Saturday, 21 December 2013

Kenapa ahli politik boleh, wartawan dilarang?

Dari dulu-dulu lagi, saya memang tidak pernah faham perkara ini: Kenapa kita benarkan parti pembangkang bergerak tetapi tutup media kritis?

Orang politik dibenarkan tubuh cawangan parti sampai ke ceruk-ceruk pedalaman, dibiarkan memaki kerajaan sepuas-puas hati dan diraikan di Parlimen serta Dewan Undangan Negeri.

Kenapa wartawan tidak diberikan layanan seumpama itu? Kenapa mereka tidak boleh menubuhkan syarikat media dan mengedarkan akhbar mereka di merata-rata tempat?

Apa istimewanya ahli politik pembangkang berbanding wartawan kritis sehingga satu duduk di kelas atas, sementara satu lagi harus terjerembab jadi warga kelas bawah?

Apakah kerana orang politik kerjanya hanya bercakap, sementara wartawan sepanjang masa hanya menulis, maka harus didiskriminasikan?

Apakah kerana ahli politik asyik berdiri di pentas ceramah, manakala wartawan sepanjang waktu di meja tulis, maka kami harus dianaktirikan?

Penggantungan The Heat, yang baru setahun jagung, menjadi contoh paling klasik.
Akhbar mingguan itu hanya memuatkan kupasan-kupasan isu perdana menteri dan isterinya Rosmah Mansor yang telah dibahaskan di Parlimen.

Isu-isu ini pula telah dilaporkan dengan meluas oleh beberapa portal terkenal, seperti Malaysiakini, dan ia juga tersebar merata-rata di segenap ceruk media sosial.

Ahli-ahli Dewan Rakyat memperkatakannya dengan meluas, sama ada yang mengkritik atau yang membela Najib Abdul Razak dan perdana menterinya (maaf, isterinya, maksud saya).

Saya fikir, pada waktu itu, setidak-tidaknya beratus-ratus ribu pembaca dan penyokong parti politik sudah mengikuti perkembangan tersebut.

Namun, apabila semua ini dikumpul dan diolah semula oleh The Heat, isu-isu itu dijadikan masalah oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Kementerian tiba-tiba mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada mingguan tersebut. Belum apa-apa, seminggu kemudian, tersebar berita The Heat digantung permitnya tidak bertali, suspended indefinitely.

Sedangkan kita tahu akhbar mingguan, berbahasa Inggeris pula, selalunya tidak meluas edarannya, seperti Off The Edge (yang tidak lagi beroperasi). Apatah lagi ia baru muncul beberapa bulan lalu.

Jika ada pembacanya, tentulah terkhusus di bandar dan di kalangan kelas terpelajar -- mereka yang sudah mengetahui isu-isu ini melalui portal-portal berita dan sindiran-sindiran kecil di media sosial.

Berbanding Harian Metro atau Harakah, jumlah edaran serta pengaruh The Heat buat masa ini seumpama terlekat di celah-celah gigi dua akhbar Melayu berpengaruh itu.

Jika The Heat mempunyai dampak seumpama Harakah, saya boleh faham (walau tidak mungkin bersetuju) kenapa ia digantung permit penerbitannya. Tetapi kenapa The Heat?

Pembacanya hanya di kota besar, di kalangan kelas menengah berbahasa Inggeris dan juga, mungkin, mereka yang sudah menyokong pembangkang dalam pilihan raya Mei lalu.

Justeru, untuk apa lagi KDN mahu menyekat akhbar mentah, setahun jagung ini, sedangkan tiada untung politik yang besar diperolehinya?

Malah, tindakannya itu akan menunjukkan kerajaan bawah pimpinan Najib sangat gasar sifatnya, tidak bertamadun sama sekali.

Perdana menteri perlu diingatkan semula keganasan pada peserta-peserta BERSIH dan bagaimana tindakan KDN yang bebal itu memadamkan beberapa baris laporan majalah mingguan tersohor, The Economist.

Atas tindakan tersebut, imej negara tercalar; sedang pembaca masih senang-senang akses edisi lengkap laporan mingguan niaga itu di Internet (yang cuba dipadamkan oleh KDN).

Perdana menteri akhirnya mengakui bahawa tindakan kementerian tidak berjaya memadamkan maklumat The Economist.

Malah, tindakan memadamkannya mendorong laporan itu tersebar lebih meluas dan menarik perhatian lebih ramai pembaca.

Susulan kegagalan KDN yang memalukan itu, sebagai damage control, Najib mengumumkan transformasinya dalam bidang media.

Kerajaan meminda Akta Penerbitan dan Mesin Cetak dengan melupuskan syarat wajib memperbaharui permit penerbitan setahun sekali.

Hari ini, akhbar dan majalah tidak perlu bersusah payah melayan karenah pegawai-pegawai KDN setiap tahun. Selepas mendapat permit, editor terus menerbit dan mengedarkan media masing-masing.

Atas transformasinya itu, penyokong Najib menyifatkan beliau seorang tokoh yang serius ingin mereformasikan negara dengan membuang saki-baki kawalan media yang diperketatkan sewaktu era Dr Mahathir Mohamad.

Tetapi rupa-rupanya tidak. Najib tidak serius dengan transformasinya. Beliau hanya ingin memancing undi.

Sebelum pilihan raya umum, perdana menteri inginkan citra sebagai reformis bangsa yang susah payah cuba memenuhi hasrat kita semua.

Selepas pilihan raya, citra reformisnya boleh ditanggalkan seperti mengganti baju. Beliau tidak tekal dengan transformasinya.

Selepas pilihan raya umum, citra reformisnya sudah tidak penting lagi. Lagipun, Najib sudah menang, Umno mendapat lebih banyak kerusi.

Transformasinya kini bertukar 'transforosmah'! Akibat transforosmah itu, maka tergantunglah The Heat dalam sejarah persuratkhabaran kita.

Saya kini sangat-sangat faham apa ertinya transformasi. Yang saya masih belum faham: Kenapa kita benarkan parti pembangkang bergerak tetapi tutup media kritis?

Baca lagi >>

Safee Sali selamat diijab kabul dengan Shasha

Pemain bola sepak kebangsaan, Safee Sali selamat bernikah dengan pasangan seorang wanita dari seberang pagi ini.
Khabar gembira itu dikongsikan menerusi Facebook rasmi SafeeSali_10 Official.

Status daripada Facebooknya berbunyi:
"Alhamdulillah. Safee telahpun selamat bernikah pagi ini. Terima kasih di atas doa kalian & sokongan yang diberikan. Sesungguhnya, jodoh pertemuan itu semua telah ditentukan oleh Allah S.W.T. Sama-samalah kita doakan kebahagiaan Safee & Shasha di dunia & akhirat kelak."
Sebelum ini gosip bertebaran mengatakan Safee bakal bernikah dengan wanita yang dikenali dengan nama Shasha, seorang warganegara Indonesia, apabila kad perkahwinan mereka tersebar di internet.  
Majlis persandingan di pihak lelaki akan diadakan pada 28 Disember di Bidor, Perak.

Safee sebelum ini pernah berkahwin dengan Sabarina Yusoff pada tahun 2007 dan bercerai pada 2012.

Mereka dikurniakan dua orang cahaya mata hasil perkahwinan tersebut.
Sumber : Sinar Harian

Baca lagi >>

Cepat kahwin sebelum GST dilaksanakan

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli menasihatkan mereka yang masih belum berkahwin supaya menamatkan zaman bujang sebelum cukai barangan dan perkhidmatan (GST)  dilaksanakan pada 1 April 2015.
Jelas Rafizi yang juga merupakan ahli Parlimen Pandan, pelaksanaan GST akan memberi bebanan kepada bakal pengantin kerana terpaksa membayar lebih kepada katerer.
"Sekiranya GST dilaksanakan, semuanya turut akan terkesan, semua barang akan naik harga," katanya ketika majlis pelancaran kempen Faham GST - Tolak GST di Kelab Sulaiman, di sini, malam tadi.

Sementara itu, Rafizi menjelaskan hanya beberapa perkara sahaja dikecualikan GST sebaliknya hampir keseluruhan barang dan perkhidmatan akan dikenakan cukai tersebut, sekali gus akan menambah penderitaan rakyat.

"Hanya belacan, cencaluk, kacang dhal, beras, sektor pendidikan dan kesihatan sahaja yang akan dikecualikan GST, namun hampir keseluruhan barang dan perkhidmatan selain perkara itu akan dikenakan GST.

"Oleh itu, saya sarankan rakyat tolak GST kerana GST akan memberi bebanan kepada kita," katanya.
Sumber : Sinar Harian

Baca lagi >>

Bentuk baharu BR1M untuk tahun 2015 sedang dikaji

Kementerian Kewangan sedang mengkaji penyediaan bentuk baharu Bantuan Rakyat 1Malaysia yang mungkin diperkenalkan menjelang 2015.
   
"Kami sedang menjalankan beberapa kajian mengenai kaedah untuk meneruskan BR1M, dan bentuknya. Kami harap menjelang 2015, model baharu yang menghubungkannya dengan rasionalisasi subsidi kerajaan dapat diperkenalkan," kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah
Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Skim Pembiayaan Hak milik Intelek di sini hari ini.
Model baharu subsidi akan lebih berkesan berbanding format semasa yang diamalkan oleh kerajaan.
   
"Ini merupakan waktu penyesuaian," katanya sambil menambah bahawa dalam jangka panjang, kerajaan mahu membantu rakyat menikmati pendapatan tinggi dan bukan hanya BR1M atau baucar buku untuk pelajar.
   
Penyesuaian pendapatan itu adalah sejajar dengan Program Transformasi Ekonomi Kerajaan manakala langkah-langkah semasa yang dijalankan oleh kerajaan, termasuk pembangunan industri teknologi tinggi yang akan mewujudkan lebih banyak pekerjaan dan menambah pendapatan isi rumah.
   
Sementara itu, Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata ia akan mengagihkan RM4.6 bilion untuk BR1M pada 2014, yang akan memberi manfaat kepada 7.9 juta penerima.
   
Pada 2013, kerajaan mengagihkan RM2.9 bilion kepada 6.8 juta penduduk. 
Sumber : Bernama

Baca lagi >>

Benjy lega pemergian Azean Irdawaty

Anak kepada Allahyarhamah seniwati Azean Irdawaty, Khaeryll Benjamin atau Benjy yang juga seorang pelakon mengakui bahawa dia redha dan lega dengan pemergian ibunya.
Benjy yang ditemui pada majlis pengebumian turut mengakui bahawa dia merindui arwah ibunya dan perasaan lega itu wujud kerana Allahyarham tidak lagi perlu melalui keperitan melawan penyakit yang dihidapinya.

Allahyarham Azean Irdawaty meninggal dunia pada Selasa pukul 8.25 malam di Hospital Universiti, Petaling Jaya, Selangor setelah lapan tahun bertarung dengan tumor dan lymphedema.

Menurut Benjy, arwah ibunya berpesan agar dia cepat berkahwin.
Sumber : Astro Awani

Baca lagi >>

54 peratus responden amat tidak percaya hujah ekonomi kerajaan

Lebih dari separuh responden yang ditinjau oleh pusat kajian Merdeka Center berkata mereka “tidak percaya dengan kenyataan kerajaan mengenai ekonomi”.
Malah, seorang dari setiap lima orang yang diselidik dalam tinjauan itu berkata mereka “amat tidak percaya” dengan kenyataan berkenaan.

Tinjauan berkenaan meminta responden menyenaraikan masalah utama yang dihadapi negara ini dan mendapati isu ekonomi menjadi kebimbangan utama yang digariskan oleh 67 responden.

Kebimbangan lain yang disenaraikan di tahap lebih rendah ialah isu kaum, isu politik, jenayah dan masalah sosial.

Selain itu, kira-kira 55 peratus dari 1,000 rakyat Malaysia yang menjadi responden dari seluruh Malaysia berkata mereka tidak memahami Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dibentangkan oleh perdana menteri dalam Bajet 2014.
Sumber : Malaysiakini

Baca lagi >>

Cara untuk kakitangan awam dapat miliki rumah sendiri dengan lebih mudah

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), mencadangkan agar kerajaan menyediakan pinjaman perumahan berasaskan harga rumah kepada penjawat awam.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, ini bagi memastikan kakitangan kerajaan dapat memiliki rumah sendiri dengan lebih mudah.
“Pinjaman sekarang adalah berasaskan gaji. Ini bermakna, penjawat awam tidak mendapat pinjaman penuh dan selebihnya terpaksa meminjam bank.

“Sekiranya dapat pinjaman penuh daripada kerajaan, lebih mudah. Mereka boleh bayar pinjaman itu dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan wang pencen,” katanya ketika berucap di Konvensyen Tri-Tahunan Ceupacs ke-26 yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, di sini, semalam.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

Katanya, Cuepacs turut mencadangkan agar kerajaan mengkaji semula imbuhan tetap perumahan penjawat awam sebanyak RM180 sebulan dan kadar faedah pinjaman perumahan sebanyak empat peratus.

“Harga rumah sekarang mahal dan hampir 35 peratus kakitangan awam tidak ada rumah sendiri.

"Jadi, kita harap kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan ini mengikut kemampuan kerajaan,” katanya.

Selain itu, badan itu juga meminta kerajaan memberi cuti tanpa rekod kepada penjawat awam untuk menunaikan umrah.

Dalam ucapannya itu, Omar turut mengumumkan keputusannya untuk menamatkan perkhidmatannya sebagai presiden Cuepacs yang disandangnya sejak tujuh tahun lalu.

Konvensyen Cuepacs ke-26 akan berlangsung selama tiga hari.
Sumber : Sinar Harian

Baca lagi >>