Saturday, 24 May 2014

Minat menyanyi sejak dari kecil

"TANPA ku sedari kau tertinggal di hati, Tiada ku menduga rasa ini kan hadir, Maafkanlah aku bukannnya niatku untuk mencintaimu, Semua ini tiba-tiba, Biar, biar, biar aku menunggu, Sampai habis nanti semua hayatku, Biar, biar, biar aku tertunggu, Cinta tulus ikhlas dari hatimu..."

Jika menyebut nama Hani dan Zue, anda barangkali tertanya-tanya siapakah gerangan dua gadis tersebut.

Namun bagi mereka yang menggemari YouTube, kelibat dua gadis ini bukan lagi asing, malah lagu nyanyian mereka, Biar, sering ke udara di stesen radio Hot FM.
Lagu tersebut juga dinobatkan sebagai pemenang kitaran pertama Projek EP Hot FM (PEHF) yang dianjurkan oleh stesen radio Hot FM pada 10 Februari lalu.

Mendekati dua gadis berusia 20 tahun ini, terang Hani atau nama sebenarnya Nor Hanisah Hassan, dia dan Zue meminati muzik sejak kecil dan berkawan sejak tingkatan satu lagi.

"Kami sama-sama menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Permata, Petaling Jaya dan sama-sama juga meminati muzik. Biarpun kami kini menuntut di Universiti berlainan, tapi itu tidak membataskan kami untuk berjumpa, mengadakan latihan atau persembahan," ujarnya kepada Zass.

Tambah Hani, mereka juga sering memasuki pertandingan nyanyian lain seperti The Rising Star, Talent Help Universiti dan banyak lagi, namun selepas memenangi PEHF barulah mereka benar-benar dikenali.

"Kami banyak membuat cover lagu-lagu Inggeris yang jarang orang dengar. Jadi dari situ timbul idea untuk buat sedikit pembaharuan dan muat naik di YouTube.

"Alhamdulillah lagu yang kami nyanyikan diterima baik dan kami ramai pengikut yang terdiri di kalangan bukan Melayu. Tetapi selepas lagu Biar mendapat sambutan, kami mula ramai peminat Melayu dan dari situ ramai juga yang mula mengenali kami," katanya.

Pengalaman sahabat

Di tebak mengenai pembikinan lagu Biar, Zue atau nama sebenarnya Zuliana Mohd Eusoff menjelaskan, lagu itu pada asalnya dicipta pada 2010, namun terkandas di pertengahan jalan.

"Kami mendapat ilham untuk mencipta lagu tersebut berdasarkan pengalaman kawan-kawan yang jatuh hati dengan kawan sendiri.

"Pada asalnya kami cipta lagu itu pada 2010, tapi hanya separuh jalan. Namun pada penghujung 2013, baru kami menyambung dan menghabiskan keseluruhan lagi tersebut.

"Tak sangka Biar kini menjadi siulan dan diterima baik oleh pendengar. Ia menguatkan semangat kami lagi untuk berkarya," katanya.

Pembikinan album

Berkongsi perkembangan dua sahabat yang berasal dari Petaling Jaya ini, Hani berkata, mereka kini dalam proses mengumpul material bagi pembikinan album pertama mereka.

"Kami kini sedang mengumpul lagu-lagu terbaik yang pernah kami nyanyikan sebelum ini dan seterusnya akan dimuatkan di dalam album baru kami kelak.

"Konsep album kami Universal kerana kami tidak hadkan jenis muzik dan kami juga main berbagai-bagai jenis muzik," katanya.

Ditanya kesediaan mereka menjadi artis rakaman andai ditawarkan, Zue berkata, mereka kini masih berbincang dengan sebuah syarikat rakaman yang berhasrat untuk menyunting mereka.

"Ada beberapa syarikat rakaman yang melamar kami, tapi kami masih menimbang dan berbincang. Memandangkan kami orang baru, jadi kami agak risau juga andai kami di tipu," jelasnya.
Sumber : SH