Sunday, 19 January 2014

Bas terbabas di Lebuhraya Utara Selatan 3 maut 15 cedera

Batu Pahat: Tiga maut manakala 15 orang lagi cedera termasuk 11 parah selepas bas ekspres yang mereka naiki terbabas sebelum terbalik di Kilometer 107 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berhampiran Yong Peng, awal petang tadi.

KEADAAN bas terbalik dalam kemalangan mengakibatkan tiga terkorban petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pada jam 1.50 petang itu, bas yang dinaiki 17 penumpang dipercayai dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke selatan.
Bas berkenaan dipercayai hilang kawalan dan terbabas melanggar penghadang jalan sebelum terbalik ke parit bersebelahan.
Mangsa meninggal dunia dikenal pasti sebagai Mohd Sofuan Nurhakim Mohd Zaidi, 21; Mohd Amirul Asyraff Yaakub yang juga sepupu Mohd Sofwan serta Mohammad Zikri Othman, 10.
Semua mangsa cedera dan terkorban dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat untuk rawatan dan bedah siasat.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi mengucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa kemalangan berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Miros, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk menjalankan siasatan.

“Kita akan bekerjasama dengan semua agensi berkaitan seperti JPJ, SPAD dan Miros untuk melakukan siasatan terperinci berkaitan kemalangan yang berlaku kerana ia melibatkan kemalnagan sendiri.

“Selain itu, kita juga akan memastikan setiap pemandu bas dan pemandu pengangkutan awam termasuklah teksi dan lori memandu dengan berhati-hati dengan mengantung lesen pemandu yang cuai.

“Kita juga akan ‘membuang’ lesen pemandu berkenaan jika mereka melakukan kesalahan buat kali kedua, dan buat masa ini bermula Oktober 2013, kira-kira 1,000 pemandu dalam pemantauan kami,” katanya.
Sumber : Harian Metro. mStar