Monday, 13 January 2014

Gambar anggota polis mabuk tepi jalan bukan situasi sebenar?

Gempar apabila di laman-laman media sosial tersebar gambar dua anggota polis peronda yang dipercayai mabuk dirakam tertidur dalam kereta peronda yang diberhentikan di bahu jalan.

Empat keping gambar yang disebarkan itu menunjukkan dua orang dalam pakaian seragam polis sedang nyenyak, dengan seorang daripadanya memegang tin minuman keras.

Dalam kereta polis itu juga kelihatan senjata api yang diletakkan di tempat duduk bahagian belakang kenderaan tersebut.

Selain itu, sumber turut memuatkan gambar nombor pendaftaran kenderaan polis tersebut.
Namun seorang pengguna Facebook, Nordin Mansor yang memberi komen di laman Facebook Suara Rakyat mengatakan gambar itu bukanlah situasi sebenar dan turut menafikan anggota polis dalam gambar tersebut benar-benar mabuk.

Nordin yang juga dipercayai seorang anggota polis menjelaskan bahawa situasi berkenaan adalah latihan bagi menggambarkan kesalahan dalam waktu kerja.

Tiada kompromi terhadap anggota bertugas di bawah pengaruh alkohol

Ekoran penyebaran gambar dua anggota polis yang dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol semasa menjalankan tugas rondaan, kedua-dua identiti anggota tersebut telah dikenal pasti .

Kedua-dua anggota terbabit telah ditukarkan serta merta tempat penugasan dan siasatan lanjut berkaitan insiden itu sedang dijalankan.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius terhadap kesalahan yang dilakukan oleh mana-mana anggota yang didapati mengabaikan tanggungjawab menjaga keselamatan masyarakat.

PDRM juga tidak akan melindungi dan berkompromi dengan pegawai dan anggota yang telah melakukan kesalahan yang boleh menjejaskan imej pasukan.

Orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada PDRM sekiranya mendapati mana-mana pegawai dan anggota polis yang melakukan kesalahan dan tidak berintegriti.