Wednesday, 4 December 2013

Candi Lembah Bujang yang diroboh mesti dibina semula

Sebilangan candi di Lembah Bujang yang masih belum digazetkan sudah mula dimusnahkan sejak beberapa tahun lalu, kata ahli arkeologi selepas kemusnahan candi nombor 11 mendapat bantahan penduduk.

Pengerusi kumpulan kajian di kawasan itu, Datuk V Nadarajan, berkata candi Lembah Bujang yang dikatakan mula dibina sejak kurun ke-10 dan sesetengahnya sudah dirobohkan sejak beberapa tahun lalu tanpa pengetahuan umum.
Gambar candi nombor 11 pada 1996 yang kini tiada lagi selepas dirobohkan.
Bagaimanapun, katanya, beliau tidak dapat memberi jumlah sebenar candi yang sudah dirobohkan dan  masih banyak yang belum digazetkan sebagai kawasan sejarah.
"Terdapat candi yang musnah dan tidak dibina semula berhampiran candi nombor 11 di kawasan Sungai Batu.
Gambar candi nombor 11 pada 1996 yang kini tiada lagi selepas dirobohkan.
"Saya dapat tahu perkara ini daripada penduduk sekitar. Mereka memberitahu pemaju menjalankan kerja perobohan, membersihkan runtuhan dan meratakan tanah," katanya kepada The Malaysian Insider di Lembah Bujang semalam.

Nadarajan berkata, kemusnahan candi nombor 11 menarik perhatian media dan rakyat sehingga memerlukan tindakan tegas diambil.

“Jika tidak, pemaju akan terus berbuat demikian merosakkan warisan sejarah ketamadunan awal yang berkait dengan agama Hindu dan Buddha.

"Saya berharap dengan kejadian ini, lebih banyak usaha merekodkan bahan arkeologi di lembah ini dijalankan. Kerajaan perlu menghargai kawasan ini kerana ia kaya dengan sejarah dan ia sepatutnya dilindungi, bukan terus dirosakkan.
Serpihan batu dipercayai daripada candi yang diroboh dan dimusnahkan
"Dalam kajian terbaru Universiti Sains Malaysia, terdapat 127 tapak arkeologi di Kedah dan kira-kira 90 candi di Lembah Bujang," katanya.

Nadarajan yang juga bekas ahli Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) berkata, kerajaan negeri Kedah mesti mengarahkan pemaju membina semula binaan struktur itu seperti asal tanpa mengambil kira kos yang terlibat.

“Kerajaan negeri perlu menuntut ganti rugi ke atas pemaju," katanya.

Candi nombor 11 yang ditemui pada zaman kolonial British dibina semula pada 1974 oleh Jabatan Muzium.

Ahli Majlis MPSP, A Arumugam, berkata pemaju merancang membina kawasan perumahan dan projek diluluskan dua tahun lalu oleh kerajaan di bawah pentadbiran PAS.

“Pemilik tanah berselindung di sebalik pokok semasa kerja merobohkan candi itu pada September. Selepas kerja mereka selesai, pokok itu ditebang," katanya ketika ditemui di kawasan candi semalam.
Serpihan batu dipercayai daripada candi yang dirobohkan.
Beliau berkata, pemaju seharusnya lebih sensitif dan bertanggungjawab dan boleh melindungi candi itu dengan membangunkan projek di sekitarnya.

"Pemaju hartanah membeli kawasan itu dengan sedikit kerosakan candi. Mereka masih boleh membangunkan projek tetapi jangan diusik candi itu atau bina pagar bagi melindungi kawasan tersebut," katanya.

Pemimpin politik MIC di peringkat kawasan dan Makkal Sakti juga melawat kawaan itu pagi semalam bagi melihat kesan kerosakan.

Presiden Makkal Sakti, Datuk R S Thanenrhirran kecewa melihat kemusnahan itu.

"Candi ini tinggalan sejarah antarabangsa yang berlatarbelakangkan ketamadunan Hindu. Ia mesti dibina semula dan kawasan ini mesti digazet sebagai kawasan sejarah," katanya.

Beliau turut menggesa polis menutup kawasan itu bagi mengelak kerja merosakkan candi diteruskan.

Pengarah Pusat Kajian Arkeologi Global USM, Profesor Datuk Mokhtar Saidin, berkata struktur yang dirobohkan boleh dibina semula berdasarkan asasnya. 

Mukhriz arah kerja roboh candi Lembah Bujang dihentikan

Kontraktor yang merobohkan candi di Lembah Bujang telah diarahkan menghentikan kerja projek di tapak itu.

Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir berkata arahan itu disampaikan secara lisan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Dawai Datuk Tajul Urus Mat Zain dan pihak kontraktor memberikan kerjasama.

Walau bagaimanapun, beliau masih belum menerima laporan penuh kerja perobohan berhampiran Sungai Batu.

"Saya masih belum dapat memberikan butiran lanjut. Saya perlu melihat laporan penuh. Selepas ini saya akan adakan mesyuarat berhubung perkara ini bagi mengetahui apa yang sebenarnya berlaku di Sungai Batu.

"Nampaknya ada dua pandangan berbeza berhubung perkara ini. Adalah lebih baik saya mendapat perkembangan terbaru dalam perkara ini sebelum memberikan kenyataan, " katanya.

Kerajaan negeri Kedah berdepan tekanan supaya mengambil langkah pencegahan supaya kejadian berkenaan tidak berlaku lagi di Lembah Bujang setelah banyak candi bersejarah yang masih belum digazet telah dimusnahkan.

Candi yang musnah dilabel sebagai candi nombor 11 dikatakan wujud dari abad ke-8 dimusnahkan dua bulan lalu oleh pemaju yang merancang untuk membangunkan kawasan perumahan.

Perobohan dikatakan berjalan secara rahsia apabila candi itu terletak di kawasan ladang kelapa sawit.

Kejadian itu mendapat perhatian umum setelah kerajaan Kedah ditekan bagi memastikan pemaju membina semula struktur yang roboh.

Baca lagi >>

Kenapa dok 'kemut' sangat? tanya Shahrizat

Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil memberi 'amaran' kepada tiga menteri supaya memberikan lebih peluang kepada Wanita Umno menganggotai dalam agensi kerajaan yang diketuai mereka.

Jika tidak, Shahrizat berkata Pergerakan Wanita "tahu apa nak buat" kepada ketiga-tiga menteri tersebut - yang menang dalam pemilihan parti baru-baru ini.
Ketiga-tiga menteri itu adalah anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mereka diamanahkan untuk menjadi wakil Majlis Tertinggi (MT) bagi perhimpunan sayap yang dianggap menjadi tulang belakang parti terbesar Melayu itu.

Dalam ucapannya, Shahrizat mengucapkan terima kasih kepada Ismail yang juga menteri Pertanian dan Asas Tani dan Mustafa yang merupakan menteri perdagangan antarabangsa dan industri.

Ini kerana, mereka melantik dua wakil Wanita masing-masing terlibat dalam agensi kerajaan - Pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) .

AP untuk wanita

Shahrizat berkata beliau difahamkan Ismail juga melantik beberapa orang Wanita menganggotai GLC bawah kementeriannya.

"Tapi saya tengok orang lelaki, bila diberi satu (jawatan), dia kata 'oh, satu jawatan'. Yang dia ada empat (jawatan) tak apa.
"Kita (kalau boleh) masukkan empat dalam lembaga. Janganlah satu saja... Tidak mencukupi," katanya.

Walaupun memuji Mustapa kerana melantik Exco Wanita Datuk Noraini Ahmad (kiri) sebagai pengerusi Matrade, tetapi beliau mahu peluang perniagaan lebih kepada wanita termasuk pemberian permit khas (AP) kepada Wanita.

"Kenapa dok 'kemut' (kedekut) sangat. Tok Pa (Mustapa), kamu jangan dok buat muka selamba. Muka supaya saya jatuh belas kasihan. Kita sekarang ada 'black book', iaitu nak tahu menteri mana beri peluang kepada wanita dan yang tak bagi peluang.

"Yang mana bagi peluang, lagi sekali kita tau apa nak buat. Yang mana cakap tak serupa bikin, siaplah...," katanya sambil disambut gelak ketawa perwakilan.

Mengadap Jamil dalam 44 hari

Shahrizat juga bertanyakan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom supaya lebih memberi peluang kepada Wanita supaya menganggotai GLC Tabung Haji atau dalam anak syarikatnya.

"(Sekarang) tidak ada. Kita nak tiga (wakil) Wanita... Kita beri peluang, dalam tempoh 44 hari saya nak mengadap Datuk Seri Jamil Khir, mana calon-calon Wanita," katanya sambil diiringi gelak ketawa menggamatkan Dewan Tun Hussein Onn petang ini.
Sumber : Malaysiakini

Baca lagi >>

3 sebab Ustaz Kazim tolak jawatan MT UMNO

Kata pendakwah, Ustaz Mohammad Kazim Elias, ada tiga sebab kenapa beliau tidak mahu dilantik sebagai anggota Majlis Tertinggi UMNO. 
  1. Kerana ingin bergerak bebas dalam berdakwah.
  2. Mahu menumpukan pada sekolah yang ditubuhkannya, Pusat Pendidikan Al Barakah di Ipoh.
  3. Mahu menjaga imej UMNO.

Pengumuman itu dibuat dihadapan 2,000 orang yang menghadiri ceramahnya di Taman Ria di Sungai Petani malam tadi. 

"Saya tidak mahu dilabel oleh orang ramai mendapat bantuan Umno dengan menerima jawatan MT," kata Mohammad Kazim yang menemui Datuk Seri Najib Tun Razak Isnin lepas selepas perdana menteri dan presiden Umno mengumumkan pelantikannya itu baru-baru ini.
    
Mohammad Kazim berterima kasih atas tawaran perdana menteri itu namun tetap dengan keputusannya untuk tidak menerimanya.
"Saya dah bercakap dengan perdana menteri. Saya ini milik rakyat Malaysia dan bukan milik parti politik. Pengikut kuliah saya lebih suka saya bebas walaupun menyokong agenda perdana menteri yang berusaha memartabatkan Islam," katanya dalam ceramah itu.
Mohammad Kazim berkata dalam pertemuan selama sejam dengan Najib di bangunan Parlimen, perdana menteri memaklumkan tawaran untuk melantiknya sebagai anggota MT Umno dibuat selepas mendapatkan pandangan empat Mufti. 

"Perdana menteri memberitahu pelantikan saya adalah untuk memberi nasihat kepada ahli-ahli Umno dan memperkasakan agenda umat Islam dari peringkat sekolah rendah hingga menengah.
    
"Saya nampak perdana menteri sangat terbuka dalam hal agama dan meminta saya merangka satu sistem pendidikan terbaik bagi membentuk generasi muda menjadi orang yang lebih baik," kata Mohammad Kazim, yang merupakan antara sembilan orang yang dilantik ke jawatan itu pada 29 November lepas.
    
Beliau bagaimanapun tetap kecewa dengan tuduhan orang ramai dalam laman sosial dan blog yang melabelnya dengan pelbagai gelaran seperti syaitan bisu, anak babi, gila glamer dan mahukan duit melalui jawatan dalam MT.
    
"Saya belum lagi beri jawapan mereka dah maki hamun. Macam mana orang PAS yang dikatakan memperjuangkan Islam boleh kata macam tu? Sepuluh tahun saya berkecil hati dengan mereka kerana membuat tohmahan buruk terhadap saya.
    
"Masa Kedah diperintah PAS saya digam walaupun bukan ahli Umno. Poster gambar saya dilukis dengan bertanduk seolah-olah syaitan. Kemuncaknya mereka kata saya anak babi menyebabkan saya ambil keputusan meninggalkan PAS," katanya.

Sementara itu ketika ditemui di Pusat Pendidikan Al-Barakah di Kampung Manjoi, Ipoh, Mohammad Kazim memperjelaskan keputusannya menolak pelantikan itu bukan atas desakan pihak tertentu, sebaliknya demi menjaga nama baik Umno daripada terus difitnah. 
    
"Nanti orang kata perdana menteri dan Umno bagi duit kepada sekolah Al-Barakah. Saya tidak mahu guru dan pelajar saya dituduh. Kami bukan sekolah Umno dan kami pun tidak mahu Umno bantu sekolah kami, biar sekolah kami berjalan seperti biasa.
    
"Jika saya terima, orang akan kata Najib beri rasuah kepada Ustaz Kazim sebab itu dia (Najib) offer dan sebab itu sekolah (Al-Barakah) boleh berkembang. Nanti pelajar saya (akan) dikata, sedangkan kami tidak ambil dan Najib sendiri tidak sebut pun untuk beri," katanya.
    
Beliau juga menolak tawaran itu oleh kerana komitmennya untuk menguruskan hal pentadbiran pusat pendidikan tersebut yang ditubuhkan sejak tujuh tahun lepas dengan bilangan 1,000 pelajar dan 50 guru.
    
Mohammad Kazim turut menyangkal dakwaan kononnya keputusan beliau untuk keluar PAS adalah kerana mahu menyertai parti Umno.
    
Beliau berkata sebagai sebuah parti Islam adalah tidak wajar untuk mengajar pengikutnya membuat tuduhan melulu serta berburuk sangka terhadap orang lain.
    
"Sebenarnya saya bermain tarik tali di situ. Saya mahu tunjuk bagaimana berdolak-daliknya sikap pemimpin-pemimpin dalam parti (PAS), sekejap kata saya sudah dipecat, kejap kata masih ahli, kejap kata akan dipecat baru cadangan. Macam mana mahu uruskan parti, seperti ini tidak boleh buat," tegas Mohamad Kazim.
    
Katanya, beliau tidak memilih mana-mana parti, sebaliknya apa yang diperjelaskan adalah bersandarkan kepada al-Quran serta hadis dan walaupun tidak berada dalam Umno beliau terbuka dengan sebarang pandangan.
    
Beliau berkata pengumumannya untuk bersara daripada berceramah pada 28 November lepas tiada kena mengena dengan tawaran untuk menyertai Umno.
    
"Tujuan saya nak kurangkan ceramah di uar kerana saya sudah penat dan terlalu banyak masalah termasuk masalah kesihatan. Saya nak tumpukan pada sekolah. Saya takut jika saya aktif dalam MT Umno saya tidak boleh tumpu kepada pelajar kerana saya nak beri tumpuan untuk lahirkan lebih ramai pendakwah agama di sekolah saya," katanya.
Sumber : Bernama

Baca lagi >>

Tawar sagu hati RM200,000 kepada orang ramai

Syarikat pemaju hartanah Mega 9 Housing Sdn Bhd hari ini menawarkan sagu hati RM200,000 kepada orang ramai yang memberikan maklumat tepat berhubung kejadian tembak di pejabat urusannya di Mantin, di sini Rabu lalu.
Dalam kenyataannya, syarikat itu memberitahu bahawa sesiapa yang mempunyai maklumat itu boleh menghubungi Balai Polis Daerah Mantin untuk dikongsikan dengan pihak polis yang menjalankan siasatan.

Dalam kejadian pada 27 Nov lalu, beberapa das tembakan dilepaskan ke pejabat urusan pemaju hartanah terbabit yang terletak di Taman Bunga Raya, Mantin, di sini oleh individu tidak dikenali menyebabkan pintu kaca pecah dan dinding premis itu retak.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Nilai Supt Yusoff Awang berkata pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kejadian itu, dan berharap dengan penawaran sagu hati oleh pemaju terbabit, orang ramai yang mempunyai maklumat akan tampil membantu siasatan.

"Siasatan masih dijalankan bagi mengesan individu yang melepaskan tembakan itu dan motifnya dan kita (polis) tidak menolak ia mungkin dilakukan atau diupah oleh mereka yang tidak berpuas hati dengan syarikat tersebut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sumber : Harian Metro

Baca lagi >>

70 peratus pelanggan Celcom masih guna SMS

KHIDMAT pesanan ringkas (SMS) kekal sebagai medium yang sering digunakan oleh 4.5 juta pelanggan Celom selain segmen suara dan data.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Datuk Seri Shazalli Ramly berkata, lebih daripada 70 peratus pelanggan Celcom masih menggunakan perkhidmatan SMS dan tidak lebih 30 peratus menggunakan telefon pintar.
“Bagi mereka yang tidak mempunyai telefon pintar berkemungkinan mereka tidak tahu apa itu aplikasi whatsApp, di mana mereka hanya tahu SMS dan kerana itulah ciri-ciri SMS masih penting buat pelanggan asas kami.

“Cabaran kami adalah terus memberikan perkhidmatan terbaik melalui perkhidmatan digital mahupun yang lain bagi menyokong produk serta perkhidmatan baharu pada masa akan datang,” katanya ketika pengumuman laporan kewangan Celcom bagi suku ke tiga 2013 berakhir 30 September 2013.

Menurutnya, penembusan penggunaan telefon pintar di Malaysia masih belum mencapai 100 peratus, yang mana ramai lagi pengguna menggunakan perkhidmatan SMS.

Bagi suku ke tiga 2013 berakhir 30 September lalu, Celcom mencatatkan peningkatan 4.2 peratus bersamaan RM2.02 bilion berbanding RM2.01 bilion bagi suku sama tahun lalu.

“Pencapaian Celcom untuk suku ke tiga ini meletakkan keyakinan syarikat ke tahap tinggi dalam hala tuju bagi tahun 2013,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

Baca lagi >>

2 ekor Buaya ganas berjaya ditangkap oleh pawang buaya terkenal di Sarawak

Di Roban Sarawak, belum sampai sembilan jam, kail pancing berumpankan daging anjing dipasang oleh pawang buaya terkenal, Indet Senabong, 50, dari Empelawa Betong di Sungai Seblak berjaya menewaskan Bujang Lubok sepanjang 12 kaki pada awal pagi kelmarin, satu lagi mata kailnya yang dipasang di Lubok Kedur turut mengena sasaran yang kedua.

Kali ini buaya terbabit bersaiz lebih besar daripada Bujang Lubok iaitu sepanjang 16 kaki dan mempunyai belakang selebar tiga kaki.
Buaya jantan yang diberi jolokan Bujang Raja Hitam oleh Indet, berjaya ditewaskan di satu tempat yang dikenali penduduk setempat sebagai Lubok Kendur yang terletak lebih kurang 10 minit perjalanan dengan enjin pam dari Rumah Mawan Ason, Empayak, Roban.

Indet berkata, Bujang Raja Hitam yang ditumpaskan itu juga adalah sejenis buaya tembaga dan salah satu spesies buaya ganas.
“Ketika menundukkan Bujang Raja Hitam, saya mengambil masa lebih kurang satu jam untuk menangkap dan mengikatnya kerana ia begitu kuat, berat serta faktor air pasang menyukarkan untuk bergerak dan menariknya keluar dari dalam air.

“Bujang Raja Hitam berjaya ditangkap jam 5.30 petang Ahad (kelmarin) iaitu selepas selesai mengebumikan bangkai Bujang Lubok yang berjaya ditangkap pada jam 9 paginya,” kata Indet di sini semalam.

Menurutnya, penangkapan Bujang Raja Hitam terus merungkai kenyataan bahawa masih banyak buaya besar berkeliaran di Sungai Seblak yang kemungkinan memburu mangsa seterusnya.

“Melalui pengalaman saya sepanjang terlibat dalam menumpaskan buaya ganas ini, Bujang Raja Hitam mempunyai sejarah tersendiri.

“Berdasarkan beberapa tanda yang terdapat pada tubuhnya iaitu pada ekor, Bujang Raja Hitam terdapat empat koyakan pada bahagian atas ekornya membuktikan bahawa terdapat empat orang manusia menjadi mangsanya.

“Dari segi usia, berkemungkinan buaya itu berusia hampir 100 tahun,” ujar Indet.

Menceritakan serba sedikit mengenai kaedah dan petua menangkap buaya yang diamalkannya, Indet berkata: “Ia mempunyai banyak pantang larang”.

“Paling utama ialah kesabaran, jangan ego dan jangan celupar mulut.

“Setiap buaya memakan kail yang dipasang bukan buaya sembarangan.

“Buaya yang ditangkap itu adalah daripada kategori ‘berdosa’ sama ada terlibat secara langsung dalam menangkap manusia ataupun tidak.

“Maksudnya buaya yang menangkap dan membunuh manusia sudah pasti akan menyerah diri.

“Manakala bagi mana-mana buaya yang turut sama memakan bahagian daging manusia yang dibunuh akan turut berada dalam situasi yang berdosa dan bakal menerima akibat sama seperti berlaku kepada buaya menangkap manusia iaitu akan memakan umpan kail yang dipasang,” katanya.

Pada masa yang sama, ramai masyarakat percaya bahawa hakikat mimpi yang dialami dan diceritakan oleh Indet bermaksud buaya-buaya yang berdosa hanya akan memakan umpan yang dipasangnya setelah mangsa, Adrian Thomas, 32, dari Rumah Mawan Ason dibawa balik ke rumahnya dari Hospital Saratok dan dikebumikan.

Dalam usaha ini, Indet mengambil masa lebih kurang tujuh hari untuk menundukkan buaya-buaya terbabit.

Dengan penangkapan Bujang Raja Hitam, maka berakhirlah misi menangkap buaya dilakukan oleh Indet untuk mencari pemangsa yang membaham seorang nelayan sungai, Adrian.

Semua mata kail yang dipasangnya telah pun diangkat pada tengah hari semalam.

Begitupun, persoalan mengenai Bujang Seblak masih menghantui penduduk setempat, adakah buaya legenda itu masih wujud atau sebaliknya.
Sumber : Borneo Post

Baca lagi >>

Kereta terbabas sebab cuba himpit motosikal Polis

Subang Jaya: Biarpun cuba dilanggar dengan kereta dinaiki lima penjenayah, dua polis bermotosikal nekad mengejar suspek sebelum berjaya menahan dua daripada mereka yang dipercayai saki baki ahli ‘Geng Topeng’ di Jalan SS14/5D, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, dua anggota polis dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang melakukan rondaan mencegah jenayah terserempak sebuah kereta Proton Wira dinaiki lima lelaki tempatan berusia 20-an dalam keadaan mencurigakan. Menyedari kehadiran polis, suspek memecut laju dan dikejar hingga ke persimpangan Jalan SS14/8F kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, suspek kemudian bertindak agresif apabila cuba menghimpit motosikal anggota URB menyebabkan kereta dinaiki mereka hilang kawalan.
“Akibat tindakan itu, kereta suspek terbabas dan melanggar tembok dinding longkang berhampiran rumah penduduk di kawasan itu sebelum mereka termasuk seorang yang bersenjatakan parang melarikan diri.

“Tindakan pantas polis berjaya menahan seorang daripada mereka sebelum menahan seorang lagi kira-kira setengah jam kemudian. “Ketika ditahan, suspek pertama bertindak agresif kerana mahu mencederakan anggota polis untuk melepaskan diri, namun gagal,” katanya.
Seorang daripada dua suspek yang ditahan disoal anggota polis.
Yahaya berkata, soal siasat dilakukan mendapati suspek pertama berusia 25 tahun dan beralamat terakhir di Rumah Papan Salok Merah di Jalan Meru, Klang.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut terhadap kereta itu juga polis menjumpai lima parang panjang, empat jaket berlainan warna, tiga topeng, tiga sarung tangan, tiga telefon bimbit pelbagai jenama dan satu topi koboi.

Turut ditemui, satu pemutar skru, surat pajak gadai, sekeping kad pengenalan dan pemeriksaan juga mendapati kereta dinaiki suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu dan pernah dilaporkan hilang di Taman Sentosa, Klang pada 14 November lalu.

Katanya, suspek yang ditahan dibawa ke Balai Polis Subang untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dan bersenjata.

Menurutnya, polis juga sedang giat memburu tiga lagi suspek yang melarikan diri dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Sumber : Harian Metro

Baca lagi >>

Geng rompak dan rogol detik hitam 3 pagi

Kuala Terengganu: Samun dan rogol. Itu kejadian malang menimpa dua wanita apabila bukan saja disamun malah dilarikan sebelum dirogol dalam kejadian di sebuah inap desa di Jalan Kenanga, Dungun, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner K Manoharan berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 3 pagi ketika kedua-dua mangsa berusia 20-an bersama tiga rakan lelaki berusia 20-an dalam perjalanan pulang ke rumah.

Beliau berkata, sebaik tiba di kawasan Bukit Chantak, Dungun, kereta Proton Satria dinaiki mereka dihimpit dua kereta Honda dengan nombor pendaftaran WWW1861 dan sebuah lagi yang tidak dapat dikesan nombor pendaftarannya sebelum suspek mengarahkan mangsa memberhentikan kenderaan dengan memperkenalkan diri sebagai polis.

“Suspek kemudian mengarahkan mangsa mengikuti arahan mereka dengan seorang daripada mereka memandu kereta mangsa sebelum merampas lima telefon bimbit milik mangsa lalu beredar meninggalkan lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di Kampung Durian Mentagau, Dungun kira-kira jam 4.15 pagi, suspek yang memandu kereta Proton Satria milik mangsa melanggar pula sebuah kereta Perodua Kancil dipandu seorang lelaki berusia 25 tahun bersama abang dan kakak iparnya.
“Sebaik melanggar kenderaan itu, suspek turut melarikan wanita di dalam Perodua Kancil itu sebelum meninggalkan wanita itu kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian kedua. “Namun, suspek sempat menyamun sebuah telefon bimbit milik mangsa,” katanya. dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini, semalam.

Manoharan berkata, suspek sekali lagi memberhentikan kenderaan dan meninggalkan tiga lelaki bersama Proton Satria kira-kira empat kilometer dari lokasi mereka meninggalkan seorang wanita sebelum itu dan beredar bersama dua mangsa wanita yang dilarikan dalam kejadian pertama.

Katanya, kedua-dua wanita itu kemudiannya dirogol suspek utama berusia 31 tahun di sebuah inap desa sebelum mereka dirogol oleh dua lagi suspek yang tiba di inap desa beberapa jam kemudian.

“Bagaimanapun, kira-kira jam 10 pagi tadi (semalam), dua mangsa berjaya melarikan diri ketika suspek berada di kawasan Kampung Durian Mentagau dipercayai untuk menukar nombor pendaftaran kereta bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Susulan maklumat daripada dua mangsa masing-masing bekerja sebagai pelayan dan pekerja di sebuah kedai telefon bimbit, gerakan mengesan kesemua suspek dijalankan sekali gus membawa kepada penahanan dua suspek termasuk suspek utama dan seorang warga Indonesia berusia 30-an di sebuah rumah di Kampung Gong Pasir, di sini kira-kira jam 11.30 pagi tadi (semalam).

“Hasil siasatan awal mendapati dua suspek yang ditahan ini turut merogol kedua-dua mangsa. Siasatan mendapati suspek utama turut mempunyai rekod jenayah membabitkan samun bersenjata sebelum ini,” katanya sambil memaklumkan polis turut menemui sebuah kereta Honda dengan nombor pendaftaran WWW1861 di rumah berkenaan.


Manoharan berkata, kumpulan itu dikesan mula bertapak di Dungun dan Kemaman dengan menyasarkan lelaki dan wanita sebelum mangsa disamun dan dirogol. Katanya, selepas kejadian pertama dan kedua, suspek turut mengulangi jenayah sama apabila cuba melanggar sebuah kereta Honda Civic dinaiki pasangan suami isteri yang ketika itu dalam perjalanan pulang ke Kuala Terengganu. di lampu isyarat Bukit Teruna, Kijal kira-kira jam 1.55 pagi semalam.

“Namun, mangsa yang curiga dengan keadaan itu tidak memberhentikan keretanya sebelum melarikan diri,” katanya.
Menurut Manoharan, pihaknya kini sedang memburu lima lagi suspek dengan identiti empat daripadanya sudah pun dikenal pasti. dan percaya pihaknya dapat menahan kesemua suspek dalam masa terdekat. Sehubungan itu, katanya, polis mengesan tiga lelaki dikenali sebagai Wan Zazaliala Wan Hussin atau Zaza, 32, (bekas polis) dari Kampung Baru Pasir Akar, Jertih, Besut; Mohd Nuzul Mohamad atau Nuzul, 27, dari Kampung Baru Kiri, Kemasik, Kemaman dan Nazlie Ali atau Naza, 26, Kampung Padang Merchang, Kuala Terengganu.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan, Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 367 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang.
Sumber : Harian Metro, PDRM

Baca lagi >>