Tuesday, 21 January 2014

Filem Hollywood milik Riza Aziz diharamkan di Malaysia

Filem tersohor tetapi sarat dengan kontroversi 'The Wolf of Wall Street' dilaporkan diharamkan tayangannya di Malaysia ekoran bahasa dan kandungan yang lucah.

"Sumber-sumber dalaman pejabat filem kerajaan Malaysia memaklumkan THR yang pengedar filem itu sedia maklum yang mereka akan berhadapan masalah besar dengan lembaga penapisan kerana kelucahan, babak bogel serta seks sewaktu tayangannya," lapor laman web hiburan The Hollywood Reporter.

Filem itu diterbitkan Red Granite Pictures, syarikat yang dimiliki bersama oleh Riza Aziz (kiri) yang merupakan anak Datin Seri Rosmah Mansor, hasil daripada perkahwinan pertamanya.

Filem Hollywood yang diarahkan Martin Scorcese itu menyaksikan pelakon utamanya, Leonardo DiCaprio memenangi anugerah pelakon terbaik bagi kategori komedi dan muzikal pada anugerah Golden Globe ke-71 Ahad lalu.

Presiden Red Granite Pictures, Christian Mercuri dipetik oleh THR sebagai berkata kandungan filem itu bermasalah bagi wilayah-wilayah tertentu .
"Sebahagian daripada kandungan dalam filem itu menjadikannya sukar dibenar tayang di wilayah tertentu di mana mereka membuat tapisan dan boleh mengharamkan tayangan sesebuah filem," beliau dipetik sebagai berkata.

"Anda cuba membuat filem untuk penonton di seluruh dunia. Ini sebuah filem yang menakjubkan sepanjang tiga jam tayangannya. Adalah mengecewakan apabila negara-negara tertentu tidak membenarkan seni ditayangkan secara keseluruhan," katanya.

Filem, yang merupakan pesaing untuk Academy Award tahun ini, mencipta rekod penggunaan perkataan lucah 'F' paling banyak dalam filem R-rated. Menurut Variety, perkataan 'F' itu didiucapkan 506 kali dalam filem itu, atau 2.81 kali seminit.

Red Granite Pictures membenarkan kandungan tertentu filem itu dipotong untuk melepasi proses tapisan di beberapa negara.

Sebagai contoh, bagi tayangan di India, ada babak terpaksa dipotong iaitu adegan pesta seks gay liar dan adegan onani di tempat awam.

Setakat ini, filem itu telah mengutip AS $80 juta di Amerika Syarikat dan AS$40 juta di peringkat antarabangsa.
Sumber : Malaysiakini