Wednesday, 5 February 2014

Pilihan raya kecil Kajang 23 Mac dengan kos RM1.6 juta

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 Mac sebagai tarikh pengundian bagi pilihan raya kecil (PRK) DUN Kajang, manakala penamaan calon ditetapkan pada 11 Mac.

Ia diumumkan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof di Putrajaya selepas mempengerusikan mesyuarat khas membincangkan kerusi Dewan Undangan Negeri Kajang, Selangor yang dikosongkan berikutan peletakan jawatan ADUNnya, Lee Chin Cheh pada 27 Januari lepas.

Ini bermakna tempoh kempen akan berjalan selama 12 hari bagi PRK yang pertama bagi tahun ini, yang bakal menyaksikan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding untuk menganggotai DUN Selangor.

Dalam pilihan raya umum ke-13 Mei tahun lepas, Lee menang kerusi itu dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru dengan BN, Berjasa dan tiga calon bebas.

Kerusi itu dikosongkan oleh Lee sebagai satu langkah oleh parti itu untuk membawa Anwar memainkan peranan yang lebih aktif dalam kerajaan negeri Selangor.

Langkah itu dilihat bakal memberi laluan kepada Anwar untuk mengambil alih jawatan menteri besar Selangor dari Tan Sri Khalid Ibrahim - dalam usaha Pakatan Rakyat untuk menguasai Putrajaya serta menamatkan persengketaan antara Khalid dengan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali di Selangor.

BN masih belum membuat keputusan mengenai calonnya bagi kerusi tersebut dan terdapat desas-desus sama ada Umno atau MCA perlu bertanding kerusi yang secara tradisinya diperuntukkan kepada MCA.

Ia adalah pilihan raya kecil pertama selepas PRU13 ekoran peletakan jawatan secara sukarela dan bukan disebabkan oleh kematian wakil rakyatnya.

Ia juga merupakan PRK ketiga dalam tempoh lapan bulan sejak pilihan raya umum ke-13 selepas PRK DUN Kuala Besut, Terengganu dan DUN Sungai Limau di Kedah.
Dalam PRK tersebut, BN mengekalkan DUN Kuala Besut, manakala PAS pula berjaya mengekalkan DUN Sungai Limau.

SPR: Anggaran kos PRK Kajang RM1.6 juta

Anggaran kos perbelanjaan bagi pilihan raya kecil (PRK) DUN Kajang ialah RM1.6 juta, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusoff.
SPR mengumumkan hari ini bahawa PRK DUN ditetapkan pada 23 Mac manakala penamaan calon pada 11 Mac.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di Putrajaya hari ini, beliau berkata, 39,278 pemilih berdaftar layak mengundi dalam PRK tersebut, termasuk 1,197 pengundi awal dan 26 pengundi dalam kategori tidak hadir atau berada di luar negara.
    
"Anggaran kos perbelanjaan bagi pilihan raya kecil ini ialah RM1.6 juta," katanya dalam persidangan media selepas mempengerusikan
mesyuarat khas bagi membincangkan kekosongan kerusi DUN Kajang, Selangor berikutan peletakan jawatan secara mengejut wakil rakyat PKR Lee Chin Cheh pada 27 Januari.
    
Beliau berkata daftar pemilih yang akan digunakan untuk pilihan raya kecil ini ialah Daftar Pemilih Induk 2012 bagi bahagian pilihan raya berkenaan yang digabungkan dengan Daftar-Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2013, Suku Tahun Kedua 2013 dan suku tahun ketiga 2013 yang dikemaskini sehingga 26 Januari 2014, iaitu sehari sebelum peletakan jawatan penyandang.
    
Lee menang kerusi DUN Kajang pada Pilihan raya Umum ke-13 Mei tahun lepas dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru melibatkan Barisan Nasional (BN), Berjasa dan tiga calon bebas.
    
PKR telah menamakan Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon parti itu untuk bertanding dalam pilihan raya kecil 23 Mac.

Ditanya mengenai anggaran kos perbelanjaan kali ini jika dibandingkan dengan pilihan raya kecil Kuala Besut, Terengganu, yang kurang daripada RM1 juta, Abdul Aziz berkata belanjawan bagi setiap pilihan raya kecil bergantung kepada pelbagai faktor.
    
"Antaranya bilangan pengundi, keluasan kawasan pengundian dan lokasinya sama ada di bandar atau di luar bandar. Kalau di bandar akan melibatkan jumlah kos sewa yang tinggi, SPR memerlukan banyak peruntukan untuk menyewa bangunan.
    
"Keduanya ialah jumlah petugas SPR yang bukan kakitangan SPR tetapi dilantik SPR untuk membantu dalam pengurusan pilihan raya, jumlah saluran undi yang terlibat, jumlah pusat pengundi, dan pelbagai faktor lain," katanya.
    
Beliau menambah kata, SPR telah sedaya upaya berusaha menjadikan belanjawan untuk PRK Kajang membabitkan kos paling minimum.

Abdul Aziz juga berkata Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang Datuk Hassan Nawawi Abdul Rahman dilantik sebagai pengurus pilihan raya dan beliau akan dibantu oleh tiga penolong pegawai pengurus.
    
Beliau berkata 673 petugas pilihan raya pula dilantik untuk mengendalikan proses pilihan raya dan Kompleks Sukan MPKJ, Seksyen 15 Bandar Baru Bangi dipilih sebagai pusat penamaan calon serta pusat penjumlahan rasmi undi.
    
"Sebanyak 18 pusat mengundi akan dibuka untuk tujuan pengundian, iaitu tiga pusat mengundi bagi undi awal, dan 15 pusat mengundi bagi
pengundian biasa.
    
"Tarikh keluar writ ialah 5 Feb (iaitu) hari ini, manakala tarikh notis pilihan raya pada 6 Feb, tarikh penamaan calon 11 Mac, tarikh pengundian awal 19 Mac dan tarikh pengundian biasa 23 Mac," katanya.
    
Semasa sesi soal jawab, Abdul Aziz berkata pihaknya memerlukan masa untuk membuat banyak perkara bagi memastikan pilihan raya kecil itu berjalan lancar.
    
"...banyak persediaan perlu dibuat. SPR tidak menjangka langsung adanya PRK ini. Kami memberi tumpuan kepada urusan lain di bawah tanggungjawab SPR.

"Bila ada pengumuman yang tidak disangka, ada wakil rakyat meletak jawatan, kita kena ubah ‘gear’, ubah semua sekali untuk membuat persediaan," katanya.

Ditanya mengenai anggaran kos perbelanjaan kali ini jika dibandingkan dengan pilihan raya kecil Kuala Besut, Terengganu, yang kurang daripada RM1 juta, Abdul Aziz berkata belanjawan bagi setiap pilihan raya kecil bergantung kepada pelbagai faktor.
    
"Antaranya bilangan pengundi, keluasan kawasan pengundian dan lokasinya sama ada di bandar atau di luar bandar. Kalau di bandar akan melibatkan jumlah kos sewa yang tinggi, SPR memerlukan banyak peruntukan untuk menyewa bangunan.
    
"Keduanya ialah jumlah petugas SPR yang bukan kakitangan SPR tetapi dilantik SPR untuk membantu dalam pengurusan pilihan raya, jumlah saluran undi yang terlibat, jumlah pusat pengundi, dan pelbagai faktor lain," katanya.
    
Beliau menambah kata, SPR telah sedaya upaya berusaha menjadikan belanjawan untuk PRK Kajang membabitkan kos paling minimum.
Sumber : Malaysiakini 1, Bernama