Friday, 6 December 2013

Gambar 3 kereta Lamborghini milik warga Singapura hangus terbakar

Malang memang tidak berbau.
Tiga buah kereta mewah jenis kereta Lamborghini yang dipandu secara berasingan oleh warga Singapura terbakar selepas terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer 260 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah Utara dekat sini pagi tadi.

Kemalangan berlaku kira-kira jam 9.40 pagi di susur masuk plaza tol Port Dickson.
Kejadian berlaku apabila salah sebuah kereta itu terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan menyebabkan dua kereta di belakang merempuh kereta itu lalu menyebabkan kebakaran.

Bomba mengambil masa 15 minit untuk memadam kebakaran ketiga-tiga kereta itu.

Ekoran kemalangan, berlaku kesesakan sepanjang 12 kilometer.

Difahamkan sebelum kejadian itu berlaku lima kereta milik warga Singapura itu berkonvoi dari negara jiran itu menuju ke Kuala Lumpur.
Sumber : Berita TV9, Utusan Online, TTO

Baca lagi >>

Macam mana 40 ekor paus boleh terdampar sampai 10 ekor mati?

TAMAN NEGARA EVERGLADES, Florida - Sebanyak 10 ikan paus pandu mati selepas terdampar di kawasan laut cetek di sini kelmarin.

Menurut beberapa pegawai hidupan liar dan Taman Negara Everglades, lebih 40 ekor ikan paus tersebut turut terdampar di kawasan yang cetek itu.
Salah seekor ikan paus yang terdampar di tepi pantai.- AP
Para anggota penyelamat berusaha untuk menolak ikan paus tersebut ke kawasan laut dalam.

Menurut seorang jurucakap taman itu, Linda Friar, puluhan ikan paus itu pada mulanya dilihat berada di kawasan berkenaan pada petang Selasa lalu dekat Teluk Mexico.
Pihak Pentdabiran Kelautan dan Atmosfera Kebangsaan menyatakan, satu bedah siasat akan dilakukan bagi menentukan punca ikan paus tersebut terdampar.

"Pada kebiasaannya, ikan paus pandu kerap terdampar. Ikan paus itu cenderung berenang di kawasan cetek," kata Friar.

Usaha untuk menyelamat ikan paus itu masih berterusan sehingga pagi semalam.

Ikan paus pandu itu berenang dalam kumpulan yang mengandungi 25 hingga 30 ekor haiwan tersebut.

Berat badan ikan paus pandu dewasa ialah 1,000 hingga 3,000 kilogram.

Ikan paus pandu betina sepanjang 3.7 meter manakala ikan paus jantan 5.5 meter. 
Sumber : Kosmo

Baca lagi >>

UMNO terus JUARA sehingga 100 tahun akan datang

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak, semalam menggariskan lima pengisian transformasi UMNO dalam usaha parti itu memperbaharui tekad dan menggagas semula formula kejayaan bagi memastikan ia terus menjadi juara sehingga 100 tahun akan datang.

Presiden UMNO itu menegaskan, parti terbesar Melayu itu perlu memperkukuh kekuda dan memperkemas kekisi untuk menonggak Barisan Nasional (BN).
Lima pengisian transformasi itu adalah: 
Memperteguh Ekonomi Melayu dan Bumiputera 

Agenda pemerkasaan ekonomi Melayu dan Bumiputera sama ada Islam dan bukan Islam sewajibnya menjadi teras nasional bagi memastikan 67.9 peratus populasi majoriti penduduk negara ini mencapai tahap kemajuan setanding dengan orang lain tanpa meminggirkan pembelaan terhadap mana-mana golongan. 

Mempertegak Maqasid Syariah 

UMNO tidak pernah berhenti memperjuangkan ketinggian Islam dan syiarnya dengan berpegang kepada prinsip Maqasid Syariah yang membela dan memelihara lima tunjang utama yakni agama, nyawa, akal, harta dan keturunan. Dalam konteks sama, umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal-Jama’ah dari segi akidah, syariah dan keperibadian. 

Memperkukuh Pengkaderan UMNO 

Ia membabitkan ahli baru dan orang muda supaya UMNO menjadi sebuah parti yang lestari dengan mendoktrinkan jati diri parti supaya budaya kepartian, berakar umbi, terpateri dan tersemat kukuh dalam sanubari semua sebagai landasan perjuangan. Program itu merangkumi aspek kreativiti, kemahiran insaniah, budaya berfikir tinggi serta memahirkan mereka dengan teknologi terkini bagi memudahkan penyampaian dasar parti dan kerajaan supaya diterima rakyat dan responsif menyelami dan menyelesaikan masalah akar umbi. 

Mempersiaga Jentera Transformatif 

UMNO perlu sedar dunia maya atau Internet adalah neutral kerana hanya mereka yang berupaya mengisi dan menguasai ruang baru itu, maka merekalah yang akan berjaya. Jentera parti tidak boleh ketinggalan dan membiarkan pembangkang berwenang-wenang, sebaliknya UMNO mesti menjuarai teknologi maklumat. 

Menetap Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 

Ia bagi memastikan perjalanan jentera UMNO dapat bergerak dengan lebih berkesan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 supaya semua ahli lebih bersedia untuk memenangi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Setiap cawangan, bahagian dan negeri dipantau dan diaudit secara berkala untuk dinilai prestasi serta pencapaian setiap negeri, bahagian atau cawangan supaya sebarang masalah atau ketidakpatuhan yang berlaku boleh dikesan dan tindakan korektif dapat diambil dengan segera.
Sumber : Harian Metro

Baca lagi >>

Wira anti-apartheid Nelson Mandela meninggal dunia

Wira anti-apartheid Afrika Selatan, Nelson Mandela meninggal dunia pada usia 95 tahun di rumahnya di  Johannesburg semalam selepas sekian lama mengalami jangkitan paru-paru.
Walaupun Mandela sakit selama hampir setahun, namun pengumuman Presiden Jacob Zuma lewat semalam mengenai kematian bekas presiden dan pemenang Nobel Peace Prize itu telah mengejutkan rakyat Afrika Selatan.

Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama berkata dunia telah kehilangan seorang yang paling berpengaruh dan berani.
Perdana Menteri Britain, David Cameron pula menganggap Mandela sebagai seorang wira terulung dan pemergiannya merupakan satu kehilangan besar dunia. 

Rakyat Afrika Selatan juga terkejut dengan berita tersebut. "Rasanya seperti bapa anda sendiri yang telah meninggal dunia."

"Beliau adalah seorang yang baik, mempunyai nilai-nilai yang baik untuk dijadikan ikutan. Beliau menjadi 'role model', tidak seperti pemimpin-pemimpin kita hari ini," kata Annah Khokhozela, 37.

Mandela menjadi presiden kulit hitam pertama Afrika Selatan selepas 27 tahun hidup dalam penjara apartheid untuk membawa negara itu menuju kepada demokrasi.

Mandela akan diberikan pengkebumian negara, dengan bendera dikibar separuh tiang.
Sumber : Malaysiakini

Baca lagi >>

Walaupun tarif elektrik naik harga kereta Perodua tetap murah

PERUSAHAAN Otomobil Kedua (Perodua) terus menyediakan kereta mampu milik dengan harga berpatutan walau tarif elektrik naik awal tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, kenaikan tarif itu adalah cabaran Perodua.

"Kami akan cuba kekalkan harga dengan mengurangkan kos melalui rangkaian bekalan dan penghasilan agar kenderaan Perodua kekal sebagai kenderaan mampu milik.
"Setiap tahun kami sentiasa lihat ke arah pemotongan kos pembuatan yang boleh mengekalkan harga kompetitif di pasaran selaras dengan objektif asal Perodua untuk menyediakan kenderaan mampu milik bagi segmen kereta kompak," katanya ketika melancarkan kempen FEM (Female Empowerment Movement), di Kuala Lumpur.

"Jika kami tidak mampu mengurangkan harga kereta, kami akan beri perkhidmatan tambahan kepada pengguna seperti ciri tambahan ataupun nilai tambahan kepada pelanggan,” katanya.

Kempen FEM dianjurkan bagi menghargai 60 peratus pelanggan wanita Perodua dengan menawarkan 60 unit kereta Myvi FEM edisi terhad.

Perodua menyasarkan mendapatkan penyertaan ahli seramai 10,000 menjelang akhir tahun depan.
Sumber : Sinar Harian

Baca lagi >>