Friday, 9 May 2014

Lelaki Afrika Timur buruan INTERPOL ditahan

Seorang lelaki warga Afrika Timur berusia 34 tahun yang amat dikehendaki oleh Polis Antarabangsa (INTERPOL) kerana terbabit dalam aktiviti kumpulan pengganas Al- Shabab ditahan dalam satu operasi khas di Selangor, semalam.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, lelaki terbabit ditahan selepas anggota Bahagian Counter-Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman melancarkan operasi khas bagi memburu suspek yang bersembunyi di Selangor.

Menurutnya, polis sedang menjalankan siasatan susulan ke atas aktiviti suspek di Malaysia bagi mengenal pasti rangkaian kumpulan Al-Shabab yang berkemungkinan bersembunyi dalam negara atau menjalankan aktiviti yang boleh mengancam keselamatan negara.

“Suspek ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Bab VIa kesalahan berkaitan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Akta Keselamatan (Langkah - langkah Khas) 2012 (Akta 747),” katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan 11 individu berusia antara 22 dan 55 tahun termasuk dua wanita ditahan sejak 28 Mac lalu selepas dipercayai terbabit kegiatan militan di negara ini. Enam daripada suspek ditahan di Selangor tiga di Kedah manakala dua di Kuala Lumpur.
Sumber : Harian Metro