Saturday, 10 May 2014

Ahli Pas Gombak sanggup bertanding atas tiket bebas

Dengan niat mahu memastikan hudud dilaksana di Pulau Pinang menjelang 2020, seorang anggota PAS Gombak hari ini menyatakan hasrat bertanding dalam PRK Parlimen Bukit Gelugor.

Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abdul Sathar, 63, yang ditemui pemberita selepas mengambil borang pencalonan di pejabat SPR di sini, juga berkata akan mendapatkan kebenaran berbuat demikian daripada Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
"Saya akan merayu dengan Presiden (Abdul Hadi) untuk bertanding dan saya ingat Presiden tidak ada halangan.
   
"Sekiranya tidak beri (kebenaran) akan bertanding atas tiket Bebas," katanya.
   
Sebelum ini dua individu lain turut menyatakan hasrat bertanding dalam PRK tersebut iaitu Naib Presiden Parti Cinta Malaysia Datuk Huan Cheng Guan dan pengurus beberapa inap desa Mohd Yacoob Mohd Noor.

Sebuah badan bukan kerajaan Penang Front Party turut menyatakan hasrat meletakkan calon.
   
Sementara itu, Ketua Menteri Lim Guan Eng ketika mengulas tindakan anggota Pas berkenaan berkata sesiapa sahaja boleh bertanding kerana ini negara demokrasi.
   
Bagaimanapun katanya anggota Pas itu haruslah bertanding atas tiket Bebas.
   
"Ini negara demokrasi dan sesiapa sahaja boleh bertanding tidak kira dari mana-mana pihak...siapa ahli mana-mana parti pun boleh bertanding secara Bebas bukan atas nama parti, katanya.
   
PRK Parlimen Bukit Gelugor diadakan berikutan kematian penyandangnya Karpal Singh dalam kemalangan jalan raya 17 April lepas.
   
SPR menetapkan 12 Mei sebagai hari penamaan calon, pengundian awal 21 Mei dan hari mengundi 25 Mei.
    
Dalam pilihan raya umum lepas, mendiang Karpal Singh yang juga bekas Pengerusi DAP, memenangi kerusi itu dengan majoriti 42,706 undi mengatasi lawan daripada Barisan Nasional Teh Beng Yeam yang memperoleh 13,597 undi. 
Sumber : Bernama