Wednesday, 25 June 2014

Tiada kerjasama punca Hanez saman MAS

KISAH kontroversi yang membabitkan pelakon drama, Love You Mr Arrogant, ini nampaknya masih belum menemui penghujung.

Malah, pada minggu lalu, Hanez Suraya dan kekasihnya, Romie Razin Adilha, tampil memfailkan saman terhadap Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS), atas penyebaran tiket penerbangannya ke Bangkok pada April lalu.
Tindakan Hanez dan kekasihnya itu mengundang rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat, malah ada yang melemparkan pelbagai cemuhan.

Menurut Hanez, 29, tindakan saman itu dilakukan selepas MAS gagal memberi maklum balas mengenai penyebaran tiket penerbangan mereka.

"Saya bagi masa sebulan kepada MAS untuk memberi kerjasama dan berbincang dalam menyelesaikan masalah ini.

"Pihak saya inginkan penjelasan daripada MAS, bagaimana gambar tiket itu boleh tersebar.

“Malangnya, saya tidak mendapat kerjasama jadi saya tiada pilihan lain selain meneruskan tindakan saman," katanya ketika dihubungi Zass.

Tambah Hanez, penyebaran tiket penerbangannya itu membuatkan dirinya menerima pelbagai bentuk cemuhan dan kritikan daripada masyarakat.

Malah, tindakan undang-undang yang diambilnya juga tidak mampu menutup mulut mereka yang terus menghentam, malah keadaan menjadi semakin parah.

"Ada pihak yang kata saya terlalu cepat mahu saman sedangkan sebelum ini saya telah berusaha untuk berbincang.

“Kepada mereka yang memberi pendapat negatif, saya harap mereka baca sepenuhnya cerita yang dipaparkan sebelum melemparkan tohmahan kepada saya,” katanya lagi.
Sumber : Sinar Harian