Thursday, 5 December 2013

Lelaki terpacak pisau di leher Sempat berjalan 20 meter

Di Bintulu, Sarawak seorang pembantu gerai menjual pakaian dipercayai sempat berjalan 20 meter untuk meminta tolong dengan sebilah pisau pemotong sayur masih tercacak di lehernya sebelum dia rebah dan meninggal dunia di tapak Pesta Makanan 1Malaysia di Dataran Espalanade di sini, semalam.

Remaja lelaki berusia 18 tahun yang dikenali sebagai Wan Akmal Rizan Wan Ramzi, itu ditemui terbaring tidak jauh dari gerai tempatnya bekerja berlumuran darah oleh orang ramai jam 3.40 pagi.
Gambar hiasan
Timbalan Ketua Polis Daerah Bintulu Deputi Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, berdasarkan kesan titisan darah di tempat kejadian, mangsa dipercayai sempat berjalan selepas ditikam di leher oleh penyerangnya.
Katanya, berdasarkan siasatan awal di tempat mayat ditemui, besar kemungkinan mangsa ditikam di gerai tempat dia bekerja atau tidak jauh dari situ.

“Ketika ditemui orang ramai, mangsa meninggal dunia kerana mengalami kecederaan parah dengan sebilah pisau pemotong sayur masih tertusuk di lehernya.

“Dengan bantuan anjing pengesan, polis menjejaki tempat yang dipercayai mangsa ditikam penyerangnya berdasarkan kesan titisan darah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, mangsa dikatakan tidur di gerai menjual pakaian milik majikannya bersama seorang rakan sekerja berusia 25 tahun.

“Tiada sebarang kesan pergelutan di tempat mangsa ditemui dan siasatan di khemah gerai jualan tempat dia bekerja juga tidak mempunyai kesan pergelutan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, polis menahan rakan sekerja mangsa bagi membantu siasatan kes yang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Difahamkan, mangsa baru saja selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan berasal dari Betong.

Mangsa bekerja di gerai jualan pakaian di situ sempena Pesta Makanan 1Malaysia anjuran Persatuan Penjaja Cina Bahagian Bintulu yang berlangsung dari 15 November hingga 15 Disember ini.

Mayat dibawa ke Hospital Bintulu untuk bedah siasat dan polis meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu supaya tampil membantu siasatan.
Sumber : Harian Metro

Baca lagi >>

Demi sebuah komputer gadis rela muka melecur

Di Miri seorang remaja perempuan melecur di kaki, tangan dan mukanya ketika meredah api untuk menyelamatkan dokumen penting dan komputer riba di dalam biliknya yang dimamah api dalam kebakaran yang memusnahkan 38 unit kediaman di Rumah Panjang Ngindang di Skim Rancangan Sepupok, Batu Niah di sini, pagi semalam.

Menurut Cassi Napi, 18, ketika kejadian jam 7.45 pagi, dia baru bangun daripada tidur dan berada di bahagian belakang rumahnya sebelum terdengar ibunya menjerit menyelamatkan diri selepas menyedari rumah panjang itu terbakar. 

Katanya, sebaik masuk ke ruang tengah, kepulan asap tebal kelihatan dan bahang api mula terasa, namun dia cuba menyelamatkan sijil persekolahan serta komputer riba di dalam bilik tidurnya. 

“Bagaimanapun, ketika melangkah ke bilik, api marak tetapi saya nekad cuba mengambil sijil dan komputer riba hingga menyebabkan terpijak tikar getah yang hangus. 

“Bahang api yang terlalu panas menyebabkan kulit muka, tangan dan kaki saya melecur sekali gus menyebabkan saya tiada pilihan apabila terpaksa keluar bagi menyelamatkan diri,” katanya ditemui di tempat kejadian. 
Api dipercayai bermula dari sebuah unit kediaman bersebelahan, namun tidak pasti sama ada ia disebabkan api ubat nyamuk atau litar pintas berikutan ketika kejadian, tiga penghuni berusia sembilan tahun hingga 16 tahun di rumah itu sedang tidur. 

Hanya tujuh daripada 45 unit kediaman rumah panjang yang dihuni 329 penduduk itu terselamat.
Gambar hiasan
Dalam pada itu, Tuai Rumah Ngindang Entili, 67, berkata, ketika kejadian dia bersama isterinya baru saja hendak bersarapan sebelum dikejutkan dengan jeritan penduduk memaklumkan api sedang marak. 

“Kami cuba memadam api dengan mengambil air dari tasik berdekatan, namun semuanya sudah terlambat kerana api merebak dengan cepat sehingga membakar hampir keseluruhan rumah,” katanya. 

Tambah Ngindang lagi, kejadian sama pernah berlaku apabila 13 pintu di rumah panjang berkenaan musnah dalam kebakaran pada 1987. 

“Tak sangka insiden yang sudah pun berlaku sejak lebih 20 tahun lalu itu sekali lagi menimpa penduduk rumah panjang kami. 

Bagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa,” katanya. Sementara itu, Penguasa Balai Bomba dan Penyelamat Miri, Ali Bema Jeli berkata, dua jentera bersama 13 anggota bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan jam 8.15 pagi. 

Bagaimanapun, katanya, sebaik tiba api marak dan membakar 90 peratus daripada rumah panjang.
Sumber : Harian Metro

Baca lagi >>

400 usahawan baru Bumiputera sedia mengeksport tahun 2015

Persatuan Pengilang dan Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PPIPBM) menyasarkan lebih 400 usahawan Bumiputera berstatus  'sedia mengeksport' diwujudkan menjelang 2015.

Ia akan dilaksanakan menerusi program pembangunan dan promosi produk serta perkhidmatan industri kecil dan sederhana Bumiputera ke pasaran  Timur Tengah.

PPIPBM turut menjalinkan kerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) untuk membawa usahawan  Bumiputera meneroka pasaran antarabangsa menerusi program promosi yang akan dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun bermula tahun ini.
Setiausaha Agung PPIPBM Datuk Dr Mohd Noor Ali Akhbar berkata dana berjumlah RM5 juta telah diluluskan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk Matrade bersama PPIPBM bagi merancang dan melaksanakan aktiviti promosi eksport di pasaran timur tengah, khusus untuk usahawan Bumiputera.
Beliau berkata 70 peratus daripada dana tersebut sudah digunakan untuk melaksanakan program promosi hingga tahun hadapan dan berharap lebih  banyak dana disalurkan kepada PPIPBM bagi membantu usahawan yang berhasrat untuk meluaskan pasaran keluar negara.

"Kita bersetuju dengan cara agihan dana iaitu menerusi sistem pembahagian yang telus dengan penggunaan dana perlu mendapat persetujuan  kedua-dua pihak.

"Kita berharap penambahan dana sebanyak RM10 ke RM15 juta melalui Matrade," katanya pada sidang media bersama PPIPBM dan Matrade bagi  memperkasa usahawan Bumiputera.

PPIPBM dan Matrade berjaya melaksanakan enam aktiviti, rombongan dan galakan perniagaan ke Timur Tengah, yang menyaksikan jumlah jualan  sebanyak RM631.13 juta (US$202.76 juta) dikumpul.

Beliau berkata 10 lagi program promosi sudah dirangka untuk dilaksanakan tahun hadapan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Matrade berkata misi program tersebut bertujuan mewujudkan peluang perniagaan-kepada-perniagaan yang diyakini dapat  memastikan usahawan terus mendapat tempahan dan aktiviti perdagangan untuk jangka masa panjang.
Sumber : Bernama

Baca lagi >>

Kereta PM dilanggar tiada unsur jenayah

Seorang lelaki yang meletakkan sementara keretanya di laluan masuk ke Bangunan Parlimen untuk mengambil pas keselamatan, berdepan detik cemas apabila keretanya terundur dan terlanggar kereta rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Gambar hiasan
Lelaki berusia 20-an itu dikatakan terlupa menarik brek tangan kereta Volvonya menyebabkan kereta itu terundur dan terlanggar kereta Proton Perdana yang dinaiki Najib, menurut Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 9.50 pagi, bagaimanapun tiada kerosakan pada kedua-dua kereta, katanya.

"Perdana menteri juga tidak mengalami kecederaan dalam kejadian itu. Kereta rasmi perdana menteri ketika itu memasuki kawasan bangunan Parlimen," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di Kuala Lumpur hari ini.

Najib menghadiri persidangan Dewan Rakyat di bangunan itu. Mohmad berkata siasatan polis tidak mendapati adanya unsur jenayah.
Sumber : Bernama

Baca lagi >>

Sistem pendidikan Malaysia tercorot di belakang Vietnam?

Sistem pendidikan Malaysia kini menduduki tangga kedua terkebelakang di kalangan negara-negara Asia Tenggara menurut penarafan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA), kata Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli.

Menurutnya, kedudukan Malaysia yang corot di belakang Vietnam tidak dapat diterima kerana negara itu pernah melalui zaman perang dan ekonominya jauh lebih mundur berbanding Malaysia.

"Bukan sahaja Malaysia jauh ketinggalan dengan Singapura yang menduduki tangga kedua pencapaian di seluruh dunia, kini kita dikejutkan dengan peningkatan mendadak sekolah-sekolah di Vietnam yang mengatasi prestasi sekolah-sekolah di negara maju dan Eropah.
"Dalam tahun 2012, Vietnam berjaya memasuki tangga 10 negara teratas dalam mata pelajaran sains dengan menduduki tangga 8 mengatasi Amerika Syarikat, United Kingdom dan negara-negara Eropah lain," kata Rafizi dalam kenyataannya.
Menurut Rafizi, PISA adalah sebuah program penarafan mutu pendidikan di sekolah-sekolah yang dikendalikan oleh Pertubuhan Pembangunan dan Kerjasama Ekonomi (OECD) bagi pelajar-pelajar 15 tahun yang melibatkan negara-negara dari seluruh dunia.

Ia menguji kemampuan dan penguasaan pelajar dalam tiga bidang utama iaitu membaca, matematik dan sains.

Ubah sukatan pelajaran

Dalam penarafan tersebut Malaysia berada di belakang Singapura, Vietnam, dan Thailand dengan mata yang diperolehi bagi matematik sebanyak 421 mata, 398 mata bagi membaca, dan 420 mata bagi sains.

Purata mata bagi ketiga-tiga aspek yang dinilai itu adalah 494 (matematik), 496 (membaca) dan 501 (sains).

Menurut Rafizi, beliau menerima penjelasan rasmi Kementerian Pendidikan yang menggariskan sebab kecorotan itu.

Alasan diberikan adalah sikap murid yang menganggap penilaian itu tidak serius, format soalan teks panjang yang memerlukan pemahaman, terjemahan dan refleksi dengan kehidupan sebenar dan keutamaan guru untuk menghabiskan sukatan pelajaran berbanding menerapkan pemahaman konsep kepada pelajar.

"Kelemahan-kelemahan ini tidak boleh disalahkan kepada guru atau murid kerana mereka adalah sebahagian dari budaya pendidikan yang dibentuk melalui dasar-dasar yang mementingkan keputusan peperiksaan semata-mata, tidak memberi ruang kepada percambahan fikiran yang berbeza dan sistem imbuhan atau naik pangkat yang membuka ruang kepada budaya membodek," katanya.

Justeru beliau menggesa agar sukatan mata pelajaran diubah bagi memberi penekanan kepada pemahaman konsep serta menggantung sistem Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) bagi meneliti masalah-masalah sistem pendidikan.
Sumber : Malaysiakini

Baca lagi >>

1,402 orang Inspektor polis naik pangkat ASP

Kerajaan bersetuju menaikkan pangkat seramai 1,402 anggota polis berpangkat Inspektor kepada Asisten Superitenden Polis (ASP), mulai Januari depan.
    
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata kesemua mereka merupakan anggota yang sebelum ini berpangkat Cif Inspektor sebelum ditukarkan kepada Inspektor setelah jawatan Cif Inspektor dimansuhkan.
"Ini merupakan satu perkara yang ditunggu-tunggu terutama oleh Persatuan Inspektor Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan pegawai awam PDRM bersama Ketua Polis Negara di Melaka hari ini.
    
Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman.
    
Di majlis itu, beliau turut melancarkan sudut khas sejarah pegawai awam di Muzium PDRM bagi menghargai pegawai awam yang memulakan khidmat sejak penubuhan pasukan polis di bawah kerajaan British pada 25 Mac 1807.
    
Khalid berkata anggota polis berpangkat Inspektor yang lain akan menerima kenaikan pangkat berdasarkan tempoh perkhidmatan iaitu selepas 8 tahun.
    
Dalam pada itu, beliau berkata seramai 7,402 anggota polis telah ditugaskan menjalankan tugasan luar pejabat seperti rondaan apabila penjawat awam dari pelbagai kementerian mengambil alih tugas pentadbiran selepas proses penstrukturan semula PDRM pada 2010.
    
Bagaimanapun katanya pada masa ini terdapat lebih 500 anggota polis berpangkat ASP ke bawah di seluruh negara masih menjalankan tugas pentadbiran.
    
"Kita akan sentiasa melihat dari semasa ke semasa perjawatan-perjawatan yang boleh kita awamkan, kita ganti untuk pegawai awam ambil alih maka polis yang menjalankan tugas itu kita akan tugaskan mengawal keselamatan," katanya.

Sumber : Bernama

Baca lagi >>

TNB hanya pentingkan kantung pemegang saham

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin hari ini membantah kenaikan harga tarif elektrik 14.89 peratus setiap kilowatt yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari depan.
Menurut beliau, Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebagai agensi berkaitan kerajaan (GLC) sepatutnya menilai semula kesan itu dan perlu memikirkan tanggungjawab sosial dan khidmat kepada rakyat.

"Bagi Pemuda, kenaikan tarif yang tidak setara dengan peningkatan kos bahan api hanya menguntungkan TNB yang tampak mementingkan kantung pemegang saham, bukan rakyat jelata.
"Kepada TNB dan juga GLC yang lain, Pemuda mendesak janganlah terlalu mementingkan prestasi kewangan semata, tanggungjawab kepada rakyat jangan sesekali dilupa," kata dalam ucapannya di perhimpunan agung Pemuda Umno di Kuala Lumpur hari ini.

Kenaikan 14.89 peratus itu bersamaan 4.99sen setiap kilowatt, sekali gus menjadikan harga baru untuk sekilowatt 38.53sen. Harga semasa 33.54 sen sekilowatt.

Di Sabah dan Labuan pula, kadar baru naik sebanyak 16.9 peratus atau 5 sen daripada kadar semasa 29.52 sen/kWj kepada 34.52 sen/kWj.
Sumber : Malaysiakini

Baca lagi >>

Bil elektrik penggunaan bawah 300kWh tidak terjejas

Tarif elektrik di Semenanjung Malaysia naik sebanyak 14.89 peratus atau 4.99sen setiap kilowatt, menjadikan harga baru untuk sekilowatt 38.53sen.

Harga semasa 33.54 sen sekilowatt.

Di Sabah dan Labuan pula, kadar baru naik sebanyak 16.9 peratus atau 5 sen daripada kadar semasa 29.52 sen/kWj kepada 34.52 sen/kWj.

Kedua-dua kenaikan itu berkuatkuasa 1 Januari 2014, umum Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Maximus Ongkili (kanan) petang ini.

Sebelum ini, Tenaga Nasional Bhd meminta dagangan sekuritinya di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd digantung mulai 2.30 petang hingga 5 petang hari ini.

Penggantungan dua jam setengah itu dilapor sementara menunggu pengumuman utama syarikat tersebut hari ini, kata gergasi utiliti itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

Dalam sidang medianya di Parlimen hari ini, Maximus berkata, kerajaan akan terus memberi subsidi kepada pengguna domestik di Semenanjung, Sabah dan Labuan bagi penggunaan bawah 300 kWh sebulan.
Katanya, demi melindungi kebajikan pengguna domestik, terutamannya golongan berpendapatan rendah, kerajaan memutuskan tidak menaik tarif elektrik kepada 70.67 peratus atau 4.56 juta pengguna daripada keseluruhan 6.45 juta pengguna di semenanjung.

"Kerajaan akan terus membantu dengan memberikan rebat kepada pengguna-pengguna yang bil elektriknya berjumlah RM20.00 dan ke bawah sehingga 31 Disember 2014.

"Pada keseluruhannya, ekoran daripada pelaksanaan tarif baru ini, kerajaan masih perlu menanggung jumlah subsidi melalui pelepasan hasil peroleh gas asli sebanyak RM14 bilion setahun bagi semua pengguna elektrik di Semenanjung Malaysia, yang mana RM2.4 bilion setahun adalah khusus untuk pengguna domestik di bawah 300kWj sebulan.

"Manakala bagi Sabah dan Labuan angka ini mencatat jumlah sebanyak RM570 juta setahun di mana RM155 juta setahun adalah bagi kategori pengguna yang sama," katanya.

Dengan semakan tarik elektrik di Sabah dan Labuan, Maximus berkata, kerajaan bersetuju memperuntukkan bantuan kewangan sebanyak RM1.812 bilion dalam bentuk geran.

Katanya, ia tujuan untuk pelaksanaan projek pengukuhan infrastruktur baru yang kritikal termasuk Projek Talian Penghantaran Southern Link serta projek-projek kritikal perhubungan bagi tahun 2014 hingga 2016.

"Selain daripada bantuan tersebut, kerajaan juga sebelum ini telah memperuntukkan bantuan kewangan sebanyak RM230.6 juta bagi tempoh 2013-2014 untuk pembiayaan projek-projek pengurangan SAIDI (System Averange Interruption Duration Index) di seluruh Sabah," katanya.
Sumber : Malaysiakini

Baca lagi >>