Monday, 20 January 2014

Harga kereta turun antara 20-30 peratus dalam tempoh lima tahun

Dasar Automotif Nasional (NAP) 2014 yang diumumkan hari ini bertujuan menjadikan Malaysia hab bagi kenderaan cekap tenaga (EEV) dan juga memenuhi janji Barisan Nasional semasa pilihan raya umum lepas untuk menurunkan harga kereta antara 20 peratus dan 30 peratus bagi tempoh lima tahun akan datang.

Di bawah NAP, lebih banyak model dan varian kereta nasional baharu pada harga kompetitif akan diperkenalkan tahun ini, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed semasa mengumumkan NAP itu di sini, hari ini.

Beliau berkata, keseluruhannya NAP 2104 menyediakan pakej kewangan berjumlah kira-kira RM2 bilion dan langkah-langkah serta pelan pelaksanaan untuk merealisasikan NAP 2014.

Mustapa berkata, satu daripada objektif utama NAP 2014 adalah untuk meningkatkan tahap eksport kenderaan dan komponen automotif dan menyasar sekurang-kurangnya 200,000 unit kereta dieksport dan eksport komponen mencecah nilai minimum RM10 bilion pada 2020.

Beliau berkata, kerajaan juga terbuka kepada kemungkinan mengurangkan duti eksais secara berperingkat apabila keadaan fiskal membenarkan. 
Sumber : Bernama