Tuesday, 28 January 2014

Anwar Ibrahim sah bertanding di kerusi DUN Kajang

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertanding di kerusi DUN Kajang yang kosong apabila penyandangnya, Lee Chin Chen dari PKR meletakkan jawatan semalam, umum Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Parti Keadilan dan Pakatan Rakyat setuju meletakkan calon Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan bertanding," kata Khalid dalam sidang media di ibu pejabat PKR pagi ini.
AMK: Hanya satu pilihan di Kajang, Anwar

Pemuda PKR (AMK) menegaskan, tiada calon lain yang sesuai mewakili Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang melainkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Berdasarkan pengalaman dan kewibawaan beliau memimpin negara, AMK percaya Anwar adalah calon terbaik untuk bertanding kerusi DUN dan seterusnya diangkat sebagai menteri besar,” kata ketuanya Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Katanya, AMK percaya kepimpinan Anwar dapat menggerakkan lebih pantas agenda reformasi di Selangor dan menterjemahkan agenda konsensus nasional.

Dalam kenyataannya semalam, Shamsul berkata, mereka menghormati keputusan Bendahari AMK Lee Chin Cheh yang meletakkan jawatan.

Menurut Shamsul, ia dibuat demi kepentingan negeri dan rakyat serta mengatasi sebarang pertimbangan peribadi.

“Ini membuka ruang untuk PKR dan Pakatan menawarkan pemimpin yang lebih berkaliber dan berpengalaman untuk memimpin negeri Selangor sebagai menteri besar,” katanya yang juga anggota Parlimen Bukit Katil.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Hannah Yeoh semalam mengumumkan kekosongan kerusi DUN Kajang ekoran peletakan jawatan Lee.

Undang-undang menetapkan pilihan raya kecil mesti diadakan dalam tempoh 60 hari.
Sumber : Malaysiakini 1, 2