Wednesday, 14 May 2014

Umno perlu elak pilihan raya negeri

Pihak Umno harus mencari jalan untuk menyelesaikan kemelut politik yang sedang melanda bagi mengelakkan berlakunya Pilihan Raya Negeri Terengganu yang nyata akan memberi cabaran hebat kepada BN.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, jika pembubaran Dun berlaku dan pilihan raya diadakan, pertemuan tiga penjuru antara Umno, Pas dan calon Bebas akan berlaku dan Umno bakal berdepan dengan kehilangan kuasa untuk terus memerintah di Terengganu.
"Dalam PRU lalu, Umno hanya meraih kemenangan tipis menentang Pas, jika pilihan raya negeri dijalankan, Umno harus bersiap sedia menghadapi segala komplikasi yang bakal timbul termasuklah kemungkinan untuk kalah dalam pilihan raya kali ini.

"Jika pilihan raya berlangsung, Pas sudah ada kelebihan tersendiri dan semestinya akan berusaha untuk tawan kembali Terengganu," katanya kepada Sinar Harian Online.

Menurutnya lagi, pihak Umno harus mengambil pendekatan yang lebih memberi manfaat kepada parti sendiri dan tidak menjejaskan kepimpinan parti tersebut.

"Jalan penyelesaian pasti bukan mudah bagi Umno, namun jika mereka mahu 'selamat' harus cari cara untuk berdepan dengan kemelut ini, lebih cepat selesai lebih baik.

"Ianya adalah masalah dalaman parti Umno dan tidak ada sebarang pihak luar sepatutnya campur tangan dalam krisis ini," tambahnya.

Mengulas mengenai keputusan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mengumumkan peletakan jawatan kerana kecewa dengan keputusan Perdana Menteri yang tidak menerima penangguhan pertukarannya selepas perkahwinan anaknya, beliau memperakui ianya satu keputusan yang berani dan tidak diduga.

"Ianya sebuah keputusan yang mengejutkan ramai pihak, bukan sahaja pada kedua-dua parti malah seluruh negara, saya tidak mahu ulas lebih lanjut, mungkin beliau ada sebab tersendiri atas keputusan yang diambil," katanya lagi.

Dalam perkembangan mengejutkan di Terengganu,  tiga Adun Umno termasuk bekas menteri besarnya mengumumkan keluar parti awal hari ini.

Ia mencetuskan krisis politik baru apabila BN kini menjadi kerajaan minoriti dengan 14 kerusi dalam Dun berbanding Pakatan (15) dan Bebas (3).

Namun penasihat undang-undang berkata, kerusi Speaker turut dikira sebagai satu menjadikan BN 15 kerusi dan kekal sebagai pentadbir kerajaan Terengganu.
Sumber : Sinar Harian