Saturday, 14 December 2013

Bahaya naik motor pakai topi keledar mainan kanak-kanak

Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) kecewa dengan sikap sesetengah ibu bapa yang mengabaikan keselamatan anak-anak apabila menggunakan topi keledar mainan ketika membonceng motosikal.

Pengarah JKJR negeri, B. Shanthini berkata, pihaknya mengesan masih ramai ibu bapa menggunakan topi keledar berkenaan ketika pihaknya menyertai operasi bersepadu,  bukannya topi keledar yang menepati piawaian.
Shanthini (kanan) menunjukkan contoh topi keledar kanak-kanak yang menepati piawaian. Manakala Abdullah menunjukkan sebahagian daripada topi mainan (kiri) yang kerap digunakan ibu bapa ketika ini.
Menurutnya, topi berkenaan tidak direka khas untuk kegunaan motosikal, sebaliknya hanya untuk berbasikal atau papan luncur beroda.
Alasan sering diberi ibu bapa adalah mereka tidak mengetahui terdapat topi keledar untuk kanak-kanak dijual di pasaran, selain tidak mahu menggunakan topi keledar dewasa kerana ia longgar ketika dipakai kanak-kanak.

“Mereka juga lebih suka beli topi mainan ini kerana murah. Tapi, harga sebenarnya sama dengan topi keledar dewasa iaitu antara RM30 hingga RM40 satu,”  katanya pada majlis perjumpaan Pengarah JKJR bersama media di pejabat JKJR negeri, dekat sini semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengarah JKJR negeri, Abdullah Kechut.

Shathini berkata, pihaknya menyediakan tidak kurang 10 topi keledar kanak-kanak setiap kali menyertai operasi bersepadu untuk ditukarkan kepada mereka yang menggunakan topi mainan.

Sementara itu, Shanthini berkata, pihaknya akan menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri dalam memantau penjualan topi mainan di kedai-kedai motosikal.
Sumber : Sinar Harian

Baca lagi >>

Ibu tunggal dipenjara sehari dan denda RM1,000 sebab mencuri coklat

Di Kuala Terengganu seorang ibu tunggal hanya mampu menangis teresak-esak di kandang mahkamah apabila diminta membuat rayuan sebelum hukuman penjara sehari dan denda RM1,000 dijatuhkan selepas mengaku bersalah mencuri coklat milik Pasaraya Giant, di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Selain itu, Noor Shila Mamat, 28, dari Jalan Kamaruddin, Kampung Banggol, di sini, turut berdepan hukuman penjara selama sebulan lagi sekiranya gagal menjelaskan jumlah denda berkenaan.
Noor Shila dipenjara sehari dan didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam.
Kesemua keputusan itu dibuat selepas Noor Shila mengaku bersalah telah mencuri lima keping coklat Cadbury Cashewnut 175 gram; lima keping coklat Cadbury Almond 175 gram; lima keping coklat Cadbury Mired Nuts 175gram dan lima keping coklat Cadbury Dairy Milk H/Nut Praline 175 gram.

Dia mengaku bersalah mencuri coklat yang bernilai keseluruhan RM150 bersama dengan seorang lagi yang telah dituduh di Pasaraya Giant, Jalan Sultan Mohamad, di sini, pada 6 Febuari 2010 di antara jam lebih kurang 5.35 petang hingga 5.45 petang.
Dengan itu, Noor Shila mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri di dalam bangunan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 14 tahun dan denda, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L Rathna di hadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi manakala Noor Shila tidak diwakili peguam bela.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian lebih kurang jam 6 petang, seorang pengawal keselamatan bertugas yang sedang melakukan rondaan telah menerima maklumat daripada salah seorang pekerja memaklumkan terdapat seorang wanita berbaju hijau dan bertudung kuning bersama seorang lelaki telah memasukkan barang ke dalam beg tanpa membuat pembayaran terlebih dahulu.

Sebaik sahaja menerima maklumat tersebut, pengawal keselamatan itu dengan ditemani salah seorang rakan sejawat terus ke lokasi dimaklumkan sebelum mendapati wanita dimaksudkan telah melalui kaunter tanpa membuat sebarang pembayaran.

Wanita itu ditahan di luar kawasan kaunter pembayaran dan hasil pemeriksaan berjaya menjumpai kesemua jenis coklat yang dicuri, sebelum diserahkan kepada polis.
Sumber : Sinar Harian

Baca lagi >>

Pelajar sekolah ditemui tergantung dengan kain pelekat dalam tandas terkunci

Misteri bau busuk dalam tandas asrama di sebuah sekolah di Kok Lanas pagi semalam, terbongkar apabila penyelia asrama terbabit, menemui mayat seorang pelajar dalam keadaan tergantung dengan kain pelekat dalam tandas yang terkunci.
Mayat mangsa diusung anggota polis untuk dibawa ke hospital.
Penyelia terbabit, Zul Atfi Mohamad, 37, berkata, sebagai rutin setiap pagi dia melakukan pemeriksaan bersama pengetua sekolah bagi meninjau setiap keadaan kawasan sekitar sebelum pelajar memulakan kelas al-Quran pada setiap pagi selepas bermulanya cuti sekolah awal Disember lalu.

Menurutnya, hanya apabila sampai di kawasan bilik air di tingkat bawah, dia tercium bau yang amat busuk dan mendapati pintu salah sebuah tandas dalam bilik air asrama terkunci dari dalam.

“Curiga dengan keadaan itu, saya mengambil kerusi yang berada di luar dan cuba memanjatnya bagi meninjau keadaan dari dalam tandas yang terkunci itu.
“Ketika saya memanjat dinding bilik air berdekatan dengan siling tandas, saya mendapati mayat seorang lelaki separuh bogel dengan hanya memakai baju dan jaket manakala lehernya diikat dengan kain pelekat tergantung dalam tandas dan terdapat kesan darah dan najis di lantai bilik air itu," katanya.

Kata Zul Atfi lagi, sebelum ini sepanjang lima hari bertugas di situ, dia turut melakukan pemeriksaan di seluruh kawasan termasuk di bilik air ini hampir setiap hari bermula Selasa lalu, namun tidak pula tercium bau
busuk.

“Apa pun pihak sekolah menyerahkan kes ini kepada polis untuk tindakan lanjut bagi mengenal pasti identiti mangsa," katanya.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, sehingga ini pihaknya sudah mengenal pasti mayat mangsa dan hasil semakan yang dibuat melalui pengetua sekolah itu, mendapati salah seorang pelajar lelaki yang berusia 16 tahun tidak pulang ke rumah.

“Pihak sekolah telah menghubungi keluarga mangsa dan difahamkan pelajar itu tidak pulang ke kampungnya di Pasir Mas, selepas cuti bermula pada 7 Disember lalu,” katanya.

Berdasarkan pengecaman yang dilakukan oleh kedua-dua ibu bapa mangsa, mereka sudah mengenal pasti dan mengecam pakaian serta cermin mata yang dijumpai di tempat kejadian.

“Dari hasil siasatan terhadap mayatnya, pelajar itu sudah tiga hari berada dalam keadaan demikian. Melalui pengamatan yang dijalankan, kejadian terbabit tiada kaitan dengan unsur jenayah dan kes diklafikasikan sebagai kematian mengejut," katanya.
Sumber : Sinar Harian

Baca lagi >>