Friday, 10 January 2014

Astro perlu ada pesaing untuk mutu yang lebih baik

Semalam lagi badan saya tidak sihat. Berkebetulan hari ini hari minggu, maka saya bercadang untuk menonton satu dua program Astro. Malang sekali, siarannya tergendala disebabkan oleh gangguan cuaca.

Saya lalu memikirkan tentang caj Astro. Saya tahu Astro telah menaikkan caj yurannya pada 24 November 2013, iaitu RM2 untuk pakej Family dan RM6 untuk Pakej Sports.

Semasa mengumumkan kenaikan itu dahulu, pihak Astro menyatakan komitmennya untuk terus memberikan nilai yang terbaik kepada semua pelanggannya.

Betulkah Astro memberikan perkhidmatan terbaik?

Saya tidak nampak terbaiknya. Hari ini, dengan sekadar angin bertiup sepoi sahaja, siarannya terganggu. Aduh! Jika di England, tempat saya belajar dahulu, hujan atau ribut, siaran tv berbayarnya tidak pula terganggu. Itulah bezanya.

Mengenang kembali, saya ingat hal ini berlaku sejak Astro mula diperkenalkan lagi. Sudah banyak rungutan dibuat, tetapi sampai sekarang Astro tidak mengatasinya. Ini kerana jika Astro buat pun tidak ada tambahan keuntungan padanya.

Yang Astro buat ialah memperkenalkan pakej baru yang melibatkan tambahan yuran dan menggantikan Astro dengan Astro Beyond yang juga melibatkan tambahan yuran kepada pelanggannya. 

Apa lagi kelemahan mutu perkhidmatan Astro?

i. Menyiarkan rancangan sama secara berulang-ulang sehingga naik jemu untuk melihatnya.

ii. Memperkenalkan pakej baru untuk mewajarkan tindakannya mengenakan caj yang baru kepada pelanggan. Astro perlu ingat, apabila cajnya naik, maka pelanggan juga perlu membayar cukai tambahan kepada caj baru yang dikenakan. Jadi di sini sudah berlaku dua kenaikan. Tidakkah Astro terfikir dengan beban yang dipikul oleh rakyat dengan kenaikan ini? 

iii. Jika ada masalah teknikal, apabila kita telefon Astro untuk dibaiki tindakannya lambat sekali melainkan cepat memotong talian kita apabila terlambat membayar bil.
Mengapa Astro boleh bersikap begini? 

Ini kerana Astro memonopoli siaran berbayar di negara ini. Pada 2 Julai 2011, kerajaan pernah berjanji untuk menghapuskan monopoli ini, namun sehingga hari ini janji tersebut sepi begitu sahaja.

Saya sendiri tidak pasti apakah tindakan Astro menaikkan yurannya pada November lalu adalah dengan kelulusan menteri atau sebaliknya. 

Yang saya tahu ialah sebelum menaikkan caj yuran Astro perlu terlebih dahulu perlu memaklumkan hal ini kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

SKMM pula perlu menyiasat kewajaran permintaan Astro tersebut. Selepas itu, Menteri dengan kuasa yang diberikan kepadanya di bawah Seksyen 199 Akta Komunikasi dan Multimedia boleh menentukan harga setiap perkhidmatan yang ditawarkan demi kepentingan orang ramai. 

Namun, dalam soal ini saya tidak mempunyai maklumat lengkap siapa yang memberi kelulusan kepada Astro untuk menaikkan caj ini.

Yang saya tahu ialah Astro menyatakan kenaikan pada bulan November lepas adalah buat pertama kali dalam tempoh dua tahun dan menyifatkannya sebagai ‘peningkatan sederhana’.

Yang saya tahu juga ialah kualiti perkhimatan Astro lemah. 

Yang saya tahu ialah Astro memonopoli siaran tv berbayar di negara ini. Ini berbeza dengan negara lain. Misalnya, India dan Indonesia mempunyai enam operator TV berbayar, dan Australia tiga.

Salah satu syarikat TV berbayar di India menawarkan 155 saluran TV dengan harga serendah RM9.17, jauh lebih murah dengan caj bayaran di negara kita. 

Saya teringat semasa saya di Bahrain dan Oman, saya tengok siaran tvnya di hotel sampai ratusan saluran. Kita di sini, masuklah hotel berapa bintang pun, siaran tvnya terbatas sekali. Jadi, kalau kita mahu berehat di hotel sambil menonton tv, jawapannya bukanlah di hotel Malaysia.

Rugikah Astro jika tidak menaikkan yuran tambahan? 

Astro menyatakan ia terpaksa menaikkan pakej sukan kerana bayaran untuk mendapatkan siaran sukan telah meningkat dan Astro terpaksa menampung kosnya dengan banyak. Wajarkah alasan Astro tersebut? Saya fikir di peringkat ini masih belum wajar.

Ini kerana Astro boleh menampung kenaikan kosnya dengan bayaran iklan yang diperolehinya. Tontonlah program popular Astro, penuh dengan iklan yang cukup lama. Jika Astro hendak menaikkan bayarannya, maka kurangklah durasi iklan tersebut. Astro juga perlu berlaku adil kepada pelanggannya. 

Menutup rungutan hari minggu ini sambil menunggu demam dan sakit badan saya sembuh, saya mencadangkan supaya kerajaan mengambil langkah berikut.
  1. Hapuskan monopoli Astro.
  2. Nilai semula caj yang dikenakan oleh Astro supaya rakyat tidak lagi terbeban dengan kos bayaran bil yang semakin tinggi.
  3. Menyediakan saluran tv sukan untuk anak-anak muda menonton sukan yang dibiayai oleh kerajaan. Ini supaya Astro tidak lagi memonopoli siaran sukan dan tidak lagi sewenang-wenangnya menaikkan caj langganan kepada pelanggannya.
Di akhirnya, dengan tahap rakyat resah dengan kenaikan pelbagai barangan dan kos hidup sekarang ini, wajar sekali untuk Astro menurunkan semula caj yurannya, sebaliknya yang perlu dinaikkan ialah mutu perkhidmatannya. 

Sesungguhnya, hari ini hasrat saya untuk menonton program Astro tergendala seketika.