Monday, 13 January 2014

MU akhirnya menang selepas 3 kekalahan berturut-turut

MANCHESTER United menjelmakan kembali sentuhan kemenangan selepas menderita akibat tiga kekalahan berturut-turut dengan kemenangan 2-0 dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) ke atas Swansea City awal pagi semalam sekali gus menebus kekecewaan ketika tumpas dalam saingan Piala FA minggu lalu.

Lega...Reaksi Antoni Valencia (tiga kanan) selepas meletakkan United di depan pada minit ke-47.
Rentak United tidak terjejas meskipun turun tanpa Wayne Rooney dan Robin van Persie apabila Antonio Valencia dan Danny Welbeck mengambil alih selaku penjaring.

Kemenangan itu menyaksikan United mengumpul 37 mata hasil 21 perlawanan untuk berada di tangga ketujuh liga.

Keputusan itu sememangnya memberi nafas lega kepada Moyes yang tertekan selepas permulaan hambar pada awal tahun termasuk kekalahan di tangan Tottenham Hotspur di Old Trafford, diikuti kekalahan kepada Swansea pada saingan Piala FA dan kemudiannya kecundang kepada Sunderland pada peringkat pertama separuh akhir Piala Liga.

“Satu keputusan baik. Apa pun, saya harap kami akan menjadi lebih baik pada perlawanan akan datang. 

"Dan peningkatan ini harus dikekalkan bagi membuktikan bisa United masih belum hilang," katanya.

Selain itu, Moyes juga menepis khabar angin mendakwa van Persie direhatkan enam minggu susulan kecederaan.

“Saya tak tahu dari mana timbul khabar angin itu. Setahu saya, itu dakwaan yang salah," katanya.
Sumber : Sinar Harian