Tuesday, 21 January 2014

Perodua guna teknologi EEV dalam masa 5 tahun

Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) meninjau untuk meningkatkan teknologi kenderaan cekap tenaga (EEV) dalam masa lima tahun akan datang, kata Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Aminar Rashid Salleh.

Bagaimanapun, beliau berkata pengeluar kereta nasional kedua ini perlu membuat keputusan dahulu untuk melabur dalam teknologi berkenaan memandangkan Dasar Automotif Nasional (NAP) 2014 baru diumumkan hari ini.

"Sudah tentu, banyak penglibatan dengan kerajaan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Institut Automotif Malaysia (MAI) dalam usaha untuk memahami definisi sebenar (EEV).
"Kami berharap keputusan kami terbukti tepat," kata beliau kepada pemberita selepas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed mengumumkan NAP di sini, hari ini.

Perodua menempatkan kedudukannya di bawah segmen Enjin Pembakaran Dalaman (ICE) EEV, yang terdiri daripada tiga segmen iaitu ICE, hibrid dan kenderaan elektrik.

"Alasan mengapa kami tidak memasuki segmen hibrid dan elektrik adalah kerana sebahagiannya melibatkan kos pelaburan yang tinggi yang boleh menyebabkan harga kereta menjadi lebih mahal sedangkan kami mengeluarkan kenderaan yang berkualiti dan mampu milik.

"Sebab lain pula ialah berat bateri. Dalam kereta kompak, adalah sangat penting untuk membina kenderaan seringan mungkin untuk kecekapan bahan api yang lebih baik," katanya.

Mengenai NAP yang baru diumumkan itu, Aminar berkata beliau gembira kerajaan turut menimbangkan beberapa 'hasrat' Perodua.

"Apabila kerajaan membuat keputusan terbaik bagi industri, mereka perlu mendengar pendapat orang ramai. Beberapa cadangan kami terdapat dalam senarai dasar tetapi bagi saya sendiri apa yang lebih utama ialah NAP lebih menyeluruh," tambahnya.

Sasar lulus 3-4 lesen keluar EEV menjelang 2018

Kerajaan menyasarkan untuk meluluskan sekurang-kurangnya tiga hingga empat lesen pengeluaran Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) menjelang 2018 menerusi Dasar Automotif Nasional 2014 (NAP 2014), sekali gus meletakkan Malaysia sebagai hab EEV Asean.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan NAP 2014, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kementerian itu sedang berunding dengan tiga syarikat asing yang akan menerima insentif menerusi NAP 2014.

Beliau berkata, pengecualian duti eksais dan cukai import untuk kenderaan hibrid dan elektrik (EV) juga akan dilanjutkan bagi model-model yang dipasang di Malaysia.

Pengecualian itu dilanjutkan hingga 31 Disember, 2015 untuk hibrid dan 31 Disember, 2017 bagi EV.

Selepas tempoh itu, pengecualian akan diputuskan berdasarkan nilai strategik pelaburan pemasangan kenderaan unit komponen terurai (CKD).
Sumber : Bernama