Wednesday, 22 January 2014

Tergamak bakar rumah bapa sendiri

Di Kota Bharu, gara-gara membakar rumah bapanya sendiri, seorang penganggur menerima padah apabila dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Gambar Hiasan
Mohamad Faizie Mohd Noor, 21, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Yusoff Yunus.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di rumah beralamat Lot 58, Jalan Kuala Krai, Batu 3, Kampung Wakaf Che Yeh pada 7 malam, 7 Julai tahun lepas.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 486 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan denda.

Ketika rayuan, Mohamad Faizie yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah meringankan hukuman bermula dari tarikh dia ditahan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Salam Yusof bagaimanapun memohon supaya tertuduh dikenakan hukuman berat bagi maksud menjaga kepentingan awam dan kerugian yang terpaksa ditanggung mangsa yang juga bapa tertuduh. 
Sumber : Bernama