Friday, 9 May 2014

Sanggup korban nyawa demi rakan

Pasir Puteh: Keseronokan 109 pelajar tahfiz Madrasah Muhammadiah Pondok Beta Hilir, Dewan Beta, Kota Bharu, mandi-manda di Pantai Tok Bali, di sini, semalam, berakhir tragedi apabila seorang rakan mereka maut selepas menyelamatkan seorang rakan yang lemas.

Sekadar gambar hiasan
Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, Wan Muhamad Al Amin Ali, 18, meninggal dunia beberapa minit selepas menyelamatkan rakannya yang lemas, dipercayai kerana kepenatan menarik mangsa ke pantai.

Difahamkan selepas menarik rakannya yang berusia 22 tahun itu, Wan Muhamad Al Amin gagal mengapungkan diri dan terus tenggelam sebelum disedari rakan lain yang menantinya.

Dia dibawa naik ke darat dan diberi bantuan pernafasan, namun gagal diselamatkan.

Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, mangsa berasal dari Kampung Raja, Besut, Terengganu, adalah pengawas dan ketua pelajar madrasah berkenaan, menginap di chalet di Tok Bali selama dua hari bagi mengikuti program sahsiah pelajar.

“Kira-kira jam 9.30 pagi kumpulan pelajar yang berusia 13 hingga 25 tahun itu berpakat untuk mandi di pantai sebelum pulang ke Kota Bharu dan mereka dipantau Timbalan Mudir berusia 44 tahun bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Namun beberapa minit kemudian, seorang pelajar berusia 22 tahun yang berada jauh dari lokasi mangsa dan rakannya mandi, menjerit meminta tolong dan dia terjun memberi bantuan,” katanya.
Sumber : Harian Metro