Thursday, 16 January 2014

Kenangan melahirkan bayi dalam kereta Alza

Sungai Choh (Hulu Selangor) - Menyambut kelahiran bayi ketiga dalam Perodua Alza menjadi pengalaman tidak dapat dilupakan pasangan suami isteri, Dean Arif dan Adeline Chang.

Dean, 36, berkata, detik cemas itu berlaku awal Jun 2011 lalu ketika mereka dalam perjalanan ke Hospital Serdang setelah isterinya mengadu sakit mahu melahirkan anak.

Dean memerhatikan isterinya ketika menceritakan pengalaman melahirkan anak ketiga mereka di dalam Perodua Alza.
“Tetapi, setibanya di laluan berdekatan kilang minuman di Putera Height, isteri mendesak supaya menghentikan kereta di tepi jalan kerana tidak mampu bertahan dan bayi kami sudah mahu keluar.
“Saya minta isteri bertahan memandangkan jarak hospital sudah dekat, namun dia tetap memaksa saya berhenti,” katanya ketika ditemui pada program Apakah Cerita Perodua Anda? di Ibu Pejabat Perodua di sini, semalam.

Menurut Dean, apabila melihat keadaan isteri menahan kesakitan, dia berhenti membantu isterinya menyambut kelahiran bayi mereka.

"Ketika itu, saya benar-benar bersyukur kerana kedua-duanya selamat. Saya letakkan bayi dalam pelukan isteri sebelum meneruskan semula perjalanan ke hospital," katanya.

Katanya, kini anak ketiganya, Zane Arif berusia setahun empat bulan dan sesuatu yang unik juga kerana dalam sijil kelahirannya turut tertera Zane lahir dalam kereta.

“Kami juga menyedari sesuatu yang lucu mengenai Zane dan Alza ketika dia masih bayi.

“Kami pernah membawanya bersiar menaiki Alza dan Zane mula menangis walaupun berhenti seketika di lampu isyarat tetapi kembali ceria sebaik kenderaan bergerak,” katanya yang menggunakan Perodua Alza sejak Mac tahun lalu.

Malah, Dean mengakui ruang selesa dan ciri keselamatan yang termuat dalam kenderaan pelbagai guna itu melakar kebahagian dalam keluarga mereka.

Menurut pasangan ini, sebelum menggunakan Perodua Alza, mereka menggunakan Perodua Viva selama lebih lima tahun.

"Namun, apabila memikirkan bilangan ahli keluarga bakal bertambah, kami sepakat membeli Perodua Alza walaupun selepas membuat tinjauan di pusat edaran kenderaan luar negara," katanya.
Sumber : Sinar Harian