Friday, 10 January 2014

Mitsubishi ASX dipasang dalam negara tahap kualiti sama di Jepun

Mitsubishi Motors Malaysia hari ini mengumumkan Mitsubishi ASX, kenderaan utiliti sukan (SUV) saiz sederhana, kini dibuka untuk tempahan menjelang majlis pelancaran rasmi kenderaan itu lewat bulan ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Tetsuya Oda berkata model unit komponen terurai (CKD) ASX baharu itu dijual pada harga lebih menarik bagi menampung permintaan pasaran kereta SUV saiz sederhana mampu milik.

"Ia merupakan sebahagian daripada strategi peluasan perniagaan Mitsubishi Motors Corporation dalam pasaran pesat membangun," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Oda berkata kereta yang dipasang dalam negara itu akan mempunyai tahap kualiti yang sama dengan model yang dipasang di Jepun.

SUV kompak bergaya itu ditawarkan dalam dua model, 2WD dan 4WD, pada harga bermula daripada RM114,269,50 bagi 2WD dan RM128,879,50 bagi Varian 4WD atas jalan tanpa insurans.

CKD ASX boleh didapati dalam Black Mica, Titanium Grey, Cool Silver dan Solid White, dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan.
Sumber : Bernama