Tuesday, 13 May 2014

Jalan Duta jadi sungai

Kuala Lumpur: Hujan lebat lebih satu jam di ibu negara bermula jam 2.30 petang semalam menyebabkan beberapa kawasan rendah serta jalan raya utama dinaiki air sedalam antara 0.5 meter hingga satu meter.

Antara jalan yang terbabit ialah Jalan Duta, Jalan Chan Sow Lin, Lebuhraya Mahameru dan pusat beli-belah Leisure Mall, Cheras.

BANJIR kilat di Jalan Duta mengakibatkan ratusan kenderaan terkandas.
Skuad Bantuan Awal Sistem Maklumat Pengangkutan Bersepadu (ITIS) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, hujan lebat berkenaan juga menyebabkan beberapa kejadian pokok tumbang dilaporkan iaitu di Jalan Pudu, Jalan Tun Razak, Jalan Raja Chulan dan Bandar Tasik Permaisuri.
SEBUAH kereta cuba meredah banjir ketika melalui Jalan Maarof, Bangsar.
“Akibat hujan lebat, beberapa jalan dinaiki air serta dilanda banjir kilat yang mengakibatkan kesesakan lalu lintas luar biasa di beberapa jalan utama di ibu negara,” katanya.
SEBUAH kereta dihempap pokok tumbang, semalam.
Sementara itu, banjir kilat yang melanda ibu negara turut menyebabkan enam kereta terkandas di Jalan Maarof, Bangsar selepas paras air meningkat mendadak di kawasan itu.

Jalan jadi sungai sepanjang 100 meter

Pegawai Penyelaras Trafik 1, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Ketua Inspektor, Afzal Nizan Abd Latif,  berkata, antara lokasi paling terjejas adalah Jalan Duta di kedua-dua hala apabila dinaiki air sepanjang 100 meter.

Menurutnya, turut dinaiki air adalah di terowong Jalan Chan Sow Lin dan Jalan Maarof.

“Terdapat juga kejadian pokok tumbang di Jalan Raja Chulan, Jalan Ikan Mas dan Jalan Tun Razak (ranting) yang turut mengakibatkan lima kereta dihempap.

“Hampir 40 anggota diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga, termasuk kren tunda. Ia tidak termasuk anggota-anggota yang berada di lokasi terjejas bagi mengawal keadaan,” katanya

Di Perumahan Awam (PA) Sri Johor, Cheras, sebanyak 15 kereta terjejas apabila dihempap kepingan zink yang juga bumbung tempat letak motosikal di situ.

Hujan lebat dan ribut mengakibatkan bumbung berkenaan tercabut dan ‘terbang’, namun tiada kemalangan jiwa.

Di Lorong Periuk, Kampung Baru, sekurang-kurangnya 10 rumah terjejas kerana dilanda banjir kilat.

Keadaan tanah yang rendah membuatkan kawasan itu antara yang paling cepat dinaiki air.

Sementara itu, enam kenderaan dilaporkan terperangkap dalam banjir berhampiran Kuil Arulmigu Sri Ramalingeswarar, Jalan Maarof Bangsar, di sini.

Kejadian selama dua jam bermula  jam 2.30 petang itu mengakibatkan seorang pemilik kereta terpaksa meninggalkan keretanya di bahu jalan selepas kuil berkenaan ditenggelami air kira-kira 0.5 meter.

V Jayamalar, 50, berkata,  dia tidak menyangka kejadian itu akan menenggelamkan keretanya.

“Saya ke kuil untuk bersembahyang, kereta saya sudah ditenggelami air dan nasib baik tiada apa yang berlaku.

“Kereta saya terkandas selama dua jam sebelum ia dapat dialihkan selepas paras air di Jalan Maarof kembali surut,” katanya.

Difahamkan, banjir di kawasan Jalan Maarof berkemungkinan berlaku akibat limpahan air dari Sungai Klang.

Kejadian hujan lebat itu turut menyebabkan banjir di empat lokasi lain iaitu di sekitar Lebuh Raya Mahameru dan Leisure Mall Taman Segar.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata berkata, beliau menasihatkan pengguna supaya mengelak dari melalui jalan di kawasan tanah rendah serta mendapatkan maklumat mengenai cuaca melalui radio, televisyen mahupun sumber lain.

Beliau turut menegaskan kepada ibu bapa agar memantau anak-anak mereka dari menghampiri  kawasan-kawasan longkang atau sungai bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.