Wednesday, 11 December 2013

Kronologi tragedi Highland Towers 20 tahun dulu

Hari ini cukup sudah 20 tahun tragedi Highland Towers yang berlaku paca 11 Disember 1993.

Pelukis pelan tiada kelayakan. Pendedahan bekas presiden PAM kejutkan rakyat Malaysia.

Sebelum 1964: Pemaju mengemukakan permohonan untuk membina kondominium.

1964: Jabatan Perancang Bandar dan Kampung (JPBK) Negeri Selangor mula membuat penilaian. Pejabat Daerah Kuala Lumpur meluluskan permohonan cadangan projek tersebut.

1974: Pembinaan bangunan dimulakan oleh Konsortium Jurubina Perunding (KJP) untuk syarikat High Land Properties Sdn Bhd.

1978: Blok 1 Kondominium telah disiapkan dan diberi Certifi cate of Fitness (CF) oleh Majlis Daerah Gombak (MDG) dan mula diduduki penghuni.

1981: Bangunan Blok 2 telah disiapkan dan diberi CF oleh Majlis Daerah Gombak dan telah mula diduduki penghuni.

1986: Bangunan Blok 3 telah disiapkan dan diberi CF oleh MDG. Ia telah mula diduduki penghuni.

1 Julai 1992: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) telah ditubuhkan dan bertanggungjawab secara langsung terhadap projek tersebut.

1993: MPAJ telah memberikan CF kepada pembinaan tempat letak kereta di tingkat bawah kondominium.

November 1993: Keretakan serius atas jalan raya sekitar kondominium telah dikesan oleh penghuni.
11 Disember 1993: Pangsapuri Blok 1 Highland Towers di Taman Hillview, Hulu Klang runtuh pada 1.35 petang. 124 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan kira-kira 30 anggota tentera dan jurutera dari Kem Batu Cantonment dan Kem Wardieburn membantu mencari.
Ratusan anggota polis, bomba dan pasukan penyelamat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), sukarelawan PBSMM datang lebih awal. Pasukan penyelamat ternampak sebatang kayu terjuih keluar dan bergoyang.
Pembantu rumah seorang penghuni kondominium di Tingkat 7, Umi Rashidah Khoruman, 22, dan anaknya, Nur Hamidah Najib, 18 bulan, diselamatkan.

Nakajima Shizue, 50, wanita rakyat Jepun turut diselamatkan daripada runtuhan itu tetapi meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) jam 12 tengah malam. Dr Shahrum Abdul Wahid dari HKL menyatakan Nakajima mengalami pendarahan dalam yang teruk.

Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ramai menteri Kabinet datang melawat.

12 Disember 1993: Penghuni Blok 2 dan 3 Highland Towers di Taman Hillview, Hulu Klang diarah mengosongkan rumah mereka kerana tidak selamat. Pasukan mencari dan menyelamat dari Britain dan Amerika Syarikat tiba untuk membantu. Helikopter Nuri dan Alouette milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membuat tinjauan udara.

13 Disember 1993: Sekumpulan anggota penyelamat Perancis bersama dua anjing pengesan turut menyertai operasi. Mereka dipercayai dua rakyat Korea dan dua rakyat tempatan.
Pasukan penyelamat memutuskan untuk menggunakan mesin pemecah konkrit dan keluli serta jentolak untuk mengangkut runtuhan konkrit bagi membuka laluan.

15 Disember 1993: Pasukan penyelamat menjumpai enam mayat termasuk dua yang hancur menjadi cebisan daging dan tengkorak dalam runtuhan itu. Antara yang dijumpai lengan kanan yang mempunyai gelang, satu tengkorak dan cebisan daging serta serpihan tulang.

Empat mayat reput itu dipercayai dua rakyat Korea dan dua rakyat tempatan. Pasukan penyelamat memutuskan untuk menggunakan mesin pemecah konkrit dan keluli serta jentolak untuk mengangkut runtuhan konkrit bagi membuka laluan.

16 Disember 1993: Umi Rashidah dan Nur Hamidah dibenarkan keluar daripada HKL.

17 Disember 1993: Jawatankuasa Khas Kabinet bersetuju dengan cadangan penyelamat supaya operasi menyelamat mangsa hidup dihentikan.

18 Disember 1993: Pasukan penyelamat menemui enam lagi mayat termasuk mayat seorang kanak-kanak.

19 Disember 1993: Pasukan penyelamat menemui tiga mayat iaitu satu mayat wanita reput terbenam kira-kira lapan meter di tempat letak kereta jam 7 malam. Mayat kedua, juga wanita ditemui jam 8.30 malam berdekatan mayat pertama manakala mayat ketiga, lelaki jam 10.15 malam.

20 Disember 1993: Setakat ini, 25 mayat termasuk seorang yang memeluk al-Quran ditemui di tingkat 12. Turut ditemui mayat seorang wanita memakai sari dan memeluk seorang kanak-kanak dipercayai anaknya.

21 Disember 1993: Operasi mencari dan menyelamat diteruskan dan polis mengesahkan 48 mayat ditemui daripada runtuhan pangsapuri Highland Towers. Daripada jumlah itu, 37 mayat ditemui sempurna, sembilan bahagian badan dan 10 cebisan anggota iaitu tangan, kaki, kepala serta paha.

22 Disember 1993: Operasi mencari dan menyelamat dihentikan. Dr Nik Ramlan Nik Hassan dilantik menjadi pengerusi Jawatankuasa Teknikal Menyiasat Tragedi Highland Towers.

Kondominium itu dimiliki dan dimajukan oleh Highland Properties Sdn Bhd. menggunakan teknologi pengesan degup jantung dan menebuk lubang 4.5 meter dalam. Jawatankuasa Kabinet ditubuhkan khusus untuk menangani semua masalah berhubung tragedi Pangsapuri Highland Towers.

14 Oktober 1997: Bekas presiden Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM), Henry Lee Inn Seong, memberitahu Mahkamah Koroner Kuala Lumpur bahawa pelukis pelan pangsapuri Highland Towers yang runtuh tidak mempunyai kelayakan bagi bangunan setinggi 12 tingkat. Beliau menyatakan pelukis pelan itu, Wong Tin Sang, hanya mempunyai kelayakan untuk mendirikan bangunan tidak melebihi 300 meter persegi atau 3,000 kaki persegi atau tidak lebih dua tingkat.

14 November 1997: Koroner Mohd Radhi Abas dari Mahkamah Koroner Kuala Lumpur memutuskan tragedi Highland Towers bukan disebabkan sebarang unsur jenayah dan bencana alam, tetapi adalah satu kejadian nahas dan kecederaan berganda yang menimpa mereka selepas pangsapuri terbabit runtuh.

Saman dikemukakan oleh 73 pemilik blok dua dan tiga pangsapuri Highland Towers dan perbicaraan diadakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk James Foong.

Saman terhadap pemaju dan sembilan lain bagi kerugian yang dialami antara RM31 juta hingga RM35 juta. Kumpulan itu menyaman Highland Properties Sdn Bhd, pelukis pelan Wong Tin Sang, jurutera Wong Yuen Kean, Majlis Perbandaran Ampang (MPAJ), Arab-Malaysian Finance Berhad, Developments Sdn Bhd dan Metroplux Sdn Bhd.
Sumber : Sinar Harian

Baca lagi >>

Proton Perdana model baharu dilancarkan hanya untuk kenderaan rasmi kerajaan

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Proton Perdana berwajah baharu sebagai kenderaan rasmi kerajaan.
Proton Perdana berwajah baharu itu menampilkan dua varian iaitu Perdana 2.0 L dan 2.4 L dengan mempertingkatkan ciri-ciri keselamatan dan keselesaan.

Dua unit edisi khas Proton Perdana berwajah baharu turut dikeluarkan untuk Najib dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pada majlis itu, Najib juga menerima kenderaan rasmi beliau dengan plat nombor W11N.
Turut hadir Muhyiddin, Pengerusi Eksekutif Proton Tan Sri Mohd Khamil Jamil dan menteri-menteri kabinet.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Mohd Khamil berkata Proton Holdings Berhad (Proton), anak syarikat DRB-HICOM, hari ini menyerahkan kumpulan pertama 200 unit Proton Perdana kepada kerajaan.

Beliau berkata 3,000 unit lagi akan diserahkan kepada kerajaan secara berperingkat-peringkat dalam tempoh dua tahun bagi menggantikan kumpulan Proton Perdana pada masa ini yang digunakan sebagai kenderaan kerajaan.

"Buat masa ini, Proton Perdana baharu itu hanya untuk kenderaan rasmi kerajaan, termasuk agensi kerajaan dan ia tidak akan dijual kepada orang awam. 

"Proton juga menerima permintaan daripada kerajaan negeri dan badan berkanun untuk menukarkan Proton Perdana yang sedia namun ia tertakluk kepada kelulusan," katanya.

Mohd Khamil berkata Proton Perdana merupakan sebahagian daripada program pembangunan yang dijalankan Proton dengan kerjasama Honda Japan Ltd. 

Beliau berkata ia merupakan fasa pertama program antara Proton dan Honda, menurut perjanjian kerjasama antara kedua belah pihak akhir tahun lepas. 

"Kami menyampaikan penghargaan kepada Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia atas kepercayaan mereka kepada Proton dan memberikan kami peluang sekali lagi sebagai penyedia kenderaan rasmi kerajaan,” katanya.

Mohd Khamil berkata penggantian model Perdana yang akan digunakan kerajaan Persekutuan adalah di bawah fasa satu perancangan Proton bagi membangunkan segmen D baharu.

Katanya Proton telah memulakan fasa dua program berkenaan yang membabitkan pembangunan seterusnya model segmen D mengikut inisiatif perkongsian platform dengan Honda Japan Ltd, dengan reka bentuk dalaman dan luaran yang baharu.

"Ia akan dilancarkan di pasaran Malaysia dalam tempoh 18 hingga 24 bulan. Ia akan dijual kepada orang awam,” katanya.  
Sumber : Bernama, paultan.org

Baca lagi >>

Bung Mokhtar kena marah dengan mangsa banjir Kuantan

Kemarahan mangsa banjir di Kuantan terhadap pemimpin BN khususnya Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin meluap-luap sehingga mengancam tidak membenarkan beliau menjejakkan kaki di Kuantan.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh (gambar), berkata luahan kemarahan itu disampaikan kepada beliau ketika beliau sedang bertungkus-lumus membantu mangsa banjir di beberapa pusat pemindahan banjir sekitar daerah terbabit.
“Rata-rata mangsa banjir tahu isu saya membawa usul isytihar darurat di Kuantan, tetapi dibantah keras Bung Mohtar dalam Dewan Rakyat Selasa lalu. Memang ramai yang cukup marah.
“Oleh sebab itu, mereka cukup marah pada Bung Mohtar, mereka anggap Bung Mohtar tidak peka penderitaan mangsa banjir, hingga mereka kata tidak akan benarkan Bung Mohtar datang ke Kuantan tetapi kalau datang juga nak dibenamkan Bung Mohtar,” kata Fuziah ketika dihubungi Selangor Kini hari ini.

Bagaimanapun Fuziah, sebagai pemimpin di kawasan itu menasihati agar mangsa banjir di pusat pemindahan banjir terbabit supaya bertenang dan bersabar dengan tidak terlalu mengikut emosi yang dalam kemarahan.

Kemarahan itu diluahkan gara-gara tindakan Bung Mohtar yang mempersendakan usul perisytiharan darurat di tiga kawasan yang dilanda banjir besar, Kuantan Indera Mahkota dan Paya Besar yang dibawa Fuziah.

Usul tersebut kemudiannya ditolak speaker dengan alasan setiap usul yang mahu dikemukakan sepatutnya hendaklah mengemukakan notis dua hari dan secara bertulis.

Bagaimanapun, mengenakan syarat notis selama dua hari untuk usul kecemasan seperti ini dianggap tidak masuk akal kerana ianya melibatkan keselamatan ribuan rakyat yang memerlukan tindakan segera.

Fuziah memberitahu perisytiharan darurat diperlukan bagi memastikan semua agensi kerajaan dan pasukan keselamatan boleh dikerah ke tempat bencana bagi memberi pertolongan seperti bantuan memindahkan penduduk, selimut, makanan, tempat tidur dan lain-lain.

Di beberapa tempat di Pantai Timur baru-baru ini dilanda bencana banjir paling teruk sejak lebih sedekad lalu sehingga melibatkan hampir 50,000 penduduk.

Bagaimanapun kerajaan didapati gagal mengambil tindakan segera dengan berkesan hingga menyebabkan mangsa banjir terpaksa kelaparan dan kesejukkan kerana terpaksa tidak dibekalkan makanan, selimut dan tidur terpaksa tidur di atas lantai simen.
Sumber : Selangor Kini

Baca lagi >>

Abang sanggup rogol sahabat adik sendiri

Di Kota Bharu, angkara gagal kawal nafsu dan bertindak merogol sahabat adik sendiri, seorang buruh dihukum penjara 14 tahun dan tiga sebatan oleh mahkamah sesyen di sini, semalam.
Hukuman diputuskan Hakim, Mohd Yusoff Yunus terhadap Mohd Khairul Anuar Sulaiman, 22, selepas tertuduh mengaku bersalah merogol mangsa berusia 13 tahun empat bulan di hutan dusun Kampung Kubang Laka, Melor, pada jam 4.30 petang, 7 Oktober 2010.

Pada jam 2 petang sebelum itu, mangsa ke rumah seorang kawan untuk menyiapkan kerja sekolah dan ketika itu, abang rakannya itu, iaitu tertuduh ada di rumah.

Apabila mahu pulang pada jam 4.30 petang, tertuduh tiada tetapi mangsa terserempak pula dengan lelaki terbabit di kawasan hutan bersemak.

Lelaki itu tiba-tiba menahan dan menariknya masuk ke hutan serta mengugut dengan berkata ‘nak hidup atau mati’ sebelum mangsa menjawab ‘nak mati’, menyebabkan lehernya dicekik tertuduh.

Mangsa diheret jauh ke dalam hutan sebelum tiba di sebuah dusun dan dirogol. Dia sempat mengadu belakangnya gatal sebelum diheret pula ke sebuah pokok dan dirogol lagi.
Pada prosiding itu, peguam bela, Ahmad Subairi Salleh memohon hukuman ringan dikenakan kerana tertuduh telah menukar pengakuannya walaupun kes dalam perbicaraan.

“Tertuduh datang daripada keluarga miskin dan memikul tanggungjawab ketua keluarga untuk  menyara ibu serta dua adiknya yang masih bersekolah selepas bapa mereka meninggal dunia pada 2008.

“Umurnya yang muda juga memberi peluang kepadanya membaiki kesilapan lalu dan meneruskan hidup yang lebih baik pada masa depan,” katanya.

Rayuan itu bagaimanapun dibantah, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Asmah Azahari dan menyifatkan hujahan itu hanya mengutamakan diri tertuduh dan tidak langsung mengambil kira kepentingan awam terutamanya mangsa.

“Sebagai abang kepada kawan adiknya, tertuduh sepatutnya melindungi mangsa tetapi malangnya dia dirogol. Kejadian ini membabitkan maruah gadis sunti, lebih-lebih lagi usianya masih muda.

“Tertuduh mungkin boleh memperbaiki masa depannya, namun bagaimana pula mangsa dengan perjalanan hidup yang masih panjang dan perlu diharungi dalam keadaan begitu,” katanya.
Sumber : Sinar Harian

Baca lagi >>

Lori bantuan mangsa banjir kena saman JPJ

“Mana perginya peri kemanusiaan anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam membantu mangsa banjir di Kuantan? Saya sifatkan mereka sebagai tidak berhati perut dan kejam.”

Itu kata penyelaras bantuan mangsa banjir, Nordiana Abdul Rahman yang kesal apabila lori muatan barangan mangsa banjir ditahan selepas tol Gombak dan dikenakan saman atas alasan membawa lebih muatan.

Jelas Nordiana, sepatutnya penguat kuasa JPJ yang menahan lori tersebut lebih berhati perut kerana barangan yang dihantar adalah untuk membantu mangsa banjir, bukan untuk dijual di pasar lambak.

“Kalau lebih muatan dan tidak benarkan lori meneruskan perjalanan, apalah salahnya benarkan kami keluarkan barang tersebut sehingga cukup muatan yang dibenarkan?

“Ini tidak, JPJ terus denda pemandu sebanyak RM150 manakala syarikat lori yang membawa barangan tersebut disaman RM450 tanpa ada tolak ansur sedikit pun,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.
Lebih teruk, Nordiana memberitahu, penguat kuasa JPJ itu yang agak sombong dan kasar turut menggertak pemandu lori untuk membawa lori tersebut ke stesen penimbang yang bakal dikenakan hukuman lebih berat.
“Saya memang tak faham wujudnya anggota kerajaan yang tidak bertimbang rasa dalam membantu mangsa banjir. Kami pun bukannya boleh sampai ke Kuantan kerana laluan di tutup.

“Demi mangsa banjir, kami bayar denda tersebut dan saman syarikat akan diputuskan di mahkamah nanti seperti yang tercatat pada surat saman yang dikeluarkan,” ujarnya.

Menurut Nordiana, barangan tersebut dikumpul bersama sanak saudara dan sahabat handainya memang khusus untuk mangsa banjir. Antara barang yang dikumpul untuk dihantar ke pusat banjir adalah pakaian, selimut dan makanan seperti beras, gula, susu, tepung dan sebagainya.

“Kami berusaha mengumpul barangan ini selama lima hari kerana kasihankan mangsa banjir tetapi apabila bertemu JPJ di tengah jalan, sudahlah tiada perasaan kasihan malah kami pula disaman dan didenda.

“Saya tahu apa tanggungjawab penguat kuasa JPJ cuma rasa kesal kerana tidak ada pertimbangan budi bicara langsung dalam membantu mangsa  banjir yang amat memerlukan barangan tersebut,” katanya.
Sumber : MalaysiaGazette

Baca lagi >>