Sunday, 12 January 2014

Projek Darul Hana di Sarawak bernilai 120 juta

KUCHING - Sebanyak 12 kampung tradisi Melayu di sepanjang Sungai Sarawak akan dibangunkan semula menerusi program pembangunan Darul Hana yang membabitkan kos berjumlah RM120 juta, kata Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Beliau berkata kampung tradisi itu yang terletak di tengah-tengah bandar raya ini, akan dibangunkan selari dengan perkembangan pesat Kuching sebagai bandar besar dan maju.

Katanya kerajaan negeri dengan bantuan dana daripada kerajaan pusat memulakan program itu dengan pembinaan masjid berharga RM20 juta di Kampung Seberang Hilir sebagai simbol perpaduan masyarakat Melayu kawasan itu.

Program Darul Hana dibahagikan kepada 10 blok pembangunan melibatkan kawasan penempatan masyarakat Melayu seperti Kampung Boyan, Kampung Gersik, Kampung Sourabaya Ulu, Kampung Sourabaya Hilir, Kampung Semarang, Kampung Pulo Ulu, Kampung Pulo Hilir, Kampung Bintawa Ulu, Kampung Bintawa hilir, Kampung Bintawa Tengah, Kampung Panglima Seman Ulu dan Kampung Panglima Seman Hilir.

Pelaksanaan program itu dijangka mengambil masa antara 10 hingga 15 tahun dengan elemen budaya kampung Melayu dikekalkan walaupun kawasan berkenaan dimodenkan, katanya ketika melancarkan Darul Hana di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

"Kawasan Darul Hana akan menjadi sebuah kampung Melayu moden yang lengkap dengan pangsapuri, pusat komersil, institusi kesihatan dan pendidikan serta pusat penyebaran dan pengembangan agama serta budaya," katanya.

Turut hadir Menteri Perumahan dan Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan Speaker DUN Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.

Abdul Taib turut meminta masyarakat supaya menerima pembaharuan yang bakal dibawa ke kawasan itu selain memberi jaminan mereka boleh mengekalkan budaya dan adat resam masing-masing.

Beliau berkata penduduk-penduduk Darul Hana akan diberi surat hakmilik tanah kekal yang boleh diwarisi turun-temurunk kecuali dijual kepada pihak lain.

Kerajaan negeri juga akan menawarkan skim kediaman pangsapuri dengan pembayaran berpatutan kepada penduduk yang tidak memiliki rumah dan tanah di kawasan itu.

Premis perniagaan di kawasan itu pula akan disewa kepada peniaga luar untuk tempoh tidak melebih 30 tahun dan hartanah itu akan di diurus oleh pemegang amanah dilantik, katanya.

Sementara itu, Abang Johari berkata pembangunan semula Darul Hana membolehkan aktiviti lebih rancak diadakan yang akan menguntungkan para penduduknya.

Beliau berkata lokasinya di tengah-tengah bandar raya ini akan mewujudkan daerah perniagaan baharu yang pasti mewujudkan banyak peluang perniagaan dan ekonomi untuk penduduk setempat.

"Kerajaan mempunyai misi dan visi untuk projek ini, ia bukan sahaja untuk generasi sekarang tetapi juga untuk generasi akan datang," katanya.

Apabila dilaksanakan sepenuhnya, projek itu akan memberi faedah kepada 14,660 penduduk daripada 3,647 keluarga di 12 kampung tradisi Melayu itu.

"Projek ini akan menyediakan tempat kediaman yang lebih selesa dengan kemudahan untuk kegiatan sosial dan ekonomi," katanya yang yakin Darul Hana boleh menjadi tarikan pelancong di negeri ini.

Pada Oktober lepas, kerajaan negeri membayar pampasan bernilai hampir RM8 juta kepada 272 pemilik tanah bagi tujuan pembangunan semula Darul Hana.
Sumber : Bernama