Friday, 28 February 2014

Zakat perniagaan Tabung Haji RM46 juta

Lembaga Tabung Haji (TH) akan membayar zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2013 berjumlah RM46.29 juta kepada negeri-negeri, berbanding RM41.21 juta pada 2012.

Peningkatan jumlah keseluruhan itu sejajar dengan prestasi pendapatan Tabung Haji yang memberangsangkan tahun lepas, kata Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan TH Datuk Rozaida Omar.
   
Dalam konteks ini, TH hari ini menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM3,871,731 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
    
Ia disampaikan Rozaida kepada Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra, selaku Yang Dipertua MAIK.
    
Rozaida berkata, pembayaran zakat untuk Kelantan itu mencatat peningkatan 11 peratus berbanding RM3,482,600 pada 2012.  
Sumber : Bernama

Baca lagi >>

Jin suka ganggu wanita solehah?

Berdasarkan pengalaman saya dalam bidang rawatan Islam semenjak 10 tahun yang lalu, saya selalu mendapati ramai benar perempuan yang beragama (jenis bertudung labuh, purdah, jenis menjaga diri) kena gangguan Jin, sihir dan makhluk halus.

Sementara perempuan yang kurang beragama, berpakaian mendedahkan aurat, ber'couple' dengan jantan sana-sini sihat dan segar-bugar saja tak diganggu Jin atau makhluk halus.

Sihir atau sakit pelik-pelik pun jarang. Datang bulan pun 'normal' dan rileks saja sementara yang beragama ni punyalah perit, minta jampi dan air ubat itu ini, makan herba sana-sini sebab tak sihat.

Manakala yang kaki beragama, rajin pi mengaji dan jenis bertudung labuh ni mesti selalu pi merawat, jumpa ustaz, darul 'rawat' dan sebagainya.
Berdasarkan pemerhatian saya, semua ini berpunca dari sejenis Jin yang bernama 'hormon'. Jin ini kurang mengganggu perempuan yang kaki sosial, ada pakwe sebab hormon dia biasanya Ok kecuali apabila 'pakwe' dia melarikan diri setelah dirinya bunting atau mereka 'clash'.

Adapun yang kuat agama ini, mereka menghadapi gangguan Jin a.k.a hormon yang kuat kerana tiada lelaki yang melayani atau bercinta dengan mereka. Justeru 'Jin, saka, sihir, kena buatan orang' menjadi rutin harian sehinggalah mereka bernikah. 

Itu pun sebelum nak bernikah seksa juga, nak buat keputusan, serba salah, hati tak tenang, itu-ini sehinggalah dah menikah barulah Jin itu pun mula hilang.

Malangnya fenomena ini (fitrah anak gadis perlu menikah) jarang diambil berat oleh ibubapa dan masyarakat. Lalu menyebabkan anak-anak gadis yang masih belajar ini, kerana tertekan, emosi, gangguan perasaan akibat Jin hormon kerap menyebabkan mereka disalah anggap terkena sihir, makhluk halus, histeria dan sebagainya.

Ditambah pula bercambahnya pak ustaz, pusat rawatan menipu yang suka menyalahkan Jin bagi setiap sakit, pening dan masalah manusia. Maka berleluasalah talbis Iblis (belitan Iblis) dalam masyarakat.

Syaitan ni jahat dan licik, dia tak dapat goda muslimah yang kuat beragama dengan zina, sosial, dedah aurat maka dia akan menggoda muslimah dengan kepercayaan khurafat, syirik, percaya gangguan Jin dan sebagainya.

Perempuan selalu sakit adalah disebabkan masalah hormon, ianya boleh menjadi penyebab kanser, akibat pemakanan tak seimbang, emosi, cara hidup yang tak aktif, kurang senaman (berapa ramai geng tudung labuh ni bersenam?), serta antibodi yang lemah apabila mengandung, gangguan emosi apabila datang bulan dan sebagainya.

Syaitan dan Jin memang wujud, tapi bukanlah kerjanya bagi manusia jadi sakit badan sebaliknya tugasnya ialah untuk menyesatkan anak Adam. Menjadikan muslimat percaya rawatan Islam yang mengarut, pak ustaz yang menggunakan agama untuk buat duit lebih untung dari bagi muslimat kena sihir atau buatan orang.

Semoga Allah menyelamatkan kita dan kaum keluarga kita daripada tipudaya Syaitan dan Iblis!
Dari Wall Facebook Encik Emran Ahmad

Baca lagi >>

Thursday, 27 February 2014

Dunia kena iktiraf Malaysia hak Melayu kata ISMA

Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) kini mahu pengiktirafan dunia bahawa Malaysia warisan dan hak orang-orang Melayu sejarah pendudukannya di negara ini.

NGO itu mahu pengiktirafan seperti benua China diiktiraf warisan Cina, India untuk orang India dan England untuk orang Inggeris.

“Oleh itu, kita mahu orang Cina, India atau sesiapapun tidak lagi mempersoalkan kedudukan Melayu,” kata Naib Presiden II ISMA Abdul Rahman Mt Dali.

“Kita juga mahu seluruh dunia mengiktiraf bumi Malaysia ini yang sebelumnya dikenali Malaya dan sebelumnya lagi dipanggil Tanah Melayu sebagai warisan Melayu dan hak Melayu.”

Dalam kenyataannya hari ini, Rahman berkata, tuntutan itu wajar berdasarkan kajian beberapa bulan lalu yang mendapati genetik Melayu berusia antara 60,000 hingga 70,000 tahun lalu berbanding Cina (40,000-45,000).

Katanya, Benua Sunda yang berpusat di bumi Melayu disebut “the Cradle of Human Civilazation” yang membiakkan kaum etnik lain.

“Maka sah, bumi ini asalnya adalah bumi orang Melayu,” katanya.

Beliau juga membangkitkan tamadun awal Melayu Kedah Tua yang berusia seawal abad kedua sebelum masihi, berdasarkan penemuan pasukan arkeologi Universiti Sains Malaysia (USM).

Menurut Rahman lagi, Melayu merupakan identiti negara ini dan agama anutan terakhir orang Melayu di bumi ini sejak berkurun-kurun lamanya adalah Islam.
Sumber : Malaysiakini

Baca lagi >>

Jadi jutawan, bermula dengan RM1

Ketiadaan modal bukan satu halangan untuk berjaya dalam perniagaan andai agama, ilmu pengetahuan serta semangat tidak mudah berputus asa sentiasa menjadi pegangan hidup.

Itulah yang cuba dibuktikan oleh usahawan muda, Muhammad Zukermi Edi apabila beliau berjaya membina empayar perniagaan atas talian dengan hanya bermodalkan RM1.

Mengakui rakan-rakan terkejut mendengar kisah perubahan hidupnya, Muhammad Zukermi kini sudi berkongsi kisah menarik di sebalik kejayaannya yang bermula dengan RM1 itu.

“Pada umur 21 tahun, saya pernah lalui kehidupan seperti remaja gelandangan di Rembau, Negeri Sembilan. Pengalaman hidup sebatang kara ketika itu betul-betul memeritkan.

“Namun, Allah SWT telah turunkan keajaiban dalam hidup saya. Baki RM1 dalam poket ketika itu telah saya gunakan untuk melayari internet di kafe siber. Itulah saat saya mula berniaga secara ‘dropship’ menerusi akaun Facebook.
“Siapa sangka, masa yang begitu singkat pada ketika itu telah mendatangkan pulangan yang besar. Dari mula berniaga secara ‘dropship’, kini saya berjaya membina syarikat sendiri dengan keuntungan tahunan mencecah jutaan ringgit," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Pada tahun 2013, Muhammad Zukermi telah melancarkan beberapa rangkaian produk kecantikan seperti MZ Secret Soap dan MZ Secret Body Spray di bawah syarikat MZ Secret Sdn. Bhd. miliknya.

Meskipun bermula tanpa pengalaman yang luas, beliau sendiri tidak pernah menyangka yang produk keluaran syarikatnya berjaya menambat hati ratusan ribu rakyat Malaysia.

Hari ini, pemuda kelahiran Temerloh, Pahang itu sudah boleh berbangga dengan usaha hasil titik peluhnya sendiri dan beliau telah membuktikan kepada semua orang yang sesiapa saja boleh berjaya.

Menjadikan pakar pemasaran internet, Tuan Faisal Abdullah sebagai sumber rujukan utamanya, Muhammad Zukermi melihat 2014 sebagai tahun untuk mendidik lebih ramai rakyat Malaysia yang berminat dalam perniagaan atas talian ini.

“Laluan kejayaan kita pastinya sukar, tapi saya percaya dengan izin-Nya, ia boleh dikecapi jika kita berusaha dengan gigih. Jangan jadikan kekangan hidup sebagai alasan untuk tidak berjaya.

“Saya juga percaya masih ramai yang inginkan bimbingan bagi mengubah hidup dengan perniagaan dan mereka inilah yang akan saya buru pada tahun ini," ujarnya.

Terbaharu, syarikatnya bakal melancarkan satu produk yang dirumus khas untuk kebahagiaan suami isteri dan dijangka menjadi satu lagi produk terlaris beliau untuk tahun 2014.

Dengan kejayaan yang telah dikecapi, Muhammad Zukermi kini merancang mencari lebih ramai rakan niaga bagi memeriahkan pelancaran produk terbaharu itu.

“Pada saya, projek terbaharu ini bakal menjadi satu peluang yang terbaik buat mereka yang idamkan taraf serta kualiti hidup yang lebih tinggi.

“Selain itu, saya akan tetap teruskan berkongsi kisah hidup saya menerusi akaun Facebook untuk memberi inspirasi kepada lebih ramai orang," katanya.
Sumber : Utusan

Baca lagi >>

8 ribu Wang KWSP lesap dalam akaun bank

Di Besut seorang orang kurang upaya (OKU) terkejut wang simpanan KWSP berjumlah RM8,243.25 yang dimasukkan ke dalam akaun miliknya di sebuah bank di sini lesap.

Azid Mohammad, 55, dari Kampung Tasik Tok Lebai, di sini hampa kerana hasratnya menikmati wang simpanan hari tua hasil kerja selama kira-kira 15 tahun sebagai pemandu lori satu ketika dulu hilang sekelip mata.

Azid menunjukkan baki wang dalam buku akaun banknya dan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Jerteh.
Menurutnya, dia membuat urusan pengeluaran wang tersebut di pejabat KWSP Jerteh pada 17 Februari lalu dengan memberikan nombor akaun sebuah bank miliknya untuk dikreditkan pengeluaran itu.
“Saya mengeluarkan kesemua simpanan saya dan tiga hari kemudian saya terima satu SMS daripada KWSP yang memaklumkan bayaran pengeluaran telah dimasukkan ke bank berkenaan.

“Saya hanya ke bank berkenaan pada Ahad lalu bagi mengeluarkan wang itu bagi tujuan membayar urusan tanah pusaka milik ibu saya,” katanya.

Azid yang mengalami kekurangan pada kakinya itu berkata, dia menyerahkan buku akaunnya kepada kerani bank tersebut untuk dikemas kini kerana ingin membuat pengeluaran sebanyak RM7,000.

Bagaimanapun setelah disemak, kerani tersebut memberitahu akaunnya tidak mempunyai wang sebanyak itu kerana telah dikeluarkan sebanyak RM8,270 dua hari sebelum itu menerusi pemindahan Giro Antara Bank (IBG).

Katanya, dia amat terkejut mendengar berita itu apabila terdapat baki RM10.29 sahaja di dalam akuannya sedangkan dia tidak pernah mengeluarkan wang tersebut atau meminta sesiapa mengeluarkannya.

“Saya minta jasa baik pihak bank untuk siasat bagaimana wang tersebut boleh dipindahkan sedangkan saya sendiri tak tahu menggunakan IBG, tetapi gagal dapat jawapan kerana ibu pejabat bank ditutup sebab cuti hujung minggu (Ahad).

“Kemudian saya datang semula pada keesokannya seperti yang dijanjikan ke bank itu namun, hampa apabila gagal untuk mendapatkan punca bagaimana kejadian itu berlaku,” katanya.

Kata Azid, dia kemudiannya membuat laporan mengenai kehilangan wang tersebut di Balai Polis Jerteh, dekat sini.

“Sebelum ini pernah dua kali akaun bank saya dicerobohi iaitu pada 12 Ogos 2012 apabila sejumlah RM5,000 dikreditkan (dimasukkan) ke dalam akaun saya tanpa diketahui daripada mana wang tersebut, namun pada 1 September 2012 pula sebanyak RM5,149.50 dikeluarkan daripada akaun sama,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu berulang pada 31 Disember tahun lalu apabila sebanyak RM3,400 dikreditkan ke dalam akuannya dan dikeluarkan semula dalam jumlah sama menerusi kaedah TRF.

“Saya tak tahu TRF tu apa, tetapi ada tertulis dalam buku akaun cara wang saya dikeluarkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamarudin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Sumber : Sinar Harian

Baca lagi >>

Daim Otai dunia korporat Malaysia

Ekoran peletakan jawatan Tun Daim Zainuddin daripada portfolio kewangan pada 2001, beliau bergerak senyap, mencipta tanggapan untuk sesetengah pihak bahawa beliau bersara.

Tanggapan itu berubah pada 2004 apabila beliau mencuri perhatian ekoran penglibatan pembelian saham Alliance Financial Group (AFG) milik penuh Alliance Bank Malaysia, oleh Temasek Holding.

Ini bukan satu-satunya penglibatannya dengan Temasek.
“Memandangkan saya tahu tentang Temasek, mereka kata mereka mencari peluang di Malaysia. Mereka minta saya buat penelitian,” Daim dipetik sebagai berkata dalam wawancara dengan Far Eastern Economic Review berhubung penglibatannya dengan Temasek.

Tiga tahun kemudian, tanggapan bahawa Daim bersara sama sekali berubah.

Sebaliknya gambaran baru muncul – Daim kelihatan maju ke peringkat global, termasuk menasihatkan kerajaan Singapura dan Brunei berhubung pelaburan mereka.

Pada 17 Mei 2007,  London Alternative Investment Market (AIM) mengalu-alukan penyenaraian baru ICB Financial Group Holdings AG, yang mempunyai lebih sedozen anak syarikat di pelbagai negara, termasuk Eropah, Afrika dan Asia.

Dua tahun selepas penyenaraian,  ICB Financial Group mempunyai aset keseluruhan sebanyak AS$1.32 bilion (RM4.35 bilion).

Sebelum penyenaraian ICB Financial Group di bursa saham London, Daim adalah pemegang saham tunggal untuk operasi perbankan global itu.

Beliau mengekalkan pegangan majoriti selepas tawaran awam permulaan (IPO).

Daim dikatakan “jatuh cinta dengan bank” oleh teman rapatnya. Malah, beliau terlibat dengan bank sebelum menyertai kabinet sekitar tahun 80-an.

Ketika dihubungi KiniBiz, Daim enggan memberikan reaksi segera terhadap artikel ini.
Sumber : Malaysiakini

Baca lagi >>

Tuesday, 11 February 2014

Kita sedang menternak generasi penderhaka

Saban hari ada sahaja kes-kes penderhakaan. Buka Facebook juga penuh dalam newsfeed kisah-kisah penderhakaan. Bermula dari anak derhaka kepada ibubapa, yang derhaka kepada suami, yang derhaka kepada majikan, yang derhaka kepada pemimpin, pada raja, pada negara, dan yang paling berat ialah DERHAKA KEPADA ALLAH.

Mudahkan fikiran kita, itu adalah satu rantaian kederhakaan yang telah berlaku dalam umat generasi hari ini.

Berita semalam memaparkan penangkapan 5 pelajar kolej yang membunuh pensyarah sekali dengan bapa penyasrahnya. Baru-baru ini tertangkap murid yang menggunakan ‘kerambit’ mencederakan guru yang menegur rambut PUNK nya.

Kisah guru dipukul, dimaki, kereta guru dicalar, dibakar, dibocorkan tayarnya oleh murid semacam sudah amat biasa kita dengar.
Kelmarin kita disuakan dengan isu panas tentang bapa buat laporan polis kerana anak dirotan guru dan disuruh pulang ke rumah yang tidak sampai 100 meter dari sekolah disebabkan tidak menyiapkan kerja sekolah.

Ramai juga yang menyokong tindakan bapa kerana kononnya anak trauma, membahayakan anak yang diusir oleh guru walhal rumah beliau dekat sahaja. Kenapa tidak menyalahkan bapa yang tidak memantau kerjarumah anak? Tidakkah lebih trauma bila pihak guru dan sekolah sudah didakwa?

Baru-baru ini ada guru sekolah di seremban melapurkan kepada kami kes seorang pemandu lori yang berbadan tegap, menyerang guru sekolah kerana tidak puashati anaknya ditegur kerana ponteng dan ikut beliau pergi kenduri. “Semua guru bangsat” katanya. Seluruh guru dan tukang kebun terpaksa bersatu, lalu dihayun sibapa murid ini oleh cikgu dengan penyodok pasir untuk mempertahankan maruah guru.

Polis masuk sekolah untuk benteras samseng junior kita protes. Kes bapa buat lapuran polis, saman guru, tukarkan guru bila anak dihukum juga sudah terlalu biasa. Senarai larangan menghukum murid yang terkini amat menarik sekali. Guru seolah-olah sudah tidak boleh menghukum murid sama sekali.

Saranan nabi agar kita “rotan anak yang tidak solat di umur 10 tahun” kita persetankan saja. Ini semua adalah satu pembelaan yang menggalakkan pembentukan anak-anak derhaka. Sama saja kita sekarang dengan masyarakat barat yang tidak beragama dan mengalami gejala akhlak yang menggila. Lepas tu kita juga yang melolong bila anak jadi degil, kurang ajar dan derhaka.

Mendidik atau menternak?

Dahulu kita MENDIDIK anak. Ibubapa hantar anak ke sekolah dengan serahkan seutas rotan kepada guru sebagai simbolik ‘mendidik’. Pantang kita mengadu dirotan, bapa akan tambah lagi kerana berperangai yang memalukan mereka. Hasilnya kita berusaha menjaga akhlak dan mengikut segala peraturan lalu kita jadi manusia.

Sekarang ini kita MENTERNAK anak. Asalkan anak hidup dan tidak mengganggu sangat urusan harian kita, itu sudah dikira anak yang baik. Alangkah rendahnya ‘kualiti anak’ yang kita ciptakan melalui pendidikan gaya tablet, flappy birds, angry birds, candy crush dan banyak lagi.

Mereka diam tidak mengacau urusan kita nak menonton sinetron, slot Akasia mahupun slot Zehra di TV. Tanpa sedar, itulah satu pendidikan anak derhaka.

Kata orang tua, istilah lain bagi derhaka ialah “Anak kurang Ajar!!”. Memang sebenarnya kurang ajaran secara mendidik. Tablet diberi untuk anak berkeliaran dalam alam maya mencari keseronokan yang kebanyakannya berunsurkan lagho dan maksiat.

Jangan hanya ingat maksiat itu sekadar anak menonton pornografi sahaja. Membuang masa bermain permainan internet juga satu bibit kemusnahan yang membawa kepada maksiat-maksiat lebih besar. Saudara mara datang pun mereka tidak peduli untuk menyapa dan bersuai kenal. Dipanggil buat tak tahu kerana leka. Menolong ibubapa jauh sekali.

Hari ini ramai yang tidak sensitif dengan gejala kecil yang dibiarkan sehingga ia membentuk gejala lebih besar. Anak umur 8 tahun menonton rancangan Mat Saleh “Sex and The City” ataupun “Friends” pada mereka itu tidak bahaya.

Sedangkan itu satu bentuk doktrin halus dalam mempromosikan seks bebas. Bila masa kita yang sibuk seharian ini nak nampakkan kepada anak bahawa itu salah dan ini betul? Jika semuanya dihadapkan kepada mereka seolah-olah tiada halangan dan seolah-olah semuanya betul belaka.

Fenomena anak tidak dengar kata

Kajian saintis menunjukkan anak yang sudah terlalu leka dan seronok dengan gajet ini bakal mengalami masalah sensitiviti yang amat rendah pada deria telinga mereka. Allah jelaskan berkali-kali agar kita menggunakan pendengaran, penglihatan dan hati (QS: 17/36, 16/78) dalam proses pendidikan.

Namun gejala ini telah mematikan fungsi deria paling utama dalam pendidikan, iaitu pendengaran. Ini adalah asas kepada pembentukan anak derhaka, apabila kurang sensitiviti serta respond mereka terhadap panggilan murobbi.

Adakah anak kita bersegera semasa dipanggil? Adakah anak kita bergegas bangun apabila diarahkan melakukan sesuatu walaupun mereka sedang menonton rancangan TV kegemaran mereka? Adakah kita sentiasa membelai anak kita semasa mereka salah dan semasa baik?

Atau kita sekadar berkata “Biarlah, budak-budak”. Benar mereka budak-budak pada hari ini, tetapi mahukah kita dengan habit itu mereka dibesarkan?

Umur 13 tahap rapuh, bermulanya penderhakaan nyata

Dari kajian sosiologi dan perkembangan ekologi manusia, anak-anak yang bejat akhlaknya bermula nampak padahnya pada umur 13 tahun. Itu transisi antara kanak-kanak kepada remaja. Inilah antara sebab kami bertindak pantas menutup cawangan kami di Sg Pelek.

Godaan dari gejala seks bebas amat kuat sekali. Bayangkan perasaan anda jika kes berikut ini berlaku kepada anak anda. Kutu kampung sekitar 15 an tahun yang bersidai di depan masjid bertanya anak-anak lelaki kami yang keluar dari masjid untuk berjalan kaki pulang ke rumah… “ada kakak yang umur 13 tahun tak? Bagi kat kami boleh?”

Anak-anak kami yang bertudung labuh tidak terkecuali. Keruntuhan akhlak berlaku dimana sahaja. Hanya sebulan dua selepas kami tempatkan anak kami di desa itu, mereka telah berjaya mempengaruhi seorang anak remaja kami yang baru masuk tingkatan 1 sekolah menengah. Diam-diam diberikannya telefon bimbit siap dengan simkad prabayar dan asyik minta untuk buat temujanji.

Mujur juga, ia terjadi kepada anak kami yang sentiasa dilatih untuk saling apit mengapit. Gejala itu segera kami kesan dan rawat. Jika anak-anak ini tidak diperhatikan oleh jemaahnya yang telah diberikan didikan dengan pendirian dan akhlak Islam, pasti hanyut juga mereka untuk bersedap-sedap pada fasa permulaan puberty. Itu fasa yang sangat bahaya. Ia berpadanan dengan banyak statistik kehamilan muda yang kebanyakannya bermula dari umur 13 tahun. Nauzubillah.

Kebejatan yang berlaku pada umur 13 tahun itu satu penderhakaan yang besar dan ia berlaku melalui penderhakaan kecil yang dibiarkan dari mereka kecil lagi. Kita boleh tempeleng “Sazali” setelah dewasa, tetapi nanti beliau akan kata,

“Jika 10 tahun dahulu Ayah tampar Sazali, mungkin tidak Sazali jadi begini”, bukankah fenomena ini sudah berleluasa sekarang? Tidakkah kita mahu mengambil pelajaran?

Selebihnya, kita fikirkanlah sendiri. Kita menternak atau mendidik anak? Jika sekadar menjadikan anak pandai, pagi-pagi bangun hantar anak ke nursery dalam keadaan belum mandi mengharapkan semua nursery yang lakukan.

Balik kerja ambil anak dari nursery dan terus kita berikannya tablet untuk mereka tenang dan tidak ganggu kita menonton. Lepas isya kita terus tidur untuk rehat bagi kerja esoknya. Hujung minggu kononnya kita nak berikan masa kualiti untuk mereka dengan membawa mereka ke KLCC atau berkelah. Kami ucapkan “SELAMAT BERJAYA”. Itulah kaedah anak kita diternak menjadi penderhaka.

Generasi penderhaka yang menyeluruh

Pada hari ini, penderhakaan kita sudah masuk satu pusingan lengkap. Kami panggil ini PENDERHAKAAN YANG SEMPURNA. Pemimpin yang derhaka kepada Allah akan diderhakai oleh rakyatnya. Bapa yang derhaka kepada Allah akan juga diderhakai oleh anak isterinya. Isteri yang derhaka kepada suami akan juga diderhakai oleh anak-anak mereka.

Guru yang derhaka akan diderhakai muridnya. Pelajar yang derhaka kepada gurunya akan diderhakai oleh semua rangkaian orang di bawah pimpinannya, biarpun mereka berjaya dalam pelajaran. Itu sudah pasti.

Hari ini jika buka di newsfeed sahaja, berjujuk-jujuk pencarutan kerana perbedaan fahaman politik. Tok guru, ustaz dan alim ulamak dicarut dan dikutuk sewenang-wenang. Adakah keberkatan ilmu lagi?

YAB, YB mahupun KDYMM semua itu mereka bedal dengan carut-carut yang hanya menambahkan panas yang telahpun sedia panas. Mahu kami Tanya, bilakah mahu selesai dengan cara itu?

Allah dah ajarkan semuanya tentang adab-adab menegur pemimpin sekalipun pemimpin itu zalim, tetapi mengapa manusia yang berkopiah dan beserban dengan gelaran ustaz-ustaz dari parti yang menggunakan nama Islam juga menghentam dengan carutan-carutan kasar?

Tidakkah mereka membaca Al-Quran sampai habis? Atau mereka sekadar mengambil Al-Quran atas isu-isu yang mereka suka sahaja? Lantas mereka sendiri dicarut oleh pihak lain, mahu kita salahkan siapa?

Sibghatullah - kepimpinan, pendidikan melalui tauladan

Jika anak tidak dididik untuk MENDENGAR KATA semenjak mula mereka faham bicara, mereka akan membesar menjadi manusia yang mudah memberontak dan murung. Kami praktis bermula umur 1 hari melalui proses stimulasi.

Kami minta ibu-ibu tunjukkan uswah secara semulajadi melalui konsep kepimpinan melalui tauladan ini. Tidak lebih 10 saat, panggilan anak melalui tangisan mesti kita attend untuk melatih sensitiviti telinga mereka melalui sensitiviti telinga kita. Anak tidak boleh diletak jauh sehingga kita tidak boleh dengar tangisan atau lihat jasadnya untuk dirawat.

Di RPWP, bentakan melalui bahasa badan anak juga kami fahami dan sensitif untuk bertindak. Jika kita lihat seorang anak itu seperti bermasalah dan ditanyakan “Ada masalah ke? Masam je muka? “ dan anak sekadar menjawab “Takde apa-apa” dan terus membisu, itu juga kami sudah anggap satu penderhakaan.

Jika kami panggil anak lambat menjawab, kami larang anak langgar, kami suruh anak tidak buat, itu sudah dikira derhaka. Derhaka besar akan berlaku jika derhaka kecil tidak kita tangani.

Jangan ajarkan anak kita tentang akhlak, mereka akan lupa. Tetapi tunjukkan contoh akhlak yang baik, anak akan menirunya. Jangan cuba nak ubah fitrah, jika bapa dan ibunya ketam yang berjalan mereng, jangan harap anak jadi seorang manusia yang berjalan lurus.

Pendidikan di RPWP agak kolot. Kerana kami mengambil model pendidikan nabi-nabi dan para tabi’in yang telah dilupakan pada hari ini. Jika adapun, mereka sekadar tebuk-tebuk sahaja modulnya untuk mencari keuntungan dengan pendidikan sebegitu.

Tapi kami mengambil konsep sibghahtullah (acuan / rendaman Sistem Allah) seperti penyaduran yang berlaku dalam proses elektrolisis yang juga melalui kaedah rendaman ini.

Binalah persekitaran yang baik, kekang anasir luar dari masuk ke dalam persekitaran SEBELUM anak-anak ini sempurna dalam pembinaan kekuatan akhlak untuk menangkis anasir itu.

Mereka juga akan keluar berhadapan dengan segala kebejatan, tetapi pada ketika itu, mereka tidak melihat wanita seksi berbaju jarang untuk penyedap mata, tetapi sebagai sumber mereka melihat bainat kerosakan alam dan mengkaji penyelesaiannya.

Kesimpulan

Hari ini anak yang kita panggil tidak menyahut kita biarkan saja, mereka membentak juga kita biarkan. Kita tidak sensitif dengan bahasa badan anak yang membentak dan tidak menghiraukan derhaka-derhaka kecil sehingga derhaka besar tak mampu kita kawal.

Api jika kecil mampu kita tiup dan siram untuk padamkan, tetapi jika sudah marak, kita terpaksa pasrah melihat ia terus membakar. Jika mampu kita buat sekalipun ialah dengan mengawal api dari membaham rumah-rumah lain.

Jika anak kita hari ini berumur 13 tahun dan sedang hamil anak luar nikah, pendidikan sudah kurang berguna ketika itu. Jika hudud (batas) tidak kita laksanakan dalam keluarga, nanti kita akan hanya mampu melihat dan mengawal kerosakan itu dengan qisas / hukuman agar tidak merebak kepada anak-anak yang lain dengan ilmu (air / wahyu). Yang terbakar sudahpun hangus.

Renung kisah pendedahan akhbar mengenai pengakuan seorang isteri yang berselingkuh semasa suami bertugas diluar negara kelmarin. Jika seorang isteri sudah hilang hormat dengan suaminya hanya kerana bergaji lebih besar dan suami hanya duduk dayus membiarkan tanpa ada penegasan, maka tunggu sahaja perceraian berlaku. Hari ini mungkin isteri akan cakap “Tak apalah yang, I kerja untuk keluarga kita juga” tapi bila dah menyampah, keluarlah pula bahasa derhaka sebegini…

“Asyik-asyik saya kena bayar, rumah pun saya bayar, kereta pun saya bayar… awak punya gaji setakat pergi Giant beli barang dapur sahaja, itupun tak cukup”.

Suami dayus akan tunduk, tetapi suami yang benar-benar merijal akan bangkit dan berikan kata dua. Penderhakaan isteri juga sama seperti penderhakaan anak, ada tanda-tanda awal yang kita perlu bijak membacanya.

Tanda-tanda mudah ialah, isteri mula mengarah-ngarah, kurang layanan, kurang memasak untuk suami dan anak, kurang mesra, terlalu taksub dengan kerja sehingga menolak suami yang mahu “bersama”. Jika tanda-tanda begitu dibiarkan… tunggu sahaja isteri failkan cerai satu hari nanti. Jika tidakpun, tunggu sahaja berita isteri berselingkuh.

Kami bercakap tidak sekadar copy paste tetapi semua ini ada dalam fail kami. Banyak sekali kes-kes sebegini dirujuk kepada kami. Kami juga menganalisa gejala ini berpadanan dengan pelbagai statistik yang dikeluarkan pelbagai jabatan termasuk statistik perceraian yang kini sudah meningkat kepada lebih 3 pasangan dari 10 perkahwinan akan mengalami perceraian.

Jangan kita pandang remeh ancaman Allah dalam isu ini kerana “Ia mungkin rumahtangga kita”.
Analisa Fenomena Derhaka

Baca lagi >>

Wednesday, 5 February 2014

Pilihan raya kecil Kajang 23 Mac dengan kos RM1.6 juta

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 Mac sebagai tarikh pengundian bagi pilihan raya kecil (PRK) DUN Kajang, manakala penamaan calon ditetapkan pada 11 Mac.

Ia diumumkan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof di Putrajaya selepas mempengerusikan mesyuarat khas membincangkan kerusi Dewan Undangan Negeri Kajang, Selangor yang dikosongkan berikutan peletakan jawatan ADUNnya, Lee Chin Cheh pada 27 Januari lepas.

Ini bermakna tempoh kempen akan berjalan selama 12 hari bagi PRK yang pertama bagi tahun ini, yang bakal menyaksikan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding untuk menganggotai DUN Selangor.

Dalam pilihan raya umum ke-13 Mei tahun lepas, Lee menang kerusi itu dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru dengan BN, Berjasa dan tiga calon bebas.

Kerusi itu dikosongkan oleh Lee sebagai satu langkah oleh parti itu untuk membawa Anwar memainkan peranan yang lebih aktif dalam kerajaan negeri Selangor.

Langkah itu dilihat bakal memberi laluan kepada Anwar untuk mengambil alih jawatan menteri besar Selangor dari Tan Sri Khalid Ibrahim - dalam usaha Pakatan Rakyat untuk menguasai Putrajaya serta menamatkan persengketaan antara Khalid dengan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali di Selangor.

BN masih belum membuat keputusan mengenai calonnya bagi kerusi tersebut dan terdapat desas-desus sama ada Umno atau MCA perlu bertanding kerusi yang secara tradisinya diperuntukkan kepada MCA.

Ia adalah pilihan raya kecil pertama selepas PRU13 ekoran peletakan jawatan secara sukarela dan bukan disebabkan oleh kematian wakil rakyatnya.

Ia juga merupakan PRK ketiga dalam tempoh lapan bulan sejak pilihan raya umum ke-13 selepas PRK DUN Kuala Besut, Terengganu dan DUN Sungai Limau di Kedah.
Dalam PRK tersebut, BN mengekalkan DUN Kuala Besut, manakala PAS pula berjaya mengekalkan DUN Sungai Limau.

SPR: Anggaran kos PRK Kajang RM1.6 juta

Anggaran kos perbelanjaan bagi pilihan raya kecil (PRK) DUN Kajang ialah RM1.6 juta, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusoff.
SPR mengumumkan hari ini bahawa PRK DUN ditetapkan pada 23 Mac manakala penamaan calon pada 11 Mac.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di Putrajaya hari ini, beliau berkata, 39,278 pemilih berdaftar layak mengundi dalam PRK tersebut, termasuk 1,197 pengundi awal dan 26 pengundi dalam kategori tidak hadir atau berada di luar negara.
    
"Anggaran kos perbelanjaan bagi pilihan raya kecil ini ialah RM1.6 juta," katanya dalam persidangan media selepas mempengerusikan
mesyuarat khas bagi membincangkan kekosongan kerusi DUN Kajang, Selangor berikutan peletakan jawatan secara mengejut wakil rakyat PKR Lee Chin Cheh pada 27 Januari.
    
Beliau berkata daftar pemilih yang akan digunakan untuk pilihan raya kecil ini ialah Daftar Pemilih Induk 2012 bagi bahagian pilihan raya berkenaan yang digabungkan dengan Daftar-Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2013, Suku Tahun Kedua 2013 dan suku tahun ketiga 2013 yang dikemaskini sehingga 26 Januari 2014, iaitu sehari sebelum peletakan jawatan penyandang.
    
Lee menang kerusi DUN Kajang pada Pilihan raya Umum ke-13 Mei tahun lepas dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru melibatkan Barisan Nasional (BN), Berjasa dan tiga calon bebas.
    
PKR telah menamakan Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon parti itu untuk bertanding dalam pilihan raya kecil 23 Mac.

Ditanya mengenai anggaran kos perbelanjaan kali ini jika dibandingkan dengan pilihan raya kecil Kuala Besut, Terengganu, yang kurang daripada RM1 juta, Abdul Aziz berkata belanjawan bagi setiap pilihan raya kecil bergantung kepada pelbagai faktor.
    
"Antaranya bilangan pengundi, keluasan kawasan pengundian dan lokasinya sama ada di bandar atau di luar bandar. Kalau di bandar akan melibatkan jumlah kos sewa yang tinggi, SPR memerlukan banyak peruntukan untuk menyewa bangunan.
    
"Keduanya ialah jumlah petugas SPR yang bukan kakitangan SPR tetapi dilantik SPR untuk membantu dalam pengurusan pilihan raya, jumlah saluran undi yang terlibat, jumlah pusat pengundi, dan pelbagai faktor lain," katanya.
    
Beliau menambah kata, SPR telah sedaya upaya berusaha menjadikan belanjawan untuk PRK Kajang membabitkan kos paling minimum.

Abdul Aziz juga berkata Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang Datuk Hassan Nawawi Abdul Rahman dilantik sebagai pengurus pilihan raya dan beliau akan dibantu oleh tiga penolong pegawai pengurus.
    
Beliau berkata 673 petugas pilihan raya pula dilantik untuk mengendalikan proses pilihan raya dan Kompleks Sukan MPKJ, Seksyen 15 Bandar Baru Bangi dipilih sebagai pusat penamaan calon serta pusat penjumlahan rasmi undi.
    
"Sebanyak 18 pusat mengundi akan dibuka untuk tujuan pengundian, iaitu tiga pusat mengundi bagi undi awal, dan 15 pusat mengundi bagi
pengundian biasa.
    
"Tarikh keluar writ ialah 5 Feb (iaitu) hari ini, manakala tarikh notis pilihan raya pada 6 Feb, tarikh penamaan calon 11 Mac, tarikh pengundian awal 19 Mac dan tarikh pengundian biasa 23 Mac," katanya.
    
Semasa sesi soal jawab, Abdul Aziz berkata pihaknya memerlukan masa untuk membuat banyak perkara bagi memastikan pilihan raya kecil itu berjalan lancar.
    
"...banyak persediaan perlu dibuat. SPR tidak menjangka langsung adanya PRK ini. Kami memberi tumpuan kepada urusan lain di bawah tanggungjawab SPR.

"Bila ada pengumuman yang tidak disangka, ada wakil rakyat meletak jawatan, kita kena ubah ‘gear’, ubah semua sekali untuk membuat persediaan," katanya.

Ditanya mengenai anggaran kos perbelanjaan kali ini jika dibandingkan dengan pilihan raya kecil Kuala Besut, Terengganu, yang kurang daripada RM1 juta, Abdul Aziz berkata belanjawan bagi setiap pilihan raya kecil bergantung kepada pelbagai faktor.
    
"Antaranya bilangan pengundi, keluasan kawasan pengundian dan lokasinya sama ada di bandar atau di luar bandar. Kalau di bandar akan melibatkan jumlah kos sewa yang tinggi, SPR memerlukan banyak peruntukan untuk menyewa bangunan.
    
"Keduanya ialah jumlah petugas SPR yang bukan kakitangan SPR tetapi dilantik SPR untuk membantu dalam pengurusan pilihan raya, jumlah saluran undi yang terlibat, jumlah pusat pengundi, dan pelbagai faktor lain," katanya.
    
Beliau menambah kata, SPR telah sedaya upaya berusaha menjadikan belanjawan untuk PRK Kajang membabitkan kos paling minimum.
Sumber : Malaysiakini 1, Bernama

Baca lagi >>

Pasukan yang mara ke suku akhir Piala FA

Beberapa kejutan berlaku dalam aksi pusingan kedua Piala FA semalam.

Selangor yang mempamerkan aksi memberansangkan dalam saingan Liga Super, tersingkir di tangan Sarawak yang baru sahaja mengecap kemenangan sulung minggu lepas.

PKNS berjaya menamatkan badi kekalahan ke atas Terengganu dengan kemenangan 2-1 walau bermain 10 pemain.

Sabah berjaya memberi tentangan ke atas Kelantan di Kota Bharu walaupun ramai meramalkan pasukan itu bakal dibelasah.

Felda United membuktikan bahawa mereka masih antara kelab terkuat walau beraksi di Liga Perdana apabila menyingkirkan wakil Liga Super,Sime Darby.

Pahang sekali lagi menjinakkan Lions XII tetapi ia lebih bermakna apabila menamatkan perjuangan pasukan itu dalam saingan Piala FA musim ini di Stadium Jalan Besar.

Keputusan Johor DT / TTeam akan diputuskan esok oleh FAM & keadaan masih belum reda apabila kini giliran Johor DT pula bertindak mempertahankan diri.

Kemenangan Kedah & PDRM bukan la sesuatu yang mengejutkan kerana ramai yang meramal 2 pasukan itu mudah melangkah ke Suku Akhir.
Sumber : MFT

Baca lagi >>

Cebisan daging manusia sepanjang 43 KM

Motosikal ditunggangnya, cebisan daging, tulang dan kasut bersama kaki kanan ditemui berhampiran susur keluar ke Ipoh Kilometer (KM) 274.2, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), di sini manakala kepala, kaki kiri, badan dan tangan pula bertaburan di KM317 berhampiran Tapah.

Begitu keadaan jasad seorang penunggang motosikal, Ahmad Mahamud, 25, yang bersepai selepas terbabit dalam kemalangan, kemungkinan kes langgar lari, menyebabkan dia diseret sejauh kira-kira 43km, awal pagi semalam. 

Ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal Honda EX5 dalam perjalanan dari rumah keluarganya di Kampung Baru Majidi, Serdang, Kedah ke tempat kerja di kilang PROTON Tanjung Malim. 

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ipoh Deputi Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, kira-kira jam 2.30 pagi pihaknya menerima aduan daripada pekerja PLUS berhubung penemuan motosikal dan cebisan daging manusia.

“Pekerja PLUS menjumpai cebisan daging dan tulang manusia, kasut hitam sebelah kanan dan sebuah motosikal Honda EX5 yang rosak teruk di KM274.2, arah Selatan, iaitu kira-kira 800 meter dari Ibu Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Perak.
Sumber : Harian Metro

Baca lagi >>