Tuesday, 14 January 2014

Kenaikan Gaji Exco Selangor tidak dibeku tetapi dipotong

Pimpinan tertinggi Selangor tetap akan menikmati kenaikan gaji seperti yang diputuskan sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) November lalu, bagaimanapun pendapatan berkenaan dipotong untuk tujuan suntikan ke dalam tabung negeri bagi program kebajikan rakyat.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Abdul Samad memaklumkan, gaji menteri besar, speaker, timbalan speaker dan Exco kekal naik sebagaimana dipersetujui sebulat suara Rang Undang-undang Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri (Saraan) Pindaan 2013, namun dipotong bukannya dibekukan seperti dilaporkan.

“Kenaikan gaji masih kekal seperti yang diluluskan Dun bagaimanapun dipotong untuk dimasukkan ke tabung negeri bagi melaksanakan program kebajikan demi kesejahteraan rakyat Selangor.

“Peratusan pemotongan untuk setiap jawatan berkenaan adalah berbeza-beza,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Selangor berkata, pertambahan gaji kekal seperti diluluskan Dun sebelum ini oleh sebab ia tidak mudah dipinda.

“Kalau nak ubah gaji kena pinda dalam Dun, ia terlalu rumit. Oleh yang demikian, dimuktamadkan sebulat suara gaji menteri besar, speaker, timbalan speaker dan Exco dipotong untuk disalurkan ke tabung negeri untuk tujuan kebajikan,” katanya.

Iskandar yang juga Adun Cempaka berkata, tindakan kerajaan Selangor melaksanakan pemotongan gaji baharu yang dinaikkan berkuat kuasa 1 Januari ialah berlandaskan dasar prihatin dan empati dengan nasib rakyat yang dihimpit bebanan kos sara hidup mendadak.

“Inisiatif kerajaan negeri ini hasil sepakat semua ahli dewan bagaimanapun, kenaikan gaji Adun daripada RM6,000 kepada RM11,250 tidak akan dipotong,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, memaklumkan cadangan kenaikan itu dibuat berdasarkan beban tugas yang dipikul ahli dewan tanpa mengira waktu serta keberkesanan pembaharuan dilaksanakan badan eksekutif dan legislatif.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan atas dasar keberkesanan melaksanakan tanggungjawab iaitu menunjukkan hasil dan pendapatan negeri meningkat, pertimbangan sewajarnya diambil atas permintaan kesemua Adun.

Sementara itu, Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Daroyah Alwi membetulkan kenyataannya dalam laporan kelmarin bahawa gaji gaji menteri besar, speaker, timbalan speaker dan Exco dipotong bukannya dibekukan seperti dimaklumkan.

“Gaji bukan dibekukan sebaliknya dipotong. Bagaimanapun, tunggu pengumuman menteri besar berhubung peratusan dan terma serta syarat pemotongan,” katanya.
Sumber : Sinar Harian