Thursday, 23 January 2014

Jumpa mayat bayi perempuan di tandas masjid

Di Kangar, jemaah di Masjid Alwi di sini gempar selepas salah seorang daripada mereka menjumpai mayat bayi perempuan cukup sifat dibuang di tepi lubang tandas lelaki di masjid berkenaan kira-kira jam 7 pagi tadi.

Mayat bayi yang dijumpai di dalam tandas lelaki di masjid Alwi. 
Dalam kejadian itu, Harian Metro difahamkan jemaah lelaki berkenaan baru selesai mengerjakan solat subuh berjemaah di situ dan pergi ke tandas berkenaan sebelum ternampak mayat bayi tersebut diletakkan bersebelahan lubang tandas di situ.

Dia kemudian memaklumkannya kepada pihak pengurusan masjid yang selepas itu memeriksa keadaan bayi yang sudah tidak bernyawa ketika ditemui.

Mereka kemudian memaklumkannya kepada pihak polis sebelum polis daripada bahagian forensik memeriksa lokasi kejadian termasuk bayi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, bayi masih basah bertali pusat dipercayai baru sahaja diletakkan di situ dan dilahirkan beberapa jam sebelum itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan jalan membuang mayat dengan sulit.
Sumber : Harian Metro