Tuesday, 21 January 2014

Anggota imigresen cedera dalam operasi 6P

Di Melaka Seorang anggota Imigresen Melaka cedera dalam kemalangan melibatkan van dan trak jabatan itu selepas selesai operasi bersepadu 6P di sekitar Melaka Tengah, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi di kawasan perindustrian Krubong di sini, Siti Zaerah Sharif, 21, mengalami kecederaan ringan di hidung dan dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan.

Timbalan Pengarah Imigresen (Kawalan) Melaka, Abu Bakar Sidek Hasan berkata, ketika kejadian, anggota imigresen itu bersama tujuh anggota dan pegawai termasuk pemandu baru selesai melakukan operasi selama enam jam bermula 12 tengah malam tadi di empat tapak pembinaan di sekitar Melaka Tengah.
    
Beliau berkata, trak itu pula membawa sekumpulan rakyat asing yang ditahan dalam operasi berkenaan ke pejabat Imigresen Melaka di Ayer Keroh.  
    
"Van berkenaan mengekori trak itu sebelum melanggar trak yang masuk ke kanan jalan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
    
Beliau berkata, anggota dan pegawai lain serta rakyat asing yang ditahan tidak cedera. 
Sumber : Bernama