Wednesday, 30 April 2014

Pesawat pertama yang akan mendarat di KLIA2

Malindo Air hari ini mengumumkan penerbangan OD1027 dari Kota Kinabalu akan menjadi yang pertama mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) selepas tengah malam.

Penerbangan itu dijadualkan mendarat pada 12:05 pagi di landasan terminal klia2 yang akan menjadi hari bersejarah bagi Malindo Air dan industri penerbangan Malaysia.

"Kami sangat gembira tentang penerbangan pertama ini kerana kami telah bekerjasama rapat dengan Malaysia Airports Holdings Bhd dan Kementerian Pengangkutan untuk menyaksikan pendaratan itu sebagai hasil kejayaan usaha keras mereka.

"Kemudahan di klia2 dibina dengan amat baik sekali dan setanding dengan standard bertaraf dunia dan akan menyediakan pengalaman lapangan terbang yang mengujakan kepada penumpang kami," kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Chandran Rama Muthy dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata pembukaan klia2 melengkapkan kempen Melawat Malaysia tahun ini dan menambah bahawa perjalanan tambang rendah dengan nilai tokokan merupakan satu trend pada hari ini. 

"Ia permulaan yang baik bagi klia2, industri pelancongan dan syarikat penerbangan seperti Malindo Air," kata Chandran. 

Syarikat penerbangan hibrid itu, yang berpengkalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, menawarkan tambang murah dengan tokokan nilai dan mempunyai rangkaian perkhidmatan penumpang berjadual di Malaysia, Indonesia, Thailand, Bangladesh dan India. 
Sumber : Bernama