Monday, 27 January 2014

Kamunting, pusat tahanan berkonsep penjara agro

Tempat Tahanan Perlindungan Taiping (TTPT) Perak yang dikekalkan sebagai pusat tahanan berkonsepkan penjara agro, akan menjadi pusat pelancongan pertanian terkenal di negara ini, menjelang 2020.
 
Ketua Pengarah Jabatan Penjara Datuk Seri Zulkifli Omar berkata TTPT akan membabitkan projek pertanian seperti penanaman sayur-sayuran, penternakan haiwan dan ikan serta perladangan kenaf.

"TTPT dijangka menerima pendapatan lebih RM1.5 juta setahun selepas semua projek pertaniannya disiapkan berbanding RM520,000 pada tahun lalu," katanya ketika mengadakan lawatan ke tempat tahanan tersebut di Kamunting hari ini.
    
Isnin lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata TTPT akan kekal sebagai pusat tahanan dengan konsep penjara agro selaras dengan konsep sara diri yang diperkenalkan Jabatan Penjara.
    
Ahmad Zahid berkata tempat tahanan yang lebih dikenali sebagai Kem Tahanan Kamunting akan diguna untuk mengeluarkan produk makanan seperti sayuran dan ikan bagi kegunaan banduan.
    
Zulkifli berkata antara projek yang akan dilaksanakan ialah meningkatkan pengeluaran ikan air tawar iaitu ikan keli daripada 51 kolam kepada 100 kolam yang boleh menghasilkan 500,000 ekor ikan dengan harga RM6.50 sekilogram.
    
Katanya, jumlah lembu ternakan akan ditingkatkan daripada 32 ekor kepada 100 ekor dalam tempoh terdekat hingga mencapai kapasiti 200 ekor lembu.
    
"Pusat sembelihan dan memproses daging lembu juga akan dilaksanakan," katanya.
Sumber : Bernama