Thursday, 23 January 2014

Ahli Parlimen Nurul Izzah disahkan tuntut cerai

Spekulasi meluas bahawa anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar memfailkan penceraian disahkan melalui rekod mahkamah syariah, lapor The Star Online.

Menurut laporan itu, semakan dengan Mahkamah Syariah Rendah Jalan Duta mendapati naib presiden PKR itu memfailkan petisyen penceraian terhadap suaminya Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim bulan lalu iaitu hujung tahun lepas.

"Raja Ahmad Shahrir telah menerima petisyen itu pada 16 Januari lalu."

"Beliau telah minta penangguhan prosiding itu untuk melakukan persediaan itu," lapor The Star Online.
Dalam pada itu, laporan tersebut juga menyatakan pegawai mahkamah itu telah mengesahkan perkara itu.

Nurul Izzah, 33, dan pasangannya telah mendirikan rumah tangga pada Mei 2003 dan dikurniakan sepasang cahaya mata yang berusia tujuh dan empat tahun.

Dilaporkan juga bahawa anak Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim itu enggan mengulas dengan alasan ia hal peribadi.

Bagaimanapun, menjawab soalan berkaitan di Twitter, beliau menjawab "Nope" (tidak).

Beliau disoal seorang pengguna: "salam, betul ke akak tuntut fasakh... keluar news"

Beliau menjawab: "wassalam. Nope".

Penceraian boleh berlaku sama ada melalui ta'liq, fasakh atau tebus talak.

'Kami gigih berusaha pastikan kelangsungan perkahwinan ini'

Pasangan Nurul Izzah Anwar dan Raja Ahmad Shahrir Raja Salim berkata mereka amat sedih dengan "cubaan gangguan yang menyentuh perkara peribadi kami apabila kami gigih berusaha untuk memastikan kelangsungan perkahwinan ini".

"Keluarga kami menjadi keutamaan," kata pasangan itu dalam satu kenyataan petang ini.

Ia sebagai reaksi kepada spekulasi meluas bahawa ahli Parlimen Lembah Pantai itu memfailkan penceraian disahkan melalui rekod mahkamah syariah.

"Kami ucapkan terima kasih kepada semua yang melahirkan keprihatinan, dan kami memohon semua pihak agar diberikan ruang peribadi pada waktu-waktu ini," kata mereka dalam kenyataan tiga perenggan itu.