Friday, 31 January 2014

Si kakak Anis memasak, si adik Aisya menyanyi

SIAPA sangka, bermula daripada hobi akhirnya ia berkembang menjadi kerjaya pilihan cukup menarik dalam hidup. Begitulah yang berlaku kepada pasangan adik-beradik, Anis Nabilah Umaruddin atau Chef Anis, 27, dan Aisyah Hasnaa Umaruddin (Aisya), 23, kedua-dua berjaya merealisasikan impian yang diidamkan sejak kecil.

Anis kini dikenali sebagai chef muda yang mempunyai ramai peminat di kala­ngan kaum wanita dan ibu. Kebijaksanaannya dalam mengendalikan rancangan masakan antaranya Icip-Icip dan Rasa-Rasa berbeza de­ngan program masakan lain kerana Anis banyak berkongsi bersama penonton dan peminat bagaimana menyediakan sajian ringkas, cepat, sedap dan murah. 

Keletahnya bersahaja juga turut menarik perhatian menyebabkan dalam masa singkat namanya sudah menjadi sebutan ramai.
Aisya pula mula mengem­bangkan bakat dalam bidang nyanyian, tampil dengan single pertama, Lagu Mahu Kamu dari album Aisya Hasnaa dan sudah menempa kejayaan awal apabila dicalonkan dalam kategori Artis Baru Wanita Terbaik di Anugerah Planet Muzik (APM) yang menghimpunkan penggiat muzik serantau.

Merealisasikan impian tidak mungkin akan tercapai tanpa sokongan orang tersayang. Bagi Anis dan Aisya, mereka bertuah kerana mempunyai keluarga yang sering memberikan dorongan antara satu sama lain.

Kata Anis, mereka ada lapan beradik, hanya seorang lelaki dan selebihnya perempuan.

“Kami cukup rapat antara satu sama lain dan apa juga yang dilakukan akan dibuat bersama. Cuma saya dengan Aisya paling serupa. Aisya memang minat bidang seni persembahan. Dulu sewaktu usia empat atau lima tahun, dia akan menyanyi dan memaksa kami menontonnya.

“Minatnya itu terus dikembangkan apabila bersekolah. Apabila ada saja hari keraian di sekolah, pasti Aisya terbabit. Pertama kali melihatnya beraksi di mini konsert yang dianjurkan sekolahnya membuatkan saya terharu dan menangis.

“Sejak itu saya sudah tahu dia akan bergelar penyanyi, apatah lagi sebelum menghasilkan album, dia sudah berpeluang mengadakan banyak persembahan termasuk menyanyi di hadapan Perdana Menteri. Apa yang saya bayangkan sudah terbukti apabila dia muncul dengan single Lagu Mahu Kamu,” katanya.

Anis akui dalam industri hiburan tempatan sekarang ramai penyanyi berbakat, namun dia yakin keberanian yang ada dalam diri Aisya akan membawanya melang­kah lebih jauh.

“Aisya seorang individu yang kuat semangat. Saya tidak risau dengan pembabitannya sebagai penyanyi kerana dia sangat bekerja keras dan akan cuba memastikan apa dilakukan akan membuahkan hasil. Begitu juga dengan album ini, ia adalah tanda usaha keras dilakukan Aisya,” katanya.

Mengenai kerjayanya selaku pengacara dan tukang masak, jelas Anis segalanya bermula empat tahun lalu apabila dia sedang mengikuti pengajian Seni Kulinari di Food Institute of Malaysia (FIM).

“Saya sendiri tidak pernah terfikir akan menjadi penga­cara rancangan masakan dan ditonton ramai. Waktu itu pihak penerbitan rancangan Icip-Icip menghubungi pen­syarah saya meminta pelajarnya hadir untuk sesi uji bakat. Sebulan kemudian, mereka panggil saya lagi untuk uji bakat kedua dan berjaya.

“Sewaktu mula-mula ber–aksi depan kamera memang terasa kekok tetapi mujur penerbitan Icip-Icip mempersiapkan saya terlebih dulu. Saya dilatih Ezzah Aziz Fauzy. Bermula dari situlah kerjaya saya sebagai pengacara dan chef berkembang sehingga ada rancangan dikendalikan disiarkan Asia Food Channel (AFC),” katanya.

Sejak itu juga Anis tidak lagi menoleh ke belakang dan banyak perkara sedang dirancang bagi memajukan lagi dirinya. Gadis manis bertubuh genit ini juga baru selesai menjalani dua rancangan masakan secara serentak dan bakal disiarkan sepanjang Ramadan nanti. Selain itu dia juga merancang menghasilkan buku masakan khas dan rancangan terbitan sendiri.

“Saya memang sedang menulis buku khas mengenai masakan. Saya mahu memberikan sesuatu berbeza kepada peminat iaitu menye­diakan satu buku yang bukan sana menampilkan resipi tetapi juga tip-tip berguna sebagai pengetahuan yang perlu ada pada setiap mereka yang gemar memasak.

“Saya juga mahu menerbitkan rancangan masakan lebih terperinci dan disiarkan di laman web,” katanya.

Sementara itu, kata Aisya, semua ahli keluarganya boleh memasak dengan baik tetapi hanya Anis dilihat mempunyai keinginan tinggi mendalami ilmu kulinari dan memilih untuk menjadi Chef.

“Dulu sewaktu kami kecil, ibu akan membawa lapan anaknya masuk dapur bagi melihat dia memasak. Itu saja cara yang ibu fikirkan kami semua akan selamat kerana ada depan mata. 

“Sebenarnya, kebolehan memasak yang kami miliki ini datang daripada ibu kerana dia memang sangat pandai memasak. Bayangkan kalau orang buat kek batik ada tiga warna, kami ada lapan warna. Ibu akan bagi setiap daripada kami doh untuk dicampur dengan warna kegemaran,” katanya.

Aisya juga memanjatkan kesyukuran atas kejayaannya dicalonkan di APM yang akan berlangsung pada 15 Julai ini. 

“Saya ingin berjaya dalam bidang diceburi kerana memang meminati seni persembahan dan mengikuti pengajian dalam bidang sama. Selain menyanyi, saya juga ada impian untuk melakukan perkara lain antaranya berlakon dalam drama teater muzikal.

“Bagaimanapun saya mahu beri tumpuan kepada promosi Lagu Mahu Kamu terlebih dulu. Sekiranya ia sudah kukuh barulah saya mencari ruang untuk berlakon dalam teater muzikal,” katanya.
Sumber : myMetro