Friday, 20 December 2013

'Saya dengar keluh-kesah rakyat' kata Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau mendengar keluh-kesah rakyat terutama berkenaan kenaikan kos sara hidup.
Beliau menegaskan kerajaan sentiasa mencari formula sesuai untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan mereka.

Dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya, Najib berkata pada masa sama, kerajaan juga perlu memandang ke hadapan demi memastikan ekonomi negara terus mampan.

"Disebabkan itu, kerajaan bersetuju menubuhkan Makmal Mengenai Kos Sara Hidup di bawah Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU)," katanya.

Beliau menjelaskan makmal itu bertujuan mengkaji dan merangka langkah susulan untuk meringankan beban rakyat dalam mengharungi masalah kenaikan kos sara hidup.
Sumber : Bernama

Baca lagi >>

Dividen ASB 2013 dan bonus turun berbanding 2012

Pemegang unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) akan menerima dividen 7.70 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2013 berbanding 7.75 sen tahun lepas.

Sejumlah 8.26 juta pemegang unit, yang kini memiliki sejumlah 127.2 bilion unit ASB, juga akan menerima bonus sebanyak 1.00 sen seunit.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Bhd (PNB) Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata walaupun pengagihan dividen kali ini rendah sedikit berbanding tahun lepas, kadar itu kekal kompetitif di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global.
"Kadar ini juga bukanlah yang terendah yang pernah diagihkan oleh PNB kerana pada tahun 2009, pengagihan dividen termasuk bonus adalah 8.6 sen seunit.

"Sebenarnya PNB mampu membayar dividen sebanyak 10.54 sen seunit untuk tahun ini, tetapi kita bawa ke hadapan 2.71 sen seunit bagi membantu portfolio dana ini untuk lebih berdaya mampan di masa hadapan," kata beliau kepada pemberita selepas pengumuman pengagihan pendapatan ASB oleh Pengerusi PNB Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid di sini hari ini.

Sementara itu, Ahmad Sarji berkata peruntukan bagi pengagihan pendapatan itu membabitkan jumlah pembayaran sebanyak RM9.38 bilion manakala bayaran bonus sebanyak RM706.88 juta.

"Jumlah pendapatan kasar ASB pada 31 Disember 2013, adalah dijangkakan sebanyak RM9.92 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 15.1 peratus berbanding pendapatan kasar sebanyak RM8.62 bilion yang diperoleh pada tahun lepas," kata beliau.

Ahmad Sarji berkata pendapatan dividen daripada syarikat pelabur menyumbang RM4.41 bilion atau 44.5 peratus daripada pendapatan kasar dan keuntungan daripada jualan saham menyumbang RM4 bilion atau 40.3 peratus.

Baki 15.2 peratus atau RM1.51 bilion adalah daripada lain-lain pendapatan, kata beliau.

Pembayaran pengagihan pendapatan dan bonus bagi tabung ASB akan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun pemegang unit dan para pemegang unit boleh mengemas kini buku pelaburan ASB masing-masing di ibu pejabat PNB atau ejen-ejen ASNB di seluruh negara mulai 2 Januari 2014.

Semua urus niaga bagi ASB akan ditangguhkan pada 22 Disember 2013 sehingga 1 Januari 2014 bagi tujuan pengiraan pendapatan dan bonus.

Sementara itu, semasa ditanya mengenai perkembangan terkini ASB2, Hamad Kama berkata PNB masih mengkaji struktur yang bersesuaian.

"Bukan kami tidak mahu memberitahu sekarang, tetapi kami mahu memastikan yang kami perlu menstrukturkan portfolio kami ke tahap yang akan dilihat sebagai  pakej yang lebih baik yang diperkenalkan kepada pasaran.

"Ia akan mengambil masa sedikit dan sudah tentu apabila siap nanti, kami berharap Perdana Menteri akan dapat melancarkannya," kata beliau.

Hamad Kama berkata antara struktur yang ditinjau PNB ialah dari segi peruntukan aset.
Sumber : Astro Awani

Baca lagi >>

Diddy Hirdy AF4 rela ikat perut untuk dapat ijazah

Pelakon dan penyanyi Diddy Hirdy menyifatkan kejayaannya menerima Ijazah Sarjana Muda kelas Pertama Komunikasi (Kepujian) dari Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah pada Ahad adalah antara nikmat hidup terhebat selepas pelbagai dugaan yang ditempuh sepanjang tiga tahun bergelar pelajar.
Diddy menerima Ijazah Sarjana Muda kelas Pertama Komunikasi (Kepujian) dari Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah.
Diddy atau nama sebenarnya Syamsul Hirdy Muhid, 28, berkata, memandangkan dia juga ada tanggungjawab lain sebagai suami dan bapa, dia perlu bijak mengawal kewangannya yang perlu menampung keluarga dan pada masa sama menjelaskan yuran bayaran pengajian sebanyak RM20,000 (untuk tiga tahun) sehinggakan pernah menahan lapar untuk berjimat cermat.
"Pengurusan kewangan antara yang paling penting sepanjang bergelar pelajar dan juga ketua keluarga. Walaupun saya sering menerima undangan nyanyian dan lakonan, ini tidak bermakna saya boleh gunakan duit sewenang-wenangnya.

"Apa yang penting wang pendapatan saya cukup buat kebajikan keluarga dan yuran pengajian. Malah saya sanggup 'ikat perut' demi mendapatkan ijazah ini. Dan Alhamdulillah, saya merasai kemanisan selepas dugaan yang dilalui.

"Selain itu, saya juga ingin menjadi contoh baik kepada anak sebagai pemberi semangat untuknya belajar apabila dewasa kelak," katanya yang dihubungi mStar Online pada Ahad.

Tambah Diddy, kerana kejayaannya mengekalkan keputusan nilai purata gred kumulatif (CGPA) 3.8 ke atas, dia turut menerima pingat emas Naib Cancelor UUM pada majlis konvokesyen tersebut.

Antara petua untuk dia kekal dengan pencapaian sedemikian kata Diddy, seseorang yang belajar secara sambilan perlulah mempunyai komitmen yang tinggi terhadap apa yang dipelajari.

Diddy turut memberitahu, pada tahun depan, dia merancang untuk menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dalam Perniagaan Global, Hiburan dan Muzik di Berkley School Of Music di Valencia, Sepanyol.

"Sekarang ini, temubual sudahpun selesai dan saya akan menyambung pengajian di Valencia tahun depan.

"Bagaimanapun saya ingin merakamkan sebuah single lagu baru dan mempromosikannya sebelum menyambung pengajian saya itu. InsyaAllah, saya akan bawa isteri dan anak bersama," ujarnya.

Sementara itu, selain Diddy, turut menerima ijazah pada majlis konvokesyen tersebut ialah Emelda Rosnaida, Zed Zaidi, Zehra Zamri dan Neves.
Sumber : mStar

Baca lagi >>

Tiada bukti Puteri Diana dibunuh SAS

LONDON - Pihak berkuasa Britain, kelmarin memaklumkan tiada bukti kukuh menunjukkan Puteri Diana dibunuh seorang Askar Komando Perkhidmatan Udara Khas (SAS) seperti yang didedahkan Ogos lalu.
Jurucakap Perkhidmatan Polis Metropolitan (MPS) memberitahu mereka telah melakukan siasatan terperinci untuk menilai kredibiliti maklumat tersebut.

Difahamkan, dipetik dari AFP, dakwaan menerusi sepucuk surat itu dibuat oleh mertua seorang bekas askar yang mendakwa SAS bertanggungjawab di atas kematian Diana dan perkara tersebut dikatakan tidak didedahkan kepada umum.

Hasil siasatan ke atas kematian Diana bersama teman lelakinya, Dodi al-Fayed sebelum ini mendapati kemalangan yang berlaku di sebuah terowong di Paris pada Ogos 1997 itu berpunca daripada kecuaian pemandu mereka. 
Sumber : Sinar Harian

Baca lagi >>

Akaun bank Fedtri Yahya diceroboh

Akaun bank milik pengacara terkenal, Ahmad Fedtri Yahya telah diceroboh.

Fedtri memaklumkan perkara tersebut melalui laman mikro Twitter, kira-kira jam 11.30 pagi semalam.
Sejurus mengetahui perkara tersebut, Fedtri telah membuat laporan polis.

Fedtri juga sempat menasihatkan orang ramai agar sentiasa menyemak akaun bank masing-masing.

“Sentiasa semak akaun bank anda. Akaun saya telah diceroboh. Laporan polis telah dibuat. Tunggu siasatan,” tulisnya.

Melalui interaksi dengan pengikutnya di Twitter, Fedtri memberitahu kejadian tersebut melibatkan akaunnya di sebuah bank tempatan.

Fedtri mendakwa kemungkinan ada pihak yang menggunakan kad pendua ekoran banyak transaksi pengeluaran wang.

“Mungkin (ada) orang guna kad pendua. Ada banyak transaksi pengeluaran wang. Nasib cepat kesan,” katanya.
Sumber : Sinar Harian

Baca lagi >>

Tahun depan kena belajar ikat perut?

Nampaknya saya dan keluarga kenalah ikat perut. Hal ini kerana harga barangan keperluan harian semakin hari semakin membimbangkan melambung naik. Bayangkan harga ikan kembung, selar dan berjenis ikan lain yang manusia boleh makan sudah naik harganya hingga mencecah RM20 sekilogram dan udang yang kecil saja saiznya dahulunya RM10 sekilogram kini sudah RM28 sekilogram. 
Adakah kita akan menghadapi inflasi atau mata wang kita sudah susut nilainya ataupun keadaan terpaksa kerana fenomena di seluruh dunia menghadapi ancaman dan turut terlibat menghadapi situasi sebegini? Ataupun adakah negara kita saja berhadapan dengan masalah kerana tidak bijak menanganinya.

Apa akan jadi nilai RM100 pada tahun 2020 nanti? Adakah dengan nilai sebegitu pada masa itu hanya mampu beli sekilo udang atau sotong? Atau dengan nilai wang kertas RM100 hanya boleh bertahan makan nasi lemak di sebelah pagi dan untuk makan tengah hari sahaja tetapi untuk makan malam sudah tidak mampu lagi?

Inilah yang merisaukan kita kalau tidak berhati-hati menangani secara bijak untuk mengatasi segala masalah yang kita hadapi sekarang ini. Perlukah dalam keadaan sebegini harga tarif eletrik, harga minyak dan bahan api yang lain serta harga tol hendak kita naikkan lagi dalam keadaan tergesa-gesa dan agak serentak itu? 

Diharap ia dapat ditangguhkan sehingga rakyat bersedia dan pendapatan rakyat lebih terjamin lagi. Kalau sekiranya kita mampu berikan gaji sekurang-kurangnya sekali ganda apa yang pekerja dapat dinegara ini ketika ini silakan kerana ia bolehlah dikatakan seimbang tetapi kalau sebaliknya risiko untuk ikat perut sampai terjerut itu berpotensi sangatlah
Sumber : harakahdaily

Baca lagi >>