Friday, 16 May 2014

MB Selangor 'diserang' ahli PKR

PETALING JAYA – Pekarangan Ibu Pejabat PKR di sini kecoh apabila calon Timbalan Presiden PKR, Tan Sri Abdul Khalid ‘diserang’ oleh seorang ahli PKR Cabang Kuala Selangor, hari ini.

Abdul Khalid yang baru selesai sidang media berhubung kekecohan pemilihan PKR 2014 bersama Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta dua calon Timbalan Presiden yang lain dihambur dakwaan bahawa beliau tidak telus dalam pemilihan.
Beliau yang kelihatan terpinga-pinga dengan tindakan ahli PKR itu sempat ditenangkan Anwar sebelum bergegas menuju ke keretanya dan meninggalkan premis berkenaan.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita, ahli berkenaan, Zulkifli Abdulllah menegaskan pihaknya telah membuat laporan polis manakala bukti penyelewengan pula sudah diserahkan kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP).

“Unsur-unsur gengsterisme ada dalam mesyuarat cabang itu sendiri. Orang yang tak sepatutnya ada dalam dewan pemilihan pun ada. Termasuk salah seorang ahli PKR yang telah dipecat.

“(Mereka disyaki berkempen untuk) Tan Sri Khalid. Ada (bukti) dan kita telah membuat laporan polis serta telah menyerahkan bukti kepada JPP iaitu rakaman suara dan rakaman video mengenai penyerahan wang daripada pihak yang berkempen untuk Tan Sri Khalid,” dakwanya.

Dalam pada itu, menurutnya ahli PKR di Kuala Selangor tidak kisah siapa yang menjadi ketua cabang asalkan individu berkenaan mampu bekerja untuk parti bukannya diri sendiri.
Sumber : SH