Monday, 27 January 2014

Kerusi Dun N25 dikosongkan dan Anwar Ibrahim akan jadi MB Selangor?

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang Lee Chin Cheh meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat hari ini.

Perkara itu diumumkan speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Hannah Yeoh petang ini dan akan dimaklumkan secara rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) esok.

Lee Chin Cheh
Yeoh berkata, beliau menerima surat peletakan jawatan pada hari ini.

“Dengan ini, saya mengisytiharkan kerusi DUN N25 Kajang dikosongkan dan SPR seharusnya menjalankan pilihan raya kecil dalam masa 60 hari," kata Yeoh.

Berhubung sebab peletakan jawatan itu, Yeoh berkata perkara itu harus diajukan kepada Lee (kanan) sendiri.

Dalam pilihan raya umum lalu, Lee sebagai calon PKR menang dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru dengan BN, BERJASA dan tiga calon bebas.

Kawasan itu mempunyai 38,965 pengundi dengan 48 peratus Melayu, 41 peratus Cina dan India sebanyak 10 peratus.
Anwar akan bertanding di Kajang?

Peletakan jawatan Lee Chin Cheh sebagai anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang membuka persoalan sama ada tempat itu akan ditandingi oleh Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Samad (kiri) berkata, walaupun hanya mengetahui pengunduran itu melalui media, beliau difahamkan bahawa PKR akan meminta Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berundur dan Anwar akan bertanding dalam pilihan raya kecil.

“Saya hanya dimaklumkan oleh Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution semalam bahawa PKR akan meminta Tan Sri Khalid berundur dan Anwar akan bertanding pada satu pilihan raya kecil,” katanya

Menjawab SMS Malaysiakini hari ini, beliau berkata, beliau akan membincangkan perkembangan itu dengan PAS negeri dan pusat dan merasakan ia masih memerlukan persetujuan ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat.

“Perkara seperti ini sepatutnya dibincang dengan semua parti,” katanya ketika ditanya sama ada PAS Selangor bersetuju dengan pengunduran Lee itu.

Spekulasi itu timbul ekoran laporan The Star Online bahawa Anwar akan menggantikan Khalid sebagai menteri besar.

Portal itu melaporkan bahawa Khalid bersetuju melepaskan jawatannya bagi memberi laluan kepada ketua pembangkang Dewan Rakyat itu.

Anwar bagaimanapun menafikannya.

DAP: Tak pernah bincang

Sementara itu, Pengerusi DAP Selangor Tony Pua (kanan) berkata, setakat ini tiada sebarang perbincangan atau persetujuan dibuat untuk menggantikan menteri besar Selangor dibuat.

“Tidak pernah dibincangkan,” katanya menjawab soalan Malaysiakini.

Sementara itu, Yeoh yang juga ADUN DAP bagi kawasan Subang Jaya jari ini turut ditanya berhubung kemungkinan calon untuk kawasan itu.

“Saya tidak mahu cakap perihal calon dan saya tidak mahu mengulas khabar angin. Agak awal untuk membuat spekulasi. Sehingga hari ini kerusi ini kosong. Itu sahaja,” katanya.

Yeoh juga berkata, oleh kerana ia kerusi PKR, parti itu yang akan mengumumkannya.

Penganalisis: Anwar jadi MB adalah perkara mustahil

Sementara itu, penganalisis politik James Chin (kiri) pula beranggapan mustahil Anwar akan menjadi menteri besar Selangor kerana kedudukannya sekarang sebagai pemimpin nasional.

"Jika beliau jadi menteri besar dia akan berada di kedudukan sama dengan Lim Guan Eng, ketua menteri Pulau Pinang. Itu mustahil," kata beliau ketika dihubungi Malaysiakini.

Chin menganggap cerita 'kurang senang' mengenai PKR itu berkaitan dengan pemilihan parti itu April depan.
Sumber : Malaysiakini 1, 2