Wednesday, 16 July 2014

Perempuan mengamuk kereta kena langgar mohon maaf demi masa depan anak

Seorang wanita yang dirakam dalam satu video menunjukkan kejadian buli jalan raya memohon maaf ke atas seorang warga emas atas tindakannya itu.

Siti Fairrah Asyikin Kamaruddin berkata beliau akan menemui pesara kerajaan itu dalam masa terdekat untuk memohon maaf.

Beliau turut memohon pengguna internet menyebarkan "permohonan maaf ikhlasnya" itu demi "masa depan anaknya".
"Ya, itu adalah kesalahan saya. Tolong pertimbang untuk masa depan anak saya. Saya mohon maaf.

"Tolong buang semua video. Saya galakkan semua media yang (muatnaik) video saya supaya membuangnya," tulisnya dalam laman sosial Facebook miliknya.

Katanya, beliau juga tidak puas hati kerana satu laporan Astro Awani menggelar beliau sebagai "wanita mengamuk" dalam tajuk berita.

Siti Fairrah, yang meluahkan kekesalannya dalam beberapa tulisan di Facebook, turut memaparkan kiriman SMS daripada pihak polis, meminta beliau memberikan kenyataan berhubung insiden itu.

"Berikan kekuatan. Saya akan hadapinya. Ramadan mengajar kita untuk tidak berkata buruk tentang saudara kita," tulisnya.
Sumber : MK

Baca lagi >>

Tuesday, 8 July 2014

YSLM diharamkan, kutip 300 juta daripada rakyat Malaysia

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengesahkan skim cepat kaya YSLM yang diasaskan oleh seorang warganegara China sebagai haram kerana dipercayai telah mengutip RM300 juta daripada orang ramai tanpa mengikut undang-undang.

Sekeping risalah skim piramid YSLM yang diedarkan di Malaysia.
Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Alias Ahmad berkata, pengasasnya, Zhang Jian, 26, mendakwa dia orang terkaya di dunia dan mahu membantu rakyat Malaysia untuk menjadi kaya dengan cepat.

Bagaimanapun siasatan pihaknya mendapati dakwaan syarikat itu tidak benar.
Beliau berkata, lelaki itu datang ke Malaysia awal tahun ini untuk mewujudkan skim penipuan itu.

"Siasatan mendapati skim ini adalah haram kerana ia langsung tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan juga tiada lesen daripada KPDNKK.

"Jadi saya katakan ia syarikat haram kerana bergerak secara tidak teratur dan tidak mengikut undang-undang," katanya ketika ditemui selepas majlis berbuka puasa bersama penduduk kawasan Dewan Undangan Negeri Seri Menanti di Kampung Galau/Mertang di sini malam kelmarin.

Turut hadir, Menteri KPDNKK, Datuk Seri Hasan Malek merangkap Ahli Parlimen Kuala Pilah.

YSLM mengunakan sistem piramid iaitu seseorang perlu mencari orang bawah bagi membolehkan pelabur menerima separuh daripada pelaburan pertama berjumlah RM300.

Pemeriksaan mendapati, peserta skim itu hanya perlu melabur sebanyak RM300 dan dijamin memperoleh pendapatan antara RM2,700 hingga RM6,800 sebulan.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Alias Ahmad berkata, syarikat itu didapati tidak berdaftar mengikut Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993.

Beliau berkata, kementerian memandang serius terhadap pelanggaran undang-undang dan peraturan yang dilakukan syarikat berkenaan.

"Syarikat yang ingin menjalankan perniagaan jualan langsung perlu terlebih dahulu mendapatkan kelulusan kementerian untuk memastikan aktiviti yang dijalankan adalah telus serta tidak menjurus kepada skim piramid yang merugikan pengguna.

"Siasatan sedang dijalankan ke atas syarikat ini di bawah Seksyen 27 (b) Skim Anti Piramid dan sebuah syarikat jualan langsung tempatan di bawah Seksyen 6(4) Pelanggaran Syarat Lesen mengikut  Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993," katanya pada sidang media khas di sini, Isnin.

Beliau mengulas mengenai skim cepat kaya yang diiklankan di internet melibatkan Zhang Jian yang mendakwa dirinya sebagai 'Bakal Orang Terkaya Di Dunia' menerusi papan iklan gergasi di Pulau Pinang.

Tambah Alias, berdasarkan siasatan awal, syarikat itu menawarkan pembelian pakej terpilih yang dijanjikan mampu menjana pulangan tinggi tanpa perlu menjual sebarang produk atau perkhidmatan.

"Malah peserta skim ini juga digalakkan mencari peserta bawahan bagi meningkatkan pulangan pendapatan," katanya.

Ditanya mengenai siasatan, Alias berkata, dua kertas siasatan dibuka terhadap syarikat milik warga China itu dan kaitannya dengan sebuah syarikat tempatan sejak 7 Februari lalu.

Bagaimanapun katanya, syarikat tempatan itu berdaftar di bawah Akta Jualan Langsung.

"Kita sedang menyiasat dan mendapatkan bukti sebelum diserahkan hasil siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurut Alias, bagi kesalahan kali pertama di bawah Seksyen 27(b), hukuman akan dikenakan adalah denda tidak kurang daripada RM500,000 dan tidak lebih RM5 juta atau kedua-duanya.

"Bagi kesalahan di bawah Seksyen 6(4), hukuman adalah pembatalan lesen jualan langsung," katanya.
Sumber : Kosmo, mStar

Baca lagi >>