Tuesday, 13 May 2014

Faktor peribadi punca mereka keluar parti

Ketua Umno Bahagian Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafee berkata, tindakan dua lagi pemimpin yang mengumumkan keluar parti disebabkan faktor peribadi dan kesetiaan terhadap bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Mohd Jidin Shafee
Bagaimanapun, katanya, perkara itu akan diperbetulkan kembali dalam tempoh sehari dua bagi memastikan Umno Terengganu kembali bersatu.
Menurutnya, keputusan yang berlaku dalam tempoh singkat itu tidak memberi kesan kepada pentadbiran negeri yang kini masih sah diterajui BN.

Mohd Jidin turut menafikan khabar angin bahawa beliau akan keluar parti.

"Tidak. Perkara itu tidak akan berlaku. Kita di Setiu masih kemas dan sentiasa bergerak dan bekerja untuk rakyat," katanya.

Dalam masa yang sama, beliau yang juga Adun Permaisuri turut menafikan desas desus mengatakan tiga individu yang telah mengumumkan keluar parti iaitu Adun Kijal, Datuk Seri Ahmad Said; Adun Ajil, Ghazali Taib dan Adun Bukit Besi, Roslee Daud akan menyertai pembangkang.

"Itu semua berkait dengan perasaan sahaja. Insya-ALLAH, kita akan berbincang secara elok dengan mereka.

"Pejuang Umno yang kental tidak akan umum sertai pembangkang dan keadaan ini masih boleh diselamatkan," katanya.

Pas Terengganu sedia hadapi pilihan raya negeri

KEMAMAN - Ketua Dewan Pemuda Pas Kawasan Kemaman, Ramlan Mahmood meminta semua jentera Pemudanya bersiap siaga dengan segala kekuatan  untuk menghadapi kemungkinan berlaku pilihan raya negeri susulan krisis di Terengganu ketika ini.

"Dengan krisis MB (Menteri Besar) Terengganu dan perletakan jawatan oleh beberapa orang pimpinan Umno-BN sebagai Adun, saya menyeru semua jentera Pemuda Pas Kemaman bersiap siaga dengan segala kekuatan menghadapi segala apa jua kemungkinan yang berlaku.

"Mungkin pilihan raya negeri atau sebaliknya. "Tiba masanya untuk mencorak perubahan. Teruskan perjuangan," katanya.
Sumber : Sinar Harian 1, 2