Sunday, 8 December 2013

Terengganu bakal kehilangan penyerang berbisa

Bagaikan sireh pulang ke gagang, akhirnya penyerang kelahiran Cameroon berusia 29 tahun, Jean Emmanuel Effa Owona dikhabarkan akan kembali menyarung jersi Skuad Rusa pada musim depan.

Sinar Harian difahamkan, pemain tinggi lampai berkenaan membuat keputusan meneruskan karier bola sepaknya di Negeri Sembilan selepas kontraknya bersama pasukan Terengganu tidak diperbaharui.
Seandainya sahih perkhabaran tersebut, Effa Owona hampir pasti digandingkan bersama seorang lagi penyerang import, Jozef Kaplan di bahagian hadapan dalam kancah Liga Premier kelak.

Prestasi semasa

Mengimbas kembali musim ini, prestasi Effa Owona tampak kurang menyerlah bersama Skuad Penyu. Walaupun berjaya menjaringkan 14 gol daripada 32 penampilan, dia masih gagal menghadirkan sebarang trofi untuk Terengganu.
Satu-satunya piala dimenangi sepanjang beraksi di Liga Malaysia (Liga-M) adalah bersama Skuad Jang pada 2012, apabila dua gol jaringannya terhadap Kelantan membolehkan Negeri Sembilan menjulang Piala Sultan Haji Ahmad Shah yang kali terakhir dimenangi pada 1985.

Kecederaan berpanjangan dan ketiadaan pasangan sesuai pada jentera serangan dikenal pasti sebagai punca utama kemerosotan Effa Owona semasa menyarung jersi pasukan dari Pantai Timur itu.

Harapan peminat

Mengulas perkhabaran terbaharu ini, Presiden Kelab e-Penyokong Bola Sepak Negeri Sembilan (n9futbol.com), Ahmad Zaini Baharun nyata mempunyai pandangan tersendiri.

“Ketajaman penyudah Effa Owona sememangnya tidak boleh dipertikaikan lagi. Kalau tidak, masakan dia boleh dinobatkan sebagai penjaring terbanyak Liga Super dua tahun lalu bersama Francis Forkey Doe.

“Kita harap, ada pembaharuan pada corak permainan Effa Owona kali ini. Sedikit sebanyak, pengalaman beraksi di Liga-M selama dua tahun pasti akan mematangkannya,” katanya.   

Beliau bagaimanapun berkata, di sebalik kelebihan dimiliki, Effa Owona mempunyai beberapa kelemahan yang perlu diberi perhatian serius oleh jurulatih baru Skuad Jang, V Sundramoorthy.

“Sikap tamaknya di depan gol mesti diubah. Rugi jika dibiarkan kerana pemain ini mempunyai kawalan bola yang baik, selain berkeupayaan mencipta peluang jaringan untuk rakan sepasukan.

“Memandangkan Effa Owona tidak memiliki larian pantas dan sering terperangkap offside apabila bermain sebagai penyerang tunggal kerana lambat turun ke bawah, kita merasakan lebih sesuai jika pemain ini diletakkan di posisi back-up striker bagi membantu Jozef Kaplan,” katanya.
Sumber : Sinar Harian

Baca lagi >>

Pengkhianat demokrasi Mesir menang individu paling berpengaruh tahun 2013

General Mesir Abdul Fattah al-Sisi, yang menggulingkan kerajaan pertama dipilih secara demokrasi di negara Arab yang paling ramai penduduk adalah pemenang undian orang ramai bagi 'TIME’s 2013 Person of the Year' iaitu individu paling berpengaruh di media bagi tahun 2013.
Sisi menerima 449,596 undi, atau 26.2 % daripada jumlah keseluruhan, menewaskan Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan, yang menerima 356,771 undi atau 20.8 %, dan bintang pop Amerika Miley Cyrus, yang menerima 279,300 undi atau 16.3 %.
Jumlah undi Sisi ini didorong oleh undi yang datang daripada negara Mesir sendiri yang menyumbang bilangan terbesar pengundi di TIME.com.

India dan Amerika Syarikat menyumbang bilangan kedua dan ketiga tertinggi pengundi. 

'TIME’s Person of the Year' secara muktamad akan dipilih oleh editor majalah itu dan akan diumumkan pada rabu, 11 Disember ini.

Sebagai sebahagian daripada perkongsian TIME dengan Twitter untuk menjadi Penganjur interaksi untuk 'Person of the Year', mereka telah membuka kepada pembaca untuk mengundi di media sosial Twitter menggunakan Poptip. Pengguna boleh mengundi dengan 'Tweeting' pilihan mereka dengan #TIMEPOY atau pada Time.com. Teknologi Poptip akan menganalisa keputusan dalam masa nyata.

Lebih daripada 1.3 juta undi telah dibuang di TIME.com dan hampir 560,000 yang lain berdaftar melalui Twitter. Jumlah keseluruhan adalah 1,928,130 undi.

Ada dakwaan yang mengatakan kemenangan Sisi melalui undian orang ramai adalah berikutan strategi pemerintah Kudeta di Mesir yang mengarahkan unit IT mereka membuat banyak akaun palsu untuk mengundi.

Kemenangan ini penting bagi As-Sisi dan kudeta bagi menaikkan reputasinya yang semakin merudum setiap hari dikalangan rakyat Mesir. Sekurang-kurangnya kemanangan ini dapat memberi persepsi positif Regim Sisi di mata penduduk dunia.
Sumber : Time.com

Baca lagi >>

Gambar kemalangan maut 2 buah lori, bas, kereta, teksi dan motosikal

Dalam tragedi kemalangan maut 6 November, tiga termasuk seorang bayi lelaki berusia 10 bulan maut dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Km244.6 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah ke selatan semalam.

Dalam kejadian pukul 4.45 petang itu, pemandu bas persiaran warga Singapura Ahmad Zaki Kassim, 33, dan Rasidah Abdul Latip, 30, yang menaiki kereta jenis Perodua Myvi meninggal dunia di tempat kejadian manakala anak Rasidah yang berusia 10 bulan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Melaka.

Sementara suami Rasidah, Khairul Nazri Yusof, 34, dan seorang penunggang motosikal berusia lingkungan 30-an cedera parah dan kini dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban.

Jurucakap polis berkata kejadian berlaku apabila sebuah lori tangki yang dalam perjalanan dari Seremban menuju selatan dipercayai hilang kawalan dan berpusing.

Katanya akibat itu lori berkenaan kemudian merempuh kereta Myvi yang dinaiki Rasidah bersama suami dan anak mereka serta dan sebuah teksi.

"Kereta Myvi yang dipandu Khairul Nazri terperosok di belakang lori tangki itu sebelum dirempuh pula teksi berkenaan," katanya di lokasi kejadian.

Jurucakap itu berkata tiga kenderaan lain iaitu sebuah lori seberat 16 tan, sebuah bas persiaran dan sebuah motosikal yang mengekori dari belakang turut merempuh lori tangki itu.

"Bas persiaran yang tidak berpenumpang itu yang dipandu Ahmad Zaki melanggar bahagian badan lori tangki berkenaan sebelum lori lain yang membawa bahan binaan dan sebuah motosikal turut melanggarnya," katanya.

Katanya pemandu dan penumpang kenderaan lain tidak mengalami kecederaan.
Pegawai Turus Trafik Negeri Asisten Komisioner Abd Halil Hamzah mengesahkan kejadian itu dan berkata punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

Jenazah bayi kemalangan dituntut waris

Jenazah bayi yang terkorban dalam kemalangan enam kenderaan di Kilometer 244.6 Lebuh Utara-Selatan dekat Senawang, Negeri Sembilan petang semalam dituntut warisnya, lewat pagi ini.

Mangsa, Muhammad Alif Dinzly Abdullah, 10 bulan, yang meninggal dunia kira-kira 7 malam tadi ketika dirawat di wad kecemasan Hospital Melaka dibawa keluar dari bilik mayat selepas jenazahnya siap dimandi dan dikafankan pada 10.40 pagi. 

Ibu saudaranya, Anizah Abdul Latip, 39, berkata jenazah bayi itu akan dibawa ke kampung halaman mereka di Felda Jengka 4, Jengka, Pahang untuk dikebumikan.

"Allahyarham akan dikebumikan bersama jenazah ibunya di Tanah Perkuburan Islam Felda Jengka 4," katanya ketika ditemui di perkarangan bilik mayat Hospital Melaka, di sini sebentar tadi.
Sumber : Bernama, Harian Metro, AANS

Baca lagi >>

Menteri makan nasi lauk ikan singgang dan budu

“Saya tak sangka Tok Pa sudi menjamah nasi yang anak saya masak, berlauk ikan singgang dan budu,” kata seorang mangsa banjir di pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi, semalam.
Che Ramlah Mamat, 60, berkata, ketika dikunjungi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed, dia segera mengambil bekas untuk menutup lauk yang dimasak.

Namun tindakannya disedari oleh Tok Pa, lalu memintanya untuk menyajikan hidangan berkenaan.

“Inilah pengalaman paling berharga kerana selama berpuluh kali berpindah di pusat pemindahan ini, inilah kali pertama saya duduk dan makan bersama seorang menteri,” katanya.
Sementara itu, penduduk, Che Nga Wook, 62, berkata, semua mangsa banjir di sini terharu apabila Tok Pa sanggup meninggalkan Perhimpunan Agung Umno semata-mata mahu melawat mangsa banjir.
“Betullah kata orang, Tok Pa sememangnya tokoh yang berjiwa rakyat. Walaupun berjawatan tinggi, ia tidak membatasi hubungannya dengan penduduk,” katanya.

Dalam pada itu, Mustapa turut mengulas mengenai penurunan bilangan mangsa banjir daripada hampir 2,000 kepada 1,600 penduduk.

Beliau berkata, tiga daripada 11 pusat pemindahan ditutup ekoran kestabilan paras air Sungai Golok, sejak semalam (kelmarin).

“Walaupun tahap air masih paras bahaya iaitu 10.3 meter, namun kita bersyukur kerana banjir di Kelantan tidak mencemaskan,” katanya.
Sumber : Sinar Harian

Baca lagi >>

Bencana Banjir, apa tanggungjawab kita?

Banjir telah berlangsung hampir seminggu. Kawasan yang teruk dilanda banjir ialah Kuantan dan Kemaman. Kuantan hampir lumpuh kerana banjir menenggelamkan hampir seluruh bandar Kuantan. Begitu juga Kemaman. Walaupun hari ini air di bandar Chukai sudah mulai surut namun Kampung Air Putih masih menyaksikan banjir dengan arus deras yang boleh mengancam nyawa.

Setakat semalam 6 Disember 2013 akhbar melaporkan di Pantai Timur seramai 42,626 orang telah dipindahkan.
Pahang merupakan negeri paling buruk mengalami kesan musim tengkujuh ini dengan 34,235 mangsa banjir masih ditempatkan di pusat-pusat pemindahan di Kuantan, Pekan, Rompin, Maran, Jerantut, Lipis, Temerloh dan Bera. Rompin menempatkan 2,865 mangsa banjir, Pekan (3,218), Maran, (49), Jerantut (451), Lipis (33), Temerloh (167) dan Bera (61). Kuantan masih mencatatkan jumlah mangsa paling banyak iaitu 27,391 orang yang ditempatkan di 48 pusat pemindahan.

Di Terengganu setakat semalam jumlah mangsa banjir di Kemaman adalah sebanyak 2,372 (595 keluarga), Dungun 2,668 (670 keluarga), Hulu Terengganu 844 (242 keluarga), Setiu 99 (32 keluarga) dan Marang 63 (18 keluarga).

Bagaimanakah sikap kita dalam menghadapi situasi banjir ini? Saya mencadangkan beberapa perkara berikut:
1. Bagi mangsa banjir banyakkanlah bersabar dengan sentiasa menyebut innalillahi wainna ilaihi raji'un sebagaimana diajar oleh al-Quran kepada mereka yang menghadapi musibah (rujuk surah al-Baqarah ayat 155-156). Mudah-mudahan mereka diberikan ganjaran pahala yang banyak oleh Allah menerusi musibah dan segera diganti oleh Allah dengan yang lebih baik sebagaimana sabit dalam beberapa hadis.

2. Mereka juga perlu banyak berdoa agar Allah lepaskan segera mereka daripada kedukacitaan ini dengan membaca doa-doa yang diajar oleh Rasulullah saw seperti:

"Cukuplah Allah bagi diriku dan Dialah sebaik-baik tempat menyerah diri."
Surah Aali Imran ayat 173

Amalkan doa Nabi Yunus ketika dalam perut ikan Nun dalam surah al-Anbiya ayat 87:

Tiada Ilaah yang ditaati melainkan Engkau. Maha suci Engkau sesungguhnya aku tergolong kalangan orang yang menzalimi diri.

3. Bagi bukan mangsa banjir inilah waktu kita menunjukkan keprihatinan terhadap mangsa banjir sebagai lambang ukhuwwah persaudaraan Islam dan persaudaraan kemanusiaan. Kesusahan mereka adalah kesusahan kita juga. Dicubit peha kanan yang kiri juga terasa. Rasulullah s.a.w. adalah yang paling prihatin terhadap umat sehingga Allah gambar baginda sebagai "merasa berat ke atas dirinya apa yang kamu semua deritai". Rujuk surah al-Taubah 128.

4. Mangsa banjir memerlukan sokongan moral. Maka marilah kita turun mengunjungi mereka dengan sekurang-kurangnya melemparkan senyuman kprihatinan dan tanya khabar yang pasti sahaja menggembirakan mereka. Nabi bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang melepaskan satu kedukacitaan daripada saudaranya di dunia maka Allah kepaskan kedukacitaannya di hari Akhirat". Hadis riwayat Muslim

5. Mangsa banjir di kala ini memerlukan bantuan makanan, selimut, tikar, pakaian, pampers anak. Maka marilah kita segera hulurkan bantuan kewangan kepada mereka sama ada menerusi pelbagai pihak yang sedang mengumpulkan dana dan menyediakan kelengkapan atau dengan turun sendiri menemui penyelia pusat pemindahan dengam membawa bahan-bahan keperluan.

6. Bantuan untuk mereka tidak boleh terhenti setakat berakhirnya banjir malah mereka memerlukan bantuan untuk kembali bangkit untuk hidup kerana mereka telah kemusnahan harta benda yang banyak sama ada rumah, kenderaan, pakaian, alatan rumah dan dokumen rasmi. NGO-NGO kebajikan perlu merancang bantuan kewangan untuk mereka menghadapi sekurang-kurangnya sesi persekolahan baru.

Moga banjir yang berlaku memberi hikmah yang besar. Moga musibah ini membawa kita semua kembali kepada Allah. Moga doa mangsa banjir dan kita semua kepada Allah serta keprihatinan kita terhadap mangsa banjir diganti oleh Allah dengan keberkatan hidup untuk rakyat Malaysia.

Allahu Akbar. Allahu Akbar Allahu Akbar walillahil hamd.

Penulis ialah Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus.
Sumber : FB PAS

Baca lagi >>

Dua jasa isteri PM yang orang tidak tahu

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, bukan beliau seorang menjadi perhatian ramai malah tempias itu turut dirasai oleh isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Najib berkata, bukan hanya cerita baik yang didengari malah ramai juga yang mempersoalkan peranan isterinya selama ini.
Menurut beliau, ramai yang tidak tahu bahawa isterinya telah membantu membebaskan pelajar Malaysia ketika Ops Piramid yang lalu.

"Beliau (Rosmah) telah menelefon isteri bekas kepada presiden Mesir Suzanne Mubarak bagi membebaskan seorang pelajar Malaysia yang dituduh perisik sewaktu operasi tersebut berlangsung.
"Pelajar tersebut dituduh sedemikian dan kemudiannya dihumban ke penjara, dalam dua jam, pelajar kita dibebaskan," katanya.

Presiden Umno itu berkata, ia merupakan salah satu daripada dua jasa Rosmah yang tidak pernah dimaklumkan kepada sesiapa sewaktu operasi itu dijalankan dua tahun lalu.

Bagi jasa kedua, Najib berkata semasa operasi yang berjalan, Najib berkata isterinya juga memohon jasa baik kerajaan Arab Saudi dengan "jaringan" dengan keluarga diraja, membolehkan pelajar Malaysia dapat singgah di Jeddah tanpa visa.

"Ia diusahakan oleh isteri saya kepada pelajar-pelajar kita. Malah dua kapal terbang Jumbo disediakan secara percuma bawa balik pelajar kita.

"Belum pernah saya beritahu tapi ia adalah sumbangan isteri saya kepada rakyat Malaysia," katanya.
Sumber : Sinar Harian

Baca lagi >>