Tuesday, 28 January 2014

Kenyataan rasmi PAS dan DAP tentang isu Anwar bertanding di Kajang

PAS hari ini menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan PKR yang meletakkan Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kajang.

Naib Presiden PAS, Slahudin Ayub berkata, PAS sebagai sebuah komponen dalam Pakatan Rakyat sentiasa mendokong semangat kebersamaan dan muafakat bersama PKR dan juga DAP.

"Ini semangat yang ada dalam Pakatan Rakyat, setiap parti akan memberi sokongan sepenuhnya bagi memastikan kemenangan itu milik Pakatan Rakyat, khususnya (kali ini) PKR," jelas beliau kepada Harakahdaily.

Beliau ditemui selepas hadir mewakili PAS pada sidang media PKR hari ini di mana Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan Anwar sebagai calon PRK Dun Kajang.

Turut hadir pada sidang media itu Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Dr Mohd Hatta Ramli, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan Anthony Loke.

Mengulas lanjut, Salahudin berkata memang sudah menjadi kebiasaan mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat yang bertanding, akan disokong oleh rakan parti yang lain dengan mengambil semangat calon itu adalah calon Pakatan Rakyat.

Mengulas pemilihan Anwar pula, Salahuddin berkata, ianya adalah keputusan terbaik yang dirasakan oleh PKR bagi menyelesaikan masalah dalaman parti itu, dan menerima secara terbuka.

"Pencalonan Anwar itu bagi saya isu dalaman PKR dan ia sebagai penyelesaian terbaik, kita diberitahu kekosongan dan tanggungjawab sebagai rakan Pakatan Rakyat kita akan memberi sokongan.

"Begitu juga jika berlaku dalam PAS mahupun DAP, parti-parti akan memberi sokongan," jelasnya.

Sementara itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang pada sidang media turut menyatakan sokongan kepada calon pilihan PKR itu.

Jelasnya, DAP akan memberi kerjasama penuh bagi memastikan Pakatan Rakyat di Selangor boleh mencipta kecemerlangan yang lebih baik.

Ahli Ahli PAS Selangor diminta bertenang

PAS Selangor mengikuti perkembangan politik di Selangor secara langsung dan berhati hati.

PAS Selangor menganggap isu kekosongan kerusi Adun Kajang adalah isu dalaman PKR yang tidak ada kena mengena dengan jawatan dan kedudukan MB Selangor pada waktu ini.

"Apa saja keputusan PKR untuk mengosongkan kerusi adun atau menentukan siapa calon, adalah hak PKR untuk menentukan nya dan PAS Selangor tidak akan terlibat campur"

"Selagi isu jawatan MB Selangor tidak dikaitkan, maka PAS hanya menjadi pemerhati sahaja"

"Namun sekiranya berlaku kekosongan pada jawatan MB, maka PAS Selangor akan mengambil bahagian dalam menentukan siapa calon yang akan di terima oleh rakyat.. Dan PAS Selangor akan turut menghantar senarai calon MB yang dirasakan layak dan sesuai. Ini termasuk menamakan YB Pesuruhjaya PAS Selangor sebagai calon utama kita"

"kita akan hantar nama ini untuk pertimbangan PAS Pusat. Terserah kepada kepimpinan pusat untuk menentukannya kemudian"

"Mengapa kita hantar calon kita? Kerana kita juga memiliki kerusi terbanyak dalam Dewan Undangan Negeri"

"Dengan itu PAS Selangor mintak ahli-ahli PAS di semua peringkat untuk terus bertenang dan menunggu arahan terus dari PAS Selangor dari masa ke semasa".

Apa pun keputusan kita dalam Pakatan Rakyat kita yakin ia mestilah membawa kepada kestabilan kerajaan negeri selangor yang di pimpin oleh Pakatan.

Sumber : KedahLanie, FB PAS Selangor