Wednesday, 15 January 2014

‘Syahid Yang Tertangguh’ antara penerima Anugerah Khas Maulidur Rasul

Mendapat Anugerah Maulidur Rasul bukan sekadar kebanggaan biasa, sebaliknya penganugerahan itu menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk lebih berbakti kepada ummah sejagat.

Nur Azlina Abdul Aziz, 52, ibu kepada penerima Anugerah Saidina Ali, Allahyarham Ahmad Ammar Ahmad Azam berbesar hati apabila kisah anaknya membuka mata anak-anak muda untuk berjuang di jalan Islam di samping mendekati kerja-kerja kemasyarakatan dan dakwah.

Allahyarham Ahmad Amar adalah individu yang aktif dalam kerja sukarelawan kepada masyarakat Rohingya,Klang, Sukarelawan Gobal Peace Mission (GPM) untuk program Ukhuwah Fil Amal Kemboja dan sukarelawan bantuan ke Syria.

Beliau yang merupakan Pelajar Universiti Marmara Turki memilik bakat luar biasa apabila menguasai karya Agung Ilmuan Bediuzzaman Said Nursi iaitu Risalah an-Nur dalam masa lapan bulan sahaja hingga mengejutkan warga Turki kerana karya itu mengambil masa yang lama untuk dikuasai.

Beliau yang menerima jolokan ‘Syahid Yang Tertangguh’ maut dalam kemalangan jalan raya ketika di dalam perjalanan di tempat mengajarnya.
Ahmad Amar menerima penghormatan untuk disemadikan di tanah perkuburan bersama Abu Ayub Al-Ansari dan para sahabat Nabi dan Auliya di Turki.

“Memang sejak kecil lagi arwah sudah melibatkan diri dengan kerja-kerja amal dan kemasyarakatan atas minat beliau sendiri serta galakan daripada keluarga.

“Sebagai hamba Allah atas muka bumi ini, tanggungjawab kita bukan sekadar untuk kepentingan diri sendiri sahaja tetapi perlu juga melakukan sesuatu untuk kepentingan masyarakat,” kata Azlina.

Azlina yang hadir bersama anak perempuannya turut menerima wang tunai berjumlah RM 5,000 bagi pihak Allahyarham Ammar.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sejurus selesai Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Selangor 1435 hijrah yang disempurnakan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Penerima Anugerah Umar Abdul Aziz, Datuk Dr. Yahya Baba 59, berkata sifat kepimpinan dan integriti tokoh-tokoh Islam sebelum ini terutamanya para sahabat nabi wajar dicontohi demi kesejahteraan seluruh masyarakat.

“Kepimpinan yang baik bukan sekadar dipraktikkan di tempat kerja tetapi ianya perlu juga dilaksanakan di dalam komuniti setempat.

“Ini penting bagi membolehkan komuniti terdekat dengan kita beroleh manfaat hasil daripada kepimpinan yang baik yang berpegang teguh pada ajaran Islam,” katanya yang menerima RM 15, 000 bagi anugerah yang diterima.

Turut menerima anugerah ialah Dr. Salasiah Hanin Hamjah yang menerima Anugerah Saidatina Khadijah beserta wang tunai berjumlah RM 10, 000.

Bagi Anugerah Khas pula, penerima, Allahyarham Sarjan Sabaruddin Daud serta Allahyarham Koperal Azrul Tukiran masing-masing menerima RM 10, 000 dan diwakili ahli keluarga masing-masing.

Setiap penerima turut diberikan piala iringan, sijil penghargaan dan juga sepersalinan pakaian.

Majlis yang diadakan di Stadium Melawati di sini turut diserikan dengan kehadiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan isterinya, Puan Sri Salbiah Tunut serta Pengarah Jabatan Agama Islam (JAIS), Marzuki Hussin.
Sumber : Selangor Kini