Wednesday, 30 April 2014

Yakin temui harta karun berbilion ringgit

JASIN – Meskipun belum menemui sebarang objek selepas kerja-kerja menebuk hampir selesai semalam, kerajaan negeri optimis harta karun berbilion ringgit yang dikatakan tertanam di Pulau Nangka di sini akan dapat ditemui.

BEBERAPA pekerja giat melakukan kerja-kerja menebuk lubang gua yang menempatkan harta karun di Pulau Nangka, Melaka semalam.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Pantai, Sungai dan Pulau-Pulau negeri, Datuk Ghazale Mohamad berkata, kenyataan itu bersandarkan perkembangan positif kerja-kerja penggalian yang dijalankan oleh syarikat Smart Partnership International (M) Sdn. Bhd.
Beliau berkata, sekiranya kerja menebuk lubang batu sedalam lima meter yang menutup tempat simpanan harta tersebut selesai sepenuhnya hari ini, semua persoalan mengenai kewujudan harta karun itu akan terjawab.

Sumber : Kosmo

Baca lagi >>

Wanita dominasi jawatan pengurusan dan profesional

Kira-kira 62 peratus atau 205,557 orang penjawat awam di peringkat pengurusan dan profesional tahun lepas adalah wanita.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun berkata beliau yakin pencapaian itu akan merintis laluan untuk mereka mendaki tangga kerjaya ke jawatan lebih tinggi.

Datuk Azizah Mohd Dun

Bercakap pada penutupan Persidangan Kepimpinan Wanita Dalam Sektor Awam dan Swasta di sini hari ini, beliau berkata Malaysia mengakui kepentingan bakat dan keupayaan wanita dalam persekitaran di tempat kerja.
Sementara itu, berhubung dasar untuk mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus wanita sebagai pembuat keputusan dalam sektor awam yang diumumkan kerajaan pada 2004, beliau berkata ia telahpun melepasi sasaran. 

"Peratusan melibatkan pembuat keputusan dalam sektor awam yang hanya 18.8 peratus pada 2004 telah meningkat kepada 30.5 peratus pada 2009, 31.7 peratus pada 2012 dan 33.7 peratus tahun lepas," katanya. 

Azizah berkata Malaysia turut mencatatkan perkembangan memberangsangkan untuk merapatkan jurang jantina dalam bidang profesional. 

Sebagai contoh, pada 2013, wanita membentuk 64.3 peratus daripada semua doktor gigi di negara ini, 50.3 peratus akauntan, 50.5 peratus peguam, 47.8 peratus doktor perubatan, 43.2 peratus juruukur bahan, 41.5 peratus doktor veterinar dan 34.7 peratus arkitek, katanya. 


Sumber : Bernama

Baca lagi >>

Pesawat pertama yang akan mendarat di KLIA2

Malindo Air hari ini mengumumkan penerbangan OD1027 dari Kota Kinabalu akan menjadi yang pertama mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) selepas tengah malam.

Penerbangan itu dijadualkan mendarat pada 12:05 pagi di landasan terminal klia2 yang akan menjadi hari bersejarah bagi Malindo Air dan industri penerbangan Malaysia.

"Kami sangat gembira tentang penerbangan pertama ini kerana kami telah bekerjasama rapat dengan Malaysia Airports Holdings Bhd dan Kementerian Pengangkutan untuk menyaksikan pendaratan itu sebagai hasil kejayaan usaha keras mereka.

"Kemudahan di klia2 dibina dengan amat baik sekali dan setanding dengan standard bertaraf dunia dan akan menyediakan pengalaman lapangan terbang yang mengujakan kepada penumpang kami," kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Chandran Rama Muthy dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata pembukaan klia2 melengkapkan kempen Melawat Malaysia tahun ini dan menambah bahawa perjalanan tambang rendah dengan nilai tokokan merupakan satu trend pada hari ini. 

"Ia permulaan yang baik bagi klia2, industri pelancongan dan syarikat penerbangan seperti Malindo Air," kata Chandran. 

Syarikat penerbangan hibrid itu, yang berpengkalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, menawarkan tambang murah dengan tokokan nilai dan mempunyai rangkaian perkhidmatan penumpang berjadual di Malaysia, Indonesia, Thailand, Bangladesh dan India. 
Sumber : Bernama

Baca lagi >>

MTES tarik balik pelaksanaan catuan air di Selangor

Selepas tekanan demi tekanan, Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) memutuskan menarik balik catuan air yang dilaksanakan negeri itu ekoran masalah kekurangan bekalan.

Perkara itu itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) yang dipengerusikan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim lewat petang semalam.

Sumber-sumber memberitahu Malaysiakini, cadangan penarikan balik catuan itu terbit daripada mulut Khalid sendiri.
"Khalid berkata keputusan itu adalah untuk rakyat Selangor," menurut sumber yang mengetahui tentang mesyuarat di pejabat MTES di Shah Alam lewat petang semalam.

Walaupun mendapat bantahan dari beberapa pihak yang menghadiri mesyuarat tersebut, Khalid dikatakan bertegas untuk mengakhiri catuan itu.

Keputusan itu sepatutnya diumumkan hari ini oleh exco Selangor Dr Abdul Yunus Hairi bagaimanapun ditunda kepada esok, selepas mesyuarat exco Selangor.

Tweet Khalid hari ini turut membayangkan perkembangan “positif” selepas hampir 2.9 juta pengguna bertahan hampir dua bulan sejak catuan diumumkan Mac lalu.

"Untuk makluman, pengumuman penting isu catuan air pada jam 2.30 petang ini akan ditangguhkan ke hari esok. Insya-Allah positif #DemiRakyat," tulisnya hari ini.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sebelum ini berkata, catuan tidak akan ditarik balik sehingga paras air di Empangan Sungai Selangor melebihi 55 peratus.

Bagaimanapun Khalid dikatakan membuat keputusan drastik dengan berharap paras empangan – kini 40.2 peratus – akan terus naik dengan bantuan pam bertekanan tinggi dan hujan sejak minggu lalu berterusan.

Mesyuarat exco minggu lalu meluluskan peruntukan RM10 juta bagi melicinkan operasi itu.

Jika gagal, bekalan yang ada sekarang hanya mampu bertahan 29 hari dan bakal menjurus kepada krisis yang lebih serius.

Empangan Sungai Selangor membekalkan 60 peratus keperluan air ke Lembah Klang.
Sumber : Malaysiakini

Baca lagi >>

Tuesday, 29 April 2014

Penjaga gol Terengganu terpaksa berehat

PENJAGA gol Terengganu, Mohd Sarbinee Allawee Ramli dinasihat oleh doktor agar berehat selama enam minggu ekoran kecederaan pada bahunya.

Beliau berkata doktor memberitahu kecederaannya itu mengambil masa untuk pulih.

"Jika mengikut tempoh rehat enam minggu itu, saya memang akan terlepas aksi sehingga Liga Super melabuhkan tirai. Namun jika saya cepat sembuh, saya bertekad akan kembali beraksi," katanya.
Sarbinee terpaksa diusung keluar seawal minit kedua ketika Terengganu menentang Perak di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini pada 19 April lalu.

Penjaga gol utama musim lalu Mohd Sharmiza Yusof dan penjaga gol ketiga Mohammad Izzuddin Hussin bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan Sarbinee. 

Sumber : Bernama

Baca lagi >>

Jepun tarik diri daripada mencari MH370

Menteri Pertahanan Jepun Itsunori Onodera pada Isnin mengumumkan kepada pasukan pencarian pesawat hilang MH370 negara itu bahawa misi mereka tamat setakat ini.

Ia berlaku selepas pencarian hampir dua bulan gagal mencari sebarang serpihan pesawat Malaysia Airlines (MAS) itu, lapor Kyodo.
Perdana Menteri Australian Tony Abbott pada Isnin berkata, pencarian akan segera memasuki fasa baru dengan “carian bawah laut dipergiat menggunakan teknologi berbeza” di kawasan lebih luas.

Pasukan Jepun dijadual pulang ke negara matahari terbit itu bersama pesawat P-3C mereka daripada pangkalan tentera udara Australia di Perth hari ini.

Pada pertengahan Mac, Onodera mengeluarkan arahan itu sejajar dengan undang-undang pentadbiran bencana alam negeri itu.

Mereka terbang ke Perth dari Malaysia pada hujung Mac untuk menyertai usaha carian di Lautan Hindi.

Pesawat MH370 hilang daripada radar di Laut China Selatan ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac.

Usaha pencarian memasuki hari ke-53 hari ini.
Sumber : Malaysiakini

Baca lagi >>

Bas ekspress Shamisha terbabas di Gua Musang

GUA MUSANG - Seramai 29 penumpang sebuah bas ekspres terselamat selepas kenderaan itu terbabas ke dalam parit di Km 3.5 Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Bandar Utama di sini hari ini.

Gambar hiasan bas ekspress Shamisha
Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata bas ekspres Shamisha Holiday itu remuk sedikit di bahagian depan dan tiada penumpang mengalami kecederaan.

Menurutnya, bas itu dipercayai hilang kawalan sebaik melepasi kawasan selekoh menuruni bukit sebelum terbabas memasuki laluan bertentangan lalu terhumban ke dalam parit dalam kejadian 3.30 pagi. 

"Bagaimanapun, penumpang yang menaiki bas yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Rantau Panjang itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan kemudian menaiki bas lain daripada syarikat sama untuk meneruskan perjalanan," katanya ketika dihubungi.
   
"Setakat ini, kita belum menerima sebarang laporan daripada pemandu bas berhubung kejadian itu," katanya. 
Sumber : Bernama

Baca lagi >>

Pesawat mendarat kecemasan sebab enjin terbakar

PERTH - AUSTRALIA. Sebuah pesawat penumpang dilaporkan telah berpatah balik di Lapangan Terbang Perth (Australia) pagi tadi dan telah melakukan pendaratan kecemasan selepas salah satu enjinnya terbakar sebaik sahaja berlepas.

Sebuah pesawat penumpang terpaksa berpatah balik ke lapangan terbang Perth pagi tadi selepas salah satu enjin terbakar sejurus berlepas. - Foto ABC News
Menurut  seorang penumpang pesawat Cobham Aviation memaklumkan, mereka (penumpang) melihat api marak dan asap dari enjin yang terbakar sebaik pesawat berlepas jam 10.30 pagi waktu tempatan.

Sementara Cobham Aviation Services dalam satu kenyataannya berkata, pesawat BAE 146 empat enjin itu kembali ke Lapangan Terbang Perth jam 10.53 pagi.

“Kejadian berlaku ketika pesawat sedang naik ke ruang udara apabila enjin nombor duanya tiba-tiba terbakar,” menurut kenyataan tersebut.

Ketika kejadian pesawat membawa 92 penumpang, dua juruterbang dan tiga anak kapal dan semua mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.

Manakala menurut penumpang pesawat, Jason Grimmett, kejadian berlaku kira-kira 10 minit selepas pesawat berlepas.

"Saya duduk di sebelah kanan enjin dan tiba-tiba kepulan asap keluar dari enjin.

"Minyak bertaburan di udara sebelum api menyambar dan keadaan panik ketika itu namun juruterbang bertindak pantas untuk menutup saluran minyak," katanya menurut laporan ABC News.

Pesawat bagaimanapun berjaya berpatah balik dan mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Barrow Island.
Sumber : Sinar Harian

Baca lagi >>

Lebih sebulan mayat tidak dituntut waris

GEORGETOWN - Hospital Pulau Pinang (HPP) mencari waris mayat seorang lelaki yang tidak dituntut di Jabatan Perubatan Forensik hospital itu sejak bulan lepas.

Gambar hiasan
Pengarahnya Datuk Dr Yasmin Sulaiman dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata lelaki berbangsa India dikenali sebagai Mohammad Ventakaraman, 47, itu meninggal dunia pada 22 Mac lepas akibat pneumonia. 

Mohammad Ventakaraman dikatakan beragama Islam dan beralamat terakhir di No.622 A, Kampung Sungai Merali, Batu 4 1/2 Jalan Gombak, Kuala Lumpur.

Beliau berkata waris mangsa boleh menghubungi Jabatan Perhubungan Awam HPP di talian 04-2225947/5116 untuk maklumat lanjut. 
Sumber : Bernama

Baca lagi >>

Monday, 28 April 2014

Banglo dua tingkat jadi sarang maksiat

BUKIT BERUNTUNG - Lokasi tersorok dan jauh daripada pandangan awam menjadikan sebuah banglo dua tingkat  berdekatan sebuah kelab golf di sini sasaran golongan remaja melakukan maksiat.

Kegiatan remaja lelaki dan perempuan berusia lingkungan 12 hingga 17 tahun seringkali dihidu penduduk di kawasan sekitarnya.

Keadaan dalam banglo yang dipercayai menjadi tempat remaja melakukan perbuatan sumbang dan menghidu gam.
Penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai nenek, 69, berkata, kumpulan remaja terbabit sering memasuki kawasan  hujung minggu di antara jam 5 hingga 7 petang.
“Selalunya nenek tengok budak naik motor beramai-ramai ke belakang nak hidu gam.

“Nenek dengar budak itu buat perkara tak senonoh lelaki dan perempuan. Lebih sedih perempuan dijadikan habuan bila ada perlumbaan motosikal,” katanya.

Manakala seorang lagi penduduk yang bekerja di kelab golf berkenaan dikenali sebagai Selvadewi, 40, berkata, dia dan suaminya pernah terserempak sekumpulan remaja bermotosikal kemalangan berdekatan banglo tersebut.

“Pakcik (suami) bersama pemain golf pernah tolong seorang budak perempuan yang cedera sebab jatuh bersama motosikal dalam longkang.

“Pakcik tanya budak tu, kamu perempuan buat apa dalam hutan ni dengan ramai budak lelaki, tapi lepas diselamatkan budak tu terus lari,” katanya.

Menurutnya, ini bukan pertama kali dia terserempak remaja bermotor masuk ke kawasan banglo itu kerana hampir setiap hujung minggu dan cuti sekolah pasti ada kumpulan bermotor masuk ke kawasan tersebut.
Sumber : Sinar Harian

Baca lagi >>