Thursday, 9 January 2014

Bilik Tun Dr Mahathir tidak dikosongkan di Menara Berkembar Petronas

Petroliam Nasional Bhd (Petronas) telah menyangkal dakwaan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) bahawa ia mengambil tindakan mengosongkan pejabat Tun Dr Mahathir Mohamad berikutan pengumuman hasrat beliau untuk meletak jawatan sebagai penasihat.  

Dalam satu kenyataan hari ini, Petronas berkata sepanjang pengetahuan syarikat itu, Dr Mahathir masih merupakan penasihat Petronas dan mengekalkan pejabatnya di Menara Berkembar Petronas.    
   
"Petronas amat menghormati dan memandang tinggi Dr Mahathir atas sumbangannya bukan hanya kepada syarikat ini tetapi kepada negara," katanya.
   
Syarikat minyak negara itu menjawab laporan sebelum ini oleh MTEM, yang berkata ia diberitahu oleh sumber yang boleh dipercayai dari Petronas dan dari pejabat Dr Mahathir bahawa Petronas telah memalukan bekas perdana menteri itu dengan mengosongkan dan mengunci pejabat beliau di KLCC dalam tempoh 24 jam selepas beliau mengumumkan hasratnya untuk meletak jawatan sebagai penasihat.
   
"Petronas dengan tegas mengecam kenyataan berniat jahat MTEM yang membuat dakwaan palsu atas sebab-sebab yang boleh dipersoalkan.
   
"Keputusan mengenai hal yang berkaitan dengan pelantikan atau peletakan jawatan penasihat Petronas adalah prerogatif Pejabat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan di luar bidang kuasa Petronas," kata kenyataan itu.
Sumber : Sinar Harian