Wednesday, 14 May 2014

Pernah terima upah menyanyi 80 sen

KEHADIRAN artis Seberang di negara ini bukanlah perkara baharu. Kini, giliran penyanyi bersuara serak basah, Cakra Khan, melancarkan album pertamanya setelah tiga tahun berada dalam industri hiburan Indonesia.

Ternyata, keunikan dan kehebatan vokalnya itu, nama penyanyi muda Cakra Khan terus mencetuskan fenomena baru bukan saja di negara kelahirannya Indonesia, malah turut meniti di bibir penggemar muzik di Malaysia, Brunei dan Singapura. 

Mengimbau kembali pencapaian karier nyanyiannya hari ini, Cakra memberitahu di sebalik kejayaannya itu adalah berkat sokongan dan doa keluarga terutama ibunya.

“Apa yang saya ada hari ini adalah atas berkat doa dan sokongan ibu yang tidak pernah putus sejak saya kecil lagi.

“Pernah satu ketika teman-teman menganggap saya gila kerana berangan untuk menjadi orang yang berjaya. Tapi ibu selalu beri nasihat agar menjadikan perkara itu sebagai motivasi,” katanya yang akan menunaikan nazarnya untuk membiayai keluarganya mengerjakan ibadah umrah dan haji tahun depan.

Cakra atau nama sebenarnya, Cakra Konta Paryaman akui gembira kerana kelahiran album pertamanya mendapat sambutan yang baik dalam kalangan peminat di Indonesia.

“Alhamdulillah, album saya di Indonesia telah terjual sebanyak 500 ribu unit.
“Terus terang, saya memang tidak percaya sudah sudah pergi sejauh ini. Kalau diingatkan, usaha saya untuk sampai ke tahap ini bukanlah mudah,” katanya.

Katanya lagi, apa yang diperoleh hari ini adalah atas usaha keras dan berkat doa keluarga buat dirinya.

“Saya mula menyanyi semenjak berusia 7 tahun. Ketika itu saya dapat bayaran sebanyak Rp2000 atau lebih kurang 80 sen wang Malaysia dan pernah juga menyanyi di jalanan.

“Ketika itu saya menyanyi bukan kerana wang, tapi atas dasar minat yang mendalam terhadap bidang nyanyian. Syukur kini semuanya berhasil,” ujarnya.

Terkenang ibu

Sempena pelancaran buah tangan sulungnya, penyanyi yang terkenal dengan lagu Harus Terpisah itu juga sempat meraikan sambutan Hari Ibu bersama peminatnya.

Tersentuh kerana ibu tercinta tidak berada di sisi, Cakra dilihat menitiskan air mata ketika menyampaikan lagu A Song For Mama pada majlis pelancaran tersebut.

“Sekarang kita sedang meraikan Hari Ibu, tapi pada masa yang sama ibu saya sendiri tiada di sisi dan ia buat saya sebak.

“Sepatutnya dia ada bersama saya di sini, tapi di atas beberapa sebab ibu tidak dapat sertai majlis ini.

“Walaupun sedih, namun saya masih gembira kerana dua hari lalu saya baru mendapat panggilan daripadanya. Ibu sempat berkata biarpun dia tidak bersama saya, namun doanya sentiasa mengiringi saya di sini,” ujarnya ketika diminta berkongsi perasaan sebaknya ketika membuat persembahan pada majlis pelancaran albumnya di Kafe Hard Rock, Kuala Lumpur.
Sumber : Sinar Harian