kerjasama sepenuhnya daripada semua pihak khususnya anggota keluarga," katanya.

Rohani berkata kebanyakan kaum keluarga menerima nasihat supaya keranda mangsa tidak dibuka. 

"Emosi keluarga juga semakin baik. Kaunseling juga masih diberikan kepada yang memerlukan termasuk kepada waris mangsa yang telah dikebumikan," katanya. 
Sumber : Bernama

Baca lagi >>

Saturday, 23 August 2014

Punca PKR kalah di DUN Pengkalan Kubor

Bekas calon PKR DUN Pengkalan Kubor Saharun Ibrahim menyalahkan "parti sahabat" PKR di Kelantan yang didakwanya menyebabkan mereka tewas dalam pilihan raya umum Mei tahun lalu.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut secara langsung kepada PAS, yang merupakan parti Pakatan Rakyat yang dominan di di negeri pantai timur itu.

"Oleh kerana ini dalam majlis rasmi dan saya suka menjaga adab sedikit, bolehlah saya ringkaskan kita tidak menang adalah kerana kesilapan teknik yang berkait dengan hubungan kita dengan parti sahabat kita.

"Apa yang kita rancang rupanya tidak berjalan sebagaimana yang dirancang," katanya selaku perwakilan Kelantan ketika membahaskan ucapan dasar presiden pada Kongres Nasional Kesepuluh parti itu di Shah Alam, hari ini.

Dalam ucapannya, beliau cuba menggambarkan situasi tersebut dengan mengumpamakan usaha memungut buah durian.

"Ibaratnya memungut buah durian. Kami termasuk saya sudah memungut buah-buah durian yang secukupnya (dan) dibawa ke rumah.

"Saya simpan di dalam bilik. Saya kira buah durian itu dan didapati buah terlebih banyak daripada buah sebelah sana.

'Bilik dipecahkan'

"Tetapi apabila tiba pilihan raya, kita mendapat durian yang kurang.

"Saya buka bilik. Saya lihat rupanya lantai bilik tempat kita simpan durian itu sudah dipecahkan oleh orang di kalangan kita sendiri," katanya.

Pada pilihan raya umum itu, Saharun tewas kepada Datuk Noor Zahidi Omar.

Beliau mendapat 8,438 undi manakala Noor Zahidi memperolehi 10,174 undi dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary mendapat 65 undi.

Kerusi DUN Pengkalan Kubor kosong selepas Noor Zahidi meninggal dunia akibat kanser hati di sebuah hospital di Guangzhou, China pada 5.45 pagi, Rabu lalu.

Allahyarham selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Surau, Pasir Pekan di Tumpat malam tadi.
Sumber : MK

Baca lagi >>

Friday, 22 August 2014

Sahabat abadi kenangan bersama penumpang MH17 dalam bentuk video

Seorang pegawai bank yang begitu terasa dengan kehilangan seorang sahabatnya yang terlibat dalam tragedi MH17 di Ukraine pada Khamis, menzahirkan kesedihannya menerusi rakaman video.

azim Badri, 30, menghasilkan video ringkas khusus untuk mengenangi persahabatannya yang begitu akrab dengan Mohd Ali Md Salim (gambar), rakan sebaya.

"Video itu mengandungi gambar semasa saya pergi ke rumah sewanya di Rotterdam, Netherlands bulan lepas.
"Dia bawa saya melawat beberapa tempat menarik di Amsterdam," kata Hazim.

Video berdurasi 34 saat itu dengan kapsyen "Mohd Ali Md Salim (1984-2014) Allah sayang Ali..Kami sayang Ali" dimuatnaik dalam laman sosial Facebook sehari selepas nahas pesawat.

Hazim mengenali Mohd Ali sejak di bangku sekolah sekitar 1997 sehinggalah mereka sama-sama menjejakkan kaki di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Dalam tempoh dua hari, paparan video itu mendapat 117 “like” yang kebanyakannya datang daripada bekas pelajar UIAM, malah video itu turut dikongsi 57 pengguna Facebook lain.

Beliau berkata terdapat rakan-rakan Facebook yang mencadangkannya mengumpul dana untuk keluarga Mohd Ali.

Hazim berkata banyak kenangan antara mereka berdua memandangkan usia perkenalan mencecah 17 tahun sejak mula berkenalan di SMK Tun Perak, Muar.

"Kami berdua pernah belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Maahad Muar, Johor kemudiannya melanjutkan pelajaran ke UIAM dalam jurusan Psikologi.

"Kami terpisah apabila Mohd Ali menyambung pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Psikologi di sebuah universiti di Amsterdam, dijangka menamatkan pengajiannya tahun hadapan," katanya.

Beliau berkata jarak tidak pernah memisahkan mereka walaupun Mohd Ali melanjutkan pelajaran di Amsterdam, malah jarak itu menambahkan lagi keakraban persahabatan mereka.

"Kami sering berhubung melalui Whatsapp. Malah beliau menyuruh saya datang lagi sekali ke rumah sewanya untuk bersama-sama memandu ke Scandinavia.

"Saya juga ada bertanya bila beliau mahu pulang ke Malaysia dan tidak sangka beliau tidak akan kembali," katanya.

Pesawat MH17 yang membawa 298 penumpang termasuk 15 anak kapal itu berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengah hari (waktu Netherlands) Khamis lepas dan sepatutnya tiba di Kuala Lumpur pada 6.10 pagi (waktu Malaysia) Jumaat.

Bagaimanapun, pesawat malang itu terhempas dipercayai ditembak jatuh di timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia.
Sumber : MI

Baca lagi >>

Tragedi MH17 Mohd Ali antara Melayu bijak

Salah seorang mangsa nahas pesawat MH17 milik Penerbangan Malaysia (MAS) yang terhempas dipercayai ditembak jatuh oleh pengganas berhampiran sempadan Ukraine-Rusia, Mohd Ali Mohd Salim disifatkan sebagai antara Melayu bijak yang dapat mengikuti pengajian dalam bidang yang sukar.

Bekas pensyarahnya yang juga Pengarah Pusat Perkhidmatan dan Penyelidikan Neurosains, Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dr Jafri Malin Abdullah memberitahu, Mohd Ali bakal menamatkan pengajian Ijazah Kedoktoran "Development Neuropsychopathology" di Erasmus University, Rotterdam, Belanda dan merupakan bakal pensyarah.
“Saya tak tahu apakah dosa dan kesalahan yang telah Allahyarham lakukan sehingga tergamak pihak tidak bertanggungjawab membunuh dan membedil pesawat yang dinaiki oleh seorang permata negara,” luahnya ketika ditemui Astro AWANI di USM Kubang Kerian.

“Ia adalah qada’ dan qadar yang kita harus terima. Manusia merancang, Allah menentukan segalanya,” tambah beliau.

Menurut Dr Jafri, bakal pensyarah ini merupakan pensyarah pelatih di USM dan merupakan pelatih yang amat beliau sayangi dan sanjungi sejak mengenalinya hampir lima tahun lalu.

Mohd Ali menjadi pilihan bakal pensyarah sejak dipilih pada 2009 setelah berjaya mendapat Ijazah Sarjana (Master) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Kata Dr Jafri, kali terakhir beliau berbalas pesanan melalui email ialah dua hari sebelum hari kejadian dan Mohd Ali ada menyatakan hasrat untuk berhari raya di kampung setelah dua tahun tidak pulang.

Tambahnya, Mohd Ali seorang yang ringkas, berwawasan, rajin, berdedikasi dan bercita-cita tinggi untuk membantu anak muda dalam bidang yang dipelajarinya.

Bakal penyarah berusia 30 tahun itu juga disenangi oleh pensyarah di universiti di Rotterdam sejak dihantar ke sana oleh USM sejak 2011, dan amat rajin dalam bidang yang dipelajarinya.

Pada hari kejadian, Dr Jafri merasa tidak sedap hati sekitar pukul 9 malam dan pada pukul 11 malam apa yang beliau rasakan menjadi kenyataan apabila rakannya di Rotterdam memaklumkan Mohd Ali menaiki pesawat berkenaan.

Luluh hatinya apabila menerima berita berkenaan kerana Mohd Ali merupakan harapan keluarga dan juga harapan USM.

Mohd Ali Mohd Salim, berasal dari Kampung Jayor, Muar, Johor dan sepatutnya bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-30 pada 10 September ini.

Beliau  adalah anak keempat dari lapan beradik sedang mengikuti pengajian di bawah skim latihan kakitangan akademik (RLKA) Kementerian Pendidikan di bawah USM.

Mohd Ali merupakan salah seorang penumpang pesawat Boeing 777 penerbangan MH17 yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal dilaporkan terhempas ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur setelah hubungan pada 1415 (GMT) atau 10.15 malam waktu Malaysia.

Menurut kenyataan Twitter MAS, kedudukan terakhir pesawat Boeing 777 itu dikesan berada di ruang udara Ukraine berhampiran sempadan Rusia.

Pesawat itu berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengah hari Khamis dan sepatutnya tiba di KLIA pada 6.10 petang Jumaat, waktu Malaysia.
Sumber : Astro Awani

Baca lagi >>

Thursday, 21 August 2014

Tragedi MH17 Md Salim berdebar menunggu jenazah anak

Bapa kepada mangsa nahas pesawat MH17, Md Salim Sarmo mengakui semakin berdebar menunggu saat-saat untuk menerima jenazah anaknya, Mohd Ali Md Salim yang dijadualkan tiba pada Jumaat depan.

Pesara tentera itu memberitahu, perasaannya kini bercampur-campur antara sayu dan sedih tetapi redha dengan pemergian anak kenamnya itu.

"Saya dan keluarga akan ke Kuala Lumpur minggu depan sebaik sahaja akan mendapat arahan MAS nanti," katanya kepada MalaysiaGazette.

Mengakui setiap hari beliau dihubungi oleh kakitangan Malaysian Airline System Berhad untuk maklumat terkini namun tidak ada sebarang arahan untuk membawa beliau ke Amsterdam bagi mengiringi pulang jenazah anaknya itu.

Md Salim memberitahu, beliau sekeluarga sangat bersyukur kerana jenazah anaknya antara mangsa pesawat MH17 yang ditemui.

"Syukur..syukur kepada Allah. Sekurang-kurangnya jenazah anak kami ditemui dan semua urusan sudah semakin kepada penghujung.

"Pada masa sama saya berterima kasih kepada kerajaan kerana menepati janji untuk membawa balik jenazah warga Malaysia secepat mungkin sebaik sahaja semua urusan pengecaman selesai," tambahnya.

Beliau telah dimaklumkan majlis penghormatan terakhir kepada mangsa-mangsa nahas MH17 akan bermula pada pukul 10 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Katanya, kalau boleh beliau dan sekeluarga mahu segera membawa jenazah anak pulang ke kampung sebaik sahaja tiba di KLIA.
Namun, beliau akur majlis penghormatan oleh Kerajaan Malaysia itu kepada mangsa-mangsa nahas MH17.

Sejurus itu, jenazah anaknya akan diterbangkan mengguna pesawat Nuri ke padang Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Pagoh.

Tambah Md Salim, beliau menaruh harapan agar jenazah anaknya itu dapat terus dibawa ke kediaman mereka di Kampung Jayor, Pagoh untuk disembahyang sebelum dikebumikan di Makam Sultan Alauddin Riayat Syah di Kampung Raja.

"Segala urusan pengebumian sudah kami uruskan di sini dan saya berdoa semuanya dapat dipermudahkan.

Anaknya, Mohd Ali merupakan penuntut Doktor Falsafah dalam bidang Pembangunan Neutropsiko Patologi di Universiti Erasmus, Rotterdam dan dijadualkan tamat pengajian pada April depan.

Ketika kejadian nahas pada 17 Julai lalu, Mohd Ali dalam penerbangan pulang untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri dan sepatutnya tiba di kampungnya pada 19 Julai.
Sumber : MalaysiaGazette

Baca lagi >>

Monday, 11 August 2014

Sultan perkenan saya terus jadi MB

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan kepada beliau untuk meneruskan tugas sebagai menteri besar.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abul Khalid Ibrahim menunjukkan isyarat bagus selepas beliau selesai menghadiri Majlis Dewan DiRaja Selangor.di Istana Alam Shah, Klang, hari ini. 
Bercakap pada sidang media di bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, Abdul Khalid juga menegaskan beliau akan mengadakan pertemuan dengan semua Exco Kerajaan negeri Selangor dalam masa terdekat.
"Saya telah memperjelaskan bahawa di sebalik pemecatan saya sebagai ahi PKR, saya masih memperolehi kepercayaan majoriti Ahli Dewan Negeri.

Justeru itu DYMM Tuanku berpuas hati dengan penjelasan yang telah disembahkan dan selanjutnya DYMM Tuanku telah perkenan untuk saya terus memegang jawatan sebagai Menteri Besar Selangor," ujar beliau.

Sementara itu, Abdul Khalid turut memberitahu, beliau tidak menolak untuk menyertai mana-mana parti politik termasuk Pas selepas beliau dipecat daripada keahlian seumur hidupnya daripada PKR.

"Sehingga ada perkembangan baharu, saya masih kekal sebagai Menteri Besar Selangor dan akan menjalankan tugas seperti biasa," tambah beliau lagi.

Menurut Abdul Khalid lagi, beliau perlu mendapatkan sokongan sekurang-kurangnya empat orang Exco Selangor untuk terus menerajui kerajaan negeri itu.

Sehingga kini, Abdul Khalid berkata hanya empat Exco Selangor dari Pas telah menyatakan sokongan terhadap beliau untuk menerajui kerajaan negeri Selangor.

"Menurut artikel 53 (2) b Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor, Exco selain menteri besar mesti mendapat sokongan sekurang-kurang empat ahli atau maksimum 10 orang.

"Jika memenuhi syarat itu, barulah saya boleh meneruskan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri," katanya lagi.
Sumber : SH

Baca lagi >>

Sunday, 10 August 2014

Mangsa culik ditemui mati

GEORGETOWN - Mayat seorang lelaki warga Bangladesh yang diculik sekumpulan warga asing semalam ditemui dalam kawasan belukar atas Bukit Gambir di sini, hari ini.

Mayat lelaki berusia 39 tahun itu ditemui dalam keadaan berbogel selepas polis menerima maklumat kira-kira jam 1.30 petang.

Anggota bomba menurunkan mayat mangsa yang ditemui atas Bukit Gambir.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridaltrash Wahid berkata, sepasukan polis dikejarkan ke tempat kejadian dan mendapati mayat lelaki berkenaan adalah individu yang dilaporkan hilang selepas diculik sekumpulan warga asing yang dipercayai warga Myanmar.
Beliau berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang warga asing yang mendakwanya dan seorang lagi rakan diculik dan dibawa ke atas bukit berkenaan.

Menurutnya, mangsa memaklumkan kumpulan penculik berkenaan meminta wang tebusan RM200,000 daripada rakan-rakannya.

"Sebaik menerima laporan kira-kira jam 2 petang, kami menjalankan operasi mencari mangsa sehingga jam 7.30 malam tetapi gagal menemui sebarang kesan sebelum menerima maklumat mengenai penemuan mayat.

"Salah seorang daripada mangsa yang diculik berusia 33 tahun bagaimanapun berjaya melepaskan diri dan tampil membuat laporan polis," katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian.

Menurutnya, pemeriksaan yang dilakukan terhadap mayat mangsa mendapati terdapat kesan jerutan pada leher mangsa dan dipercayai mati dalam tempoh kurang 24 jam.

Mior Farid berkata, mayat mangsa dibawa turun dengan bantuan anggota bomba dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Kita juga akan memanggil kira-kira 20 rakan mangsa untuk diambil keterangan dan membantu siasatan," katanya.
Sumber : SH

Baca lagi >>

Pesawat Iran terhempas 40 maut

Sebuah pesawat milik Iran terhempas tidak lama selepas berlepas daripada lapangan terbang Iran dan mengorbankan kesemua 40 penumpangnya, lapor agensi berita Irna, yang memetik Persatuan Bulan Sabit Iran.

Gambar hiasan
Nahas itu dilapor berlaku ekoran masalah enjin.

Pesawat itu milik Taban Airlines dan pasukan penyiasat dalam perjalanan ke tapak nahas.
Ia berlepas daripada Lapangan Terbang Mehrabad di Iran untuk menuju ke Tabas, di timur negara itu pada 9.45 pagi (0515 GMT).

Seramai tujuh orang yang terkorban terdiri daripada kanak-kanak.

Sumber : MK

Baca lagi >>