Wednesday, 25 December 2013

Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya Matruji mati ditembak polis

SEPANG - Seorang warga asing yang mengetuai kumpulan samun dan pecah rumah 'Matruji' maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis, di Taman Mas di sini malam semalam.

Geng yang diketuai suspek berusia 43 tahun itu aktif sejak 2005 dan terbabit dalam sekurang-kurangnya 27 kes di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, serta merupakan antara geng penjenayah warga asing paling dikehendaki.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, dalam kejadian 9 malam itu, suspek dikenali sebagai Mat Ting War @ Matruji dikesan oleh polis peronda yang melihat sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan.

"Semasa polis hendak membuat pemeriksaan, suspek terus melarikan diri ke arah belukar berhampiran. Suspek kemudian melepaskan beberapa tembakan ke arah polis menyebabkan anggota terbabit membalas tembakan berkenaan," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Katanya suspek maut di tempat kejadian dan pemeriksaan polis menemukan sepucuk pistol automatik jenis Vzor 70 cal 7.65 serta tiga butir peluru.       

Abdul Rahim berkata, pemeriksaan dalam but kereta suspek menemukan satu pemotong besi besar dan kuku kambing, dipercayai untuk kegiatan jenayah.

Kereta itu juga dilapor hilang di Sikamat, Negeri Sembilan pada Mei lepas, katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mengenai suspek mendapati lelaki itu dipercayai pendatang tanpa izin serta pernah dipenjarakan dari 2009 hingga 2011 atas kesalahan samun.

Polis kini sedang mengesan anggota geng itu yang dipercayai antara empat dan enam orang, disyaki bersembunyi di Selangor, katanya. 
Sumber : Bernama

Baca lagi >>

Syukur balu mangsa terima pencen bulanan RM1,600

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan menyalurkan pencen bulanan sebanyak RM1,600 kepada balu Shahidi Asyraf Zainal Abidin yang maut tersepit kontena pada 17 Disember lalu.

Pengurus Perkeso Negeri, Mamsor Abdul Manaf berkata, pencen bulanan terbabit akan dimasukkan terus ke dalam akaun bank Mazni Mansor, 28, mulai Januari hadapan.

“Urusan berkaitan proses pencen ini berjaya disiapkan dalam tempoh seminggu dan kami berterima kasih kepada pihak majikan arwah yang memberi kerjasama.
Mamsor menyerahkan cek pengurusan jenazah kepada Mazni di Kampung Permatang Berangan, Tasek Gelugor semalam.
“Kami amat bersimpati dengan tragedi yang menimpa dan berharap bantuan yang diberikan dapat meringankan beban keluarganya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan cek pengurusan jenazah berjumlah RM1,500 ketika melawat keluarga mangsa di Kampung Permatang Berangan, Tasek Gelugor semalam.
Terdahulu, mangsa yang bertugas sebagai pekerja kontrak maut selepas tersepit antara kontena ketika kerja pemunggahan dijalankan di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT).

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala selepas terhimpit di antara dua kontena yang sedang dialihkan.

Mamsor berkata, pencen tersebut dibayar kepada isteri dan anak mangsa, Syazrina Awatif, 1 tahun.

“Walau bagaimanapun, pencen bahagian anak akan dihentikan apabila menjangkau usia 21 tahun namun sekiranya dia melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat ijazah, pencen akan diteruskan sehingga umurnya 24 tahun.

“Selain itu, anaknya turut berpeluang membuat pinjaman menerusi Perkeso sekiranya tidak mendapat tajaan untuk melanjutkan pengajian,” katanya.

Mazni yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Kulim ketika ditemui berkata, dia berterima kasih di atas bantuan yang dihulurkan semua pihak.

“Buat masa ini, saya tinggal bersama keluarga manakala ibu saudara akan menjaga anak ketika saya bekerja.

“Kami sepatutnya berpindah ke kediaman sendiri tahun hadapan namun setakat ini, saya akan terus tinggal bersama ibu bapa saya,” katanya.
Sumber : Sinar Harian

Baca lagi >>

Ikan naik ke darat tiada kaitan tsunami dan gempa bumi

Kejadian beribu-ribu ikan tamban melompat dan terdampar di pantai Kampung Tambisan di Lahad Datu, Sabah semalam bukan petanda tsunami akan berlaku.
Ketua Kluster Sumber Asli dan Majlis Alam Sekitar, Profesor Negara Prof Datuk Dr Ibrahim Komoo berkata, insiden itu tidak mempunyai kaitan dengan tsunami kerana tiada sebarang gegaran atau gempa bumi dikesan.

"Tidak mungkin akan berlaku tsunami kerana tiada sebarang gempa walaupun pada skala kecil direkodkan di kawasan sekitar," kata Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu itu kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata, kejadian itu tidak semestinya berkait dengan alam sekitar seperti tsunami sebaliknya boleh dikaitkan dengan fenomena alam tabii.
Menguatkan lagi pandangannya, Dr Ibrahim yang juga bekas Pengarah Institut Kajian Bencana Asia Tenggara Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, kejadian pelik itu hanya melibatkan sejenis ikan iaitu ikan tamban dan tiada hidupan laut lain.

"Kalau sejenis ikan sahaja ia mungkin berkait dengan perubahan fisiologi ikan itu sendiri.

"Atau... kejadian itu juga disebabkan perubahan dalam laut sendiri, misalnya suhu air dan kadar kemasinan air laut," katanya.

Dr Ibrahim berkata, ikan sangat sensitif dengan perubahan kandungan air dan perubahan keseimbangan dalam diri ikan juga akan membuat haiwan itu berkelakuan pelik. 

Jabatan Meteorolgi Malaysia juga tidak mengesan sebarang pergerakan kerak bumi di sekitar Lahad Datu, yang dikaitkan dengan fenomena ribuan ikan tamban terdampar di pantai Kampung Tambisan Tungku, pagi semalam.
   
Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Sabah, Abdul Malek Tussin berkata, berdasarkan sistem amaran awal tsunami, keadaan dasar laut di kawasan berkenaan juga seperti biasa.
   
Bagaimanapun jabatan ini tetap memantau pergerakan kerak bumi terutama di dasar laut di kawasan terbabit, katanya kepada Bernama di sini hari ini.
   
Sementara itu Pengarah Jabatan Perikanan Sabah Datuk Rayner Stuel Galid berkata kejadian tersebut merupakan kali pertama berlaku di Sabah.
   
"Selalunya ikan tamban ini berada di tengah laut, jarang di tepi pantai," katanya.
  
Beliau berkata, pihaknya telah menghantar pegawai ke kawasan berkenaan bagi melakukan siasatan.
   
Ketua Polis Daerah Lahad Datu Superintendan Mat Shamsuddin pula berkata pasukan keselamatan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk bencana alam.
   
Dalam kejadian 8 hingga 9.30 pagi itu, ribuan ikan tamban seolah-olah naik ke darat dan menarik perhatian masyarakat setempat dengan ada antara mereka menganggap fenomena tersebut sebagai petanda bencana alam seperti tsunami.
Sumber : Bernama

Baca lagi >>

Zalim! Budak 4 tahun maut disyaki dera di pusat jagaan

Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun meninggal dunia dipercayai akibat didera di pusat penjagaan di Kuantan, Pahang.

Norain Natasyah Abdullah meninggal di Unit Rawatan Rapi Hospital Kuala Lumpur pagi Isnin selepas dihantar ibunya Zuraidah Jasman pada Sabtu lepas setelah mendapati anaknya mengalami sawan, tubuhnya keras dan tidak sedarkan diri.
Gambar hiasan
"Doktor memberitahu keadaan Norain tenat selain otaknya tidak ada oksigen," katanya yang telah berpindah ke sini.

Beliau yang berpisah dengan suaminya berkata anak bongsu dari enam beradik itu dihantar ke pusat penjagaan itu bersama empat lagi anaknya selama tiga tahun. 

Zuraidah, 31, berkata abangnya pernah memberitahunya Norain sering didera ketika dihantar ke pusat penjagaan tersebut.

Jenazah kanak-kanak itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Salak Selatan petang tadi.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, ACP Khairi Ahrasa berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Bedah siasat yang dijalankan mendapati terdapat unsur jenayah dan kita akan buat tangkapan dalam masa terdekat," katanya.
Sumber : Bernama

Baca lagi >>

Blogger fitnah tetap kena bayar saman RM130,000

ALOR SETAR - Mahkamah Tinggi Alor Setar hari ini mengekalkan keputusan memerintahkan pengendali blog Padi Jantan, Sobri Sudin membayar RM130,000 kepada bekas Setiausaha Politik Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor kerana menfitnahnya dengan menyiarkan laporan palsu di laman blog berkenaan.
Pesuruhjaya Kehakiman, Abu Bakar Katar, membuat keputusan berkenaan dalam kamarnya.

Abu Bakar menolak permohonan lampiran 22 dan 23 defendan untuk mengenepikan perintah mahkamah berhubung lampiran 16 berkenaan fitnah yang dibuatnya pada 22 Julai tahun lalu terhadap Sanusi berhubung fitnah mengaitkan plaintif dengan jenayah rasuah berjumlah RM1.3 juta. Bagaimanapun keputusan memihak kepada plaintif yang dibuktikan dalam perbicaraan penuh.

Menurutnya, lampiran 23 dan 23 berkenaan ditolak dengan kos sebanyak RM2,000 kerana defendan gagal membuktikan isi kandungan afidavit sokongannya antara lain beliau tidak pernah menerima writ saman berhubung tuntutan kes berkenaan.

Berdasarkan fakta, pada 30 April lalu penyampaian ganti sudah beberapa kali pergi ke alamat yang diketahui milik defendan namun beliau tiada di rumah. Akhirnya pada 9 Jun, penghantar notis mahkamah menfailkan afidavit penyampaian ganti di mahkamah dan menampalkan notis terbabit di alamat terakhir beliau di Flat Taman Seri, Gemilang, Mergong serta papan kenyataan mahkamah.

Mahkamah memutuskan defendan gagal untuk membuktikan beliau tidak menetap di alamat itu dan kes berkenaan tamat serta tiada sebarang rayuan di peringkat mahkamah rayuan berikutan defendan gagal memasukkan sebarang notis rayuan yang berakhir pada 30 November lalu.

Keputusan pada 30 Oktober kekal dengan defendan diarahkan membayar ganti rugi am sebanyak RM100,000 dan kos sebanyak RM30,000 serta tambahan RM2,000.

Muhammad Sanusi diwakili peguam Amirul Fairuzzeen Jamaluddin manakala defendan diwakili Shariman Osman.

Sementara itu, Shariman akan tetap membuat rayuan terhadap keputusan kehakiman dalam tempoh 14 hari.
Sumber : Sinar Harian

Baca lagi >>

'Rakan saya yang dahulu pro-BN, sudah mulai menyampah' kata Ridhuan Tee

Ahli akademik kontroversi Ridhuan Tee Abdullah memberi amaran bahawa pengundi Melayu mungkin mengalihkan sokongan dalam pilihan raya umum akan datang sekiranya kerajaan menaikkan kadar bayaran tol lebuh raya.
Dalam tulisannya di akhbar Sinar Harian hari ini, Ridhuan berkata parti Umno sepatutnya membentuk strategi untuk memastikan pengundi Melayu tidak terpengaruh dengan kempen Pakatan.

“Dahulu, Melayu mudah lupa, tetapi kini tidak lagi. Melayu sudah mula mengingati perkara yang telah dilupai sebelum ini.
“Saya bimbang PRU14 Umno akan berasa akibatnya, jika langkah berjaga-jaga tidak diambil. Rakan-rakan saya yang dahulu pro-BN, sudah mulai menyampah!,” katanya.

Mutu lebuhraya itu tetap tidak meningkat walau dengan kenaikan kadar harga tol, kata Ridhuan lagi.

“Adakah kerajaan sudah buta dengan semua kenaikan ini? Bagaimana rakyat mahu menghadapi semua keadaan ini? Adakah benar BN bermaksud barang naik?,” katanya lagi. 

Tambahnya, kerajaan sepatutnya menyemak semula perjanjian antara syarikat pemegang konsesi lebuhraya untuk mengelakkan perjanjian berat sebelah.

“Peliknya kenapa kita menandatangani perjanjian bodoh yang tidak menyebelahi rakyat? Sama seperti perjanjian air dengan Singapura,” katanya lagi.

Katanya lagi, syarikat berkenaan sepatutnya lebih berhati perut kerana sudahpun meraih banyak keuntungan, termasuk dari hasil iklan papan tanda di lebuh raya.

“Logiknya, tol tidak perlu naik, tetapi semakin turun harga, Maklumlah, pengguna semakin bertambah. Jalan raya tidaklah dibaiki hari-hari,” katanya lagi.
Sumber : malaysiakini

Baca lagi >>

17 keluarga rumah setinggan setuju pindah secara aman

NIBONG TEBAL - Seramai 17 keluarga yang terlibat di dalam isu Ladang Byram akhirnya bersetuju untuk berpindah selepas rundingan diadakan bersama Timbalan Ketua Menteri 2, Dr P Ramasamy.

Beliau berkata, persetujuan dapat dicapai melalui perbincangan yang berlangsung di Kompleks Pejabat Kerajaan Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) pada 23 Disember lalu.
Ramasamy (depan, lima kiri) dan Lip Chee (depan, empat kanan) berbual bersama penduduk kampung selepas perbincangan di Kompleks Pejabat Kerajaan Daerah SPS.
“Kesemua 17 keluarga yang terlibat terpaksa dipindahkan namun kerajaan negeri akan memberikan pampasan sebanyak RM3,000 setiap keluarga.

“RM1,000 akan diberikan sejurus selepas tawaran perpindahan diterima manakala bakinya selepas keluarga ini mengosongkan kediaman masing-masing,” katanya.

Terdahulu, kesemua keluarga terlibat diarahkan berpindah selepas kawasan setinggan yang diduduki akan dijadikan tempat pelupusan sampah.

Turut menghadiri perbincangan ialah Adun Jawi, Soon Lip Chee.

Beliau berkata, kesemua penduduk turut ditawarkan menyewa sebuah rumah pangsa di Jawi dengan bayaran sebanyak RM100 sebulan.

“Walau bagaimanapun, bayaran sewaan dikecualikan bagi empat bulan pertama dan sebanyak RM180 dari wang pampasan akan dibayar kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

“Untuk memudahkan penduduk, lori akan disediakan untuk memastikan perpindahan berjalan lancar.

“Hasil perbincangan juga memutuskan kesemua penduduk perlu mengosongkan kediaman mereka sebelum 7 Januari hadapan,” katanya.
Sumber : Sinar Harian

Baca lagi >>

Hiburan bertukar tragedi apabila gas meletup di pub

KUALA LUMPUR - Seorang pekerja dan seorang pengunjung sebuah pub cedera akibat letupan gas di premis pub berkenaan di pusat beli-belah Jaya One, Seksyen 13, Petaling Jaya, dekat sini awal hari ini.
Gambar hiasan
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohamad Sani Harul berkata dua lelaki itu mengalami kecederaan di beberapa anggota badan setelah terkena serpihan letupan.
    
Beliau berkata kedua-dua mangsa berusia lingkungan 30-an itu dilaporkan stabil dan dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya.
    
Mohamad Sani berkata dalam kejadian itu pihaknya menerima panggilan kira-kira 1.50 pagi dan menggegaskan sebuah jentera dengan kekuatan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 7, Petaling Jaya yang tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian.
    
"Siasatan awal bomba mendapati letupan itu berpunca daripada kebocoran gas di bahagian dapur pub tersebut. Setakat ini nilai kerugian masih lagi disiasat," katanya.
Sumber : Bernama

Baca lagi >>

Penguat kuasa bermandi air kencing angkara Along

IPOH – Berang bunting dirampas penguat kuasa tempatan, sindiket along bertindak lebih berani dengan memasangnya bersama bungkusan air kencing yang disorokkan di belakang bunting terbabit.

Bungkusan itu bertujuan mengenakan anggota PBT yang merentap semasa menurunkan bunting-bunting dalam Op Cantas Khas Vulture (ah long).

Kejadian itu dialami Pembantu Penguatkuasa Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Firdaus Ahmad semasa menjalankan penguatkuasaan mengikut Undang-Undang Kecil Iklan 2010.

Menurutnya, lebih 10 kali dia terkena air kencing ketika melakukan tugas-tugas menurunkan bunting haram yang dipasang di pokok mahupun  tiang-tiang lampu sekitar bandar ini.
Maszely (dua, kiri) menunjukkan bunting yang telah diturunkan dalam Op Cantas Vulture (Ah long) bersama Penolong Pengarah (Penguatkuasa), Jabatan Perlesenan dan Penguatkuasaan MBI, Ahmad Zaiyadi Sudin (dua dari kanan).
“Kita tidak nampak bungkusan itu kerana ia tersorok di belakang bunting tetapi bila direntap, habis pakaian basah. Bau, jangan cakap la memang busuk. Saya terpaksa menukar pakaian sebelum meneruskan tugas,” katanya ketika ditemui dalam Op Cantas Khas Vulture (ah Long) bersama MBI di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Sungai Senam di sini, semalam.

Dalam Op kira-kira jam 2.30 petang itu, sebanyak 1,500 bunting berjaya diturunkan melibatkan kawasan Ipoh, Batu Gajah, Hilir Perak, Taiping dan Manjung.

Ketua Jabatan Siasatan Komersial, Superintendan Maszely Minhad berkata, pihaknya akan mengenal pasti dalang-dalang yang terlibat memberi perkhidmatan pinjawan wang haram itu.

Menurutnya, hukuman berat sehingga dikenakan denda RM1 juta diberikan kepada sindiket yang memberi perkhidmatan setelah didapati bersalah mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.

“kita akan pantau nombor telefon yang terdapat pada iklan-iklan kita akan hantar ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk kenal pasti dalang-dalang itu, buat risikan dan tangkapan sehingga didakwa.

“Individu yang menggantungkan iklan pinjaman wang haram itu juga akan turut diambil tindakan mengikut Seksyen 29AA akta yang sama yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Sumber : Sinar Harian

Baca lagi >>

10 ekor lembu jadi korban Fizo Omar

Pelakon Fizo Omar tumbang 10 ekor lembu sempena majlis resepsinya di Kelantan pada Sabtu ini.

Sebelum ini, majlis yang sama telah diadakan di kampung halaman isterinya, Mawar Abdul Karim, di Pulau Pinang.

"Memang penat tetapi berbaloi untuk melihat seluruh ahli keluarga kami berkumpul.
"Saya juga ingin menjemput peminat ke rumah saya pada Sabtu ini, untuk kenduri ini saya menumbangkan 10 ekor lembu. Dianggarkan jumlah tetamu yang bakal hadir adalah 7,000 orang," katanya dipetik Utusan Online.

Untuk resepsi di ibu negara, Fizo dan Mawar bersetuju untuk mengadakannya pada 25 Januari depan di sebuah hotel terkenal.

Dalam pada itu, Fizo yang baharu pulang berbulan madu bersama isteri di Eropah memberitahu yang isterinya belum lagi ada tanda-tanda hamil.

Tindakannya memuat naik baju bayi di laman sosialnya membuatkan ramai yang beranggapan, mereka bakal menimang cahaya mata.

"Saya tidak pasti sama ada isteri saya mengandung atau tidak, tetapi tujuan saya membeli baju bayi itu tempoh hari sekadar kenangan sahaja.

"Tidak salah juga kalau pembelian baju-baju bayi ini sebagai persedian kami berdua. Kami bukan beli sehelai dua, tetapi banyak sebab baju bayi comel," katanya.
Sumber : Sinar Harian

Baca lagi >>