Monday, 12 May 2014

MB Terengganu sah bertukar

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin telah memperkenan pelantikan Datuk Ahmad Razif Abd Rahman sebagai menteri besar Terengganu, menggantikan Datuk Seri Ahmad Said.

Ia berkuatkuasa mulai tarikh mengangkat sumpah jawatan dan sumpah rahsia di hadapan baginda, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dalam kenyataan hari ini, lapor Bernama.

The Star sebelum ini melaporkan, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir dijangka mengangkat sumpah sebagai menteri besar Terengganu malam ini.

Ahmad, menteri besar dua penggal, dipercayai menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Sultan Terengganu pada hari ini.

Perkembangan terkini itu sekali gus menyebabkan berakhirnya spekulasi berterusan yang melanda negeri itu.

Sebelum ini dikatakan terdapat perjanjian antara Ahmad dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa beliau hanya akan memegang jawatan itu selama setahun selepas pilihan raya umum ke-13.
Sementara itu, Setiausaha agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam satu laporan Bernama mengesahkan pertukaran menteri besar tersebut.

Ahmad Razif angkat sumpah, sah MB Terengganu

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi, Tenaga, Teknologi Hijau dan Air negeri Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu menggantikan Datuk Seri Ahmad Said.
Razif, 49, mengangkat sumpah jawatan itu di hadapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah di sini pada 9.18 malam.  
    
Razif, lulusan Sarjana Sains dalam Bimbingan dan Kaunseling dari Universiti Putra Malaysia, pernah menyandang jawatan Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia.
    
Beliau juga menjadi Ketua Penerangan Umno Terengganu pada penggal lepas.
    
Ketika ditemui pemberita, Razif berkata beliau bersyukur kerana majlis peralihan kuasa kerajaan negeri berjalan dengan lancar.

Beliau turut memberi jaminan akan meneruskan perancangan yang dibuat Ahmad.
    
"Segala perancangan program untuk kebaikan rakyat, kita akan  teruskan. Saya berterima kasih kepada Datuk Seri Ahmad Said yang banyak mengajar saya.
    
"Banyak pengalaman bersama beliau yang boleh saya guna untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab saya," katanya.
    
Razif yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus pernah menjadi  Pengerusi Biro Pendidikan Umno Bahagian Kuala Nerus dari 2008 hingga 2013.
    
Beliau menjadi Adun Seberang Takir selepas  memenangi pilihan raya umum ke-12 pada 2008 dan mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya umum 2013.

Razif, yang mendirikan rumah tangga dengan Toh Puan Halina Zakaria, dikurniakan empat cahaya mata.
    
Sementara itum, Ahmad pertama kali dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu pada 23 Mac 2008 dan dilantik semula memegang jawatan itu pada 9 Mei tahun lepas.
     
Antara Menteri Besar Terengganu sejak 1959 ialah Mohd Daud Abdul  Samad dari PAS (1959-1960), Tan Sri Ibrahim Fikri Mohamad dari Umno (1960-1970),

Datuk Mahmood Sulaiman dari Umno (1970-1971), Datuk Nik Hassan Wan Abdul Rahman  dari Umno (1971-1974), Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad dari Umno (1974-1999), Datuk Seri Abdul Hadi Awang dari PAS (1999-2004), Datuk Seri Idris Jusoh dari Umno (2004-2008) dan Datuk Seri Ahmad Said daei Umno (2008-2014). 
Sumber : Malaysiakini, Bernama