Monday, 2 December 2013

Pengawal keselamatan terlepas tembakan di kedai emas

Seorang pengawal keselamatan terlepas tembakan ketika sedang bertugas di sebuah kedai emas di Jalan Magazine, George Town, Pulau Pinang.

Dalam kejadian jam 1 petang tadi, pengawal keselamatan berusia 45 tahun terbabit ditahan untuk siasatan lanjut.

Tembakan terkena meja yang mempamerkan barang kemas.
Ketika kejadian, ada beberapa pelanggan dan pekerja di dalam premis.

Kesemua mereka tidak mengalami kecederaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Ismail Idris mengesahkan kejadian ini.

Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan.
Sumber : Berita TV9

Baca lagi >>

Tragis 3 beradik perempuan ditemui mati dipercayai dibunuh

Polis Kedah sedang memburu seorang remaja lelaki dipercayai kawan kepada Nor Syafikah Nadia Rusdi, 14, dipercayai dibunuh bersama dua adiknya dalam satu kejadian Jumaat lepas.
Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, remaja itu dipercayai berada di Arau, Perlis diperlukan untuk membantu siasatan polis berhubung pembunuhan itu.

"Polis mempunyai bukti-bukti terkini dan saksi yang membantu siasatan. Kes itu diklasifikasikan sebagai bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan."

"Saya yakin remaja belasan tahun ini dapat dikesan dalam tempoh terdekat," katanya selepas menyerahkan kereta Spanco Proton Preve kepada Ketua-Ketua Polis Daerah negeri Kedah di Ibu pejabat Kontinjen Kedah di sini.

Terdahulu misteri kehilangan tiga beradik jumaat lepas terjawab dengan penemuan mayat tiga beradik perempuan di dua lokasi berbeza masing-masing di Alor Senibung dan tali air Padang Petani, di sini, dalam masa 24 jam juga telah menimbulkan pelbagai tanda tanya berhubung motif kejadian.

Mayat mangsa pertama, Norsyafika Nadia Rusdi, 14, ditemui di sebuah kawasan sawah terbiar berhampiran Alor Senibong, di sini, iaitu kira-kira 12.2 kilometer dari rumah mereka yang terletak di Kampung Alor Semela pada jam 3.45 petang, kelmarin.
Kira-kira 24 jam kemudian, dua lagi adiknya, Nur Izzati Husna, 12, dan Puteri Nurul Akma, 3, ditemui kurang 100 meter antara satu sama lain di tali air Padang Petani, Langgar, di sini, kira-kira jam 4 petang, semalam.
Jarak lokasi penemuan mayat Norsyafika dengan lokasi penemuan mayat dua adiknya dianggarkan kira-kira 2.5 kilometer dan mayat mangsa pertama ditemui dalam keadaan separuh bogel.

Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata, laporan bedah siasat menunjukkan Norsyafika mati akibat lemas dan tiada kecederaan di bahagian kemaluan mangsa.
Menurutnya, polis mengklasifikasikan kes terbabit mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas mengesyaki wujud elemen mencurigakan dalam kes membabitkan kematian ketiga-tiga beradik itu.

“Kematian Norsyafika disebabkan faktor lemas, namun kami yakin punca mangsa lemas disebabkan faktor luar biasa termasuk membabitkan elemen jenayah.

“Kita ambil kira banyak faktor termasuk keadaan penemuan mayat yang mencurigakan di dua lokasi berbeza. Kita juga akan nilai semua aspek jenayah dan segala kemungkinan boleh berlaku.

“Justeru, kita klasifikasikan kes membabitkan kematian ketiga-tiga mangsa ini sebagai kes bunuh dan kita akan tunggu hasil laporan bedah siasat ke atas dua lagi mayat yang akan dijalankan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB),” katanya ketika ditemui di lokasi penemuan mayat mangsa di Padang Petani, semalam.



Difahamkan, ada saksi yang juga saudara terdekat mangsa mengakui ternampak ketiga-tiga beradik itu singgah seketika di sebuah kedai makan berhampiran rumah mereka kira-kira jam 9 malam, Jumaat lalu, sebelum masing-masing gagal dikesan dan ditemui mati.
Sumber : Kosmo, Harian Metro

Baca lagi >>

Pahang mula dilanda banjir

Kira-kira 100 penduduk dari perkampungan Orang Asli Kampung Kesing, di Rompin mula dipindahkan berikutan kawasan penempatan mereka dinaiki air berikutan hujan lebat sejak semalam.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, semua mangsa terbabit itu dipindahkan sejak 10 pagi tadi berikutan kawasan penempatan mereka dinaiki air sehingga satu meter.
Gambar hiasan
"Maklumat lengkap mengenai proses pemindahan dan pusat penempatan pemindahan itu masih belum diperolehi,,"katanya ketika dihubungi di sini.
Sementara itu, jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, pihaknya masih belum memperolehi maklumat lengkap berhubung proses pemindahan mangsa banjir terbabit.

Beberapa jalan utama di daerah ini mula dinaiki air akibat hujan lebat sejak tiga hari lalu sehingga mengganggu kelancaran lalu lintas.

Tambah jurucakap itu, laluan di KM28 Jalan Sungai Lembing-Kuantan berhampiran Jambatan Sungai Charu kini ditutup kepada semua jenis kenderaan berikutan dinaiki air melebihi satu meter disamping mengakibatkan hakisan tanah.

Dalam pada itu, Jalan Tanjung Lumpur dekat Sungai Soi dan Jalan Kuantan-Gambang di Paya Bungor turut dinaiki air akibat limpahan parit dan longkang.
Sumber : Bernama, Kosmo

Baca lagi >>

Lelaki tikam teman wanita kemudian tikam diri sendiri

Di Melaka seorang pekerja kafe siber wanita ditemui mati ditikam di sebuah rumah di Taman Limbongan Permai, Tengkera di sini pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 4.30 mangsa, Goh Meng Yee, 23, dipercayai mati ditikam oleh teman lelakinya selepas berlaku pergaduhan antara mereka.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abdul Rahman berkata, difahamkan, selepas menikam mangsa, suspek yang juga berusia 23 tahun itu kemudian bertindak pula menikam diri sendiri.
"Polis yang sampai di tempat kejadian selepas menerima maklumat daripada orang awam kemudian menemui mangsa telah mati dengan kesan tikaman di perut dan turut menemui sebilah pisau rambo bersebelahan mayat mangsa.

"Sementara suspek yang cedera selepas menikam diri sendiri telah dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan," katanya ketika ditemui semalam.

Kata Salehhudin, suspek yang menerima rawatan turut ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tambahnya, setakat ini polis masih menjalankan siasatan mengenai motif kejadian.

Difahamkan, kejadian berlaku di rumah milik keluarga suspek dan semasa itu keluarga suspek tiada di rumah.
Sumber : Kosmo!

Baca lagi >>

Berikan masa 9 bulan untuk balik Malaysia janji Aisyah

Siti Aishah Abdul Wahab yang dikatakan dijadikan hamba selama 30 tahun di London berjanji akan pulang ke Malaysia selepas sembilan bulan, kata kakaknya, Kamar Mahtum.
Kamar Mahtum, 79, yang ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejurus tiba dari London berkata semasa pertemuan beliau dengan Siti Aishah di satu lokasi rahsia di sana Khamis lepas, adik bongsunya itu berjanji akan balik secepat mungkin selepas kerjanya di sana selesai.
"Dia banyak aktiviti di sana, di sana dia buat kerja-kerja sukarelawan membantu orang tapi saya sudah pujuk dia supaya pulang ,” katanya yang tiba di KLIA bersama-sama aktivis politik Hishamuddin Rais kira-kira 7.40 pagi ini.

Katanya, beliau lega apabila melihat adiknya sihat dan gembira berada di sana kerana menurut laporan akhbar seolah-olah Siti Aishah tidak sihat.

"Dia sihat fizikal dan lebih gemuk dari saya, dia juga merindui keluarga di Malaysia namun katanya keringatnya untuk membantu orang susah di sana masih diperlukan,” katanya. 
Sumber : Bernama

Baca lagi >>

Ustaz Kazim sudah lama disingkir PAS

Naib presiden PAS berkata pendakwah Mohammad Kazim Elias yang dilantik ke jawatan Majlis Tertinggi Umno telah disingkirkan dari parti tersebut pada Mei lalu.

Tuan Ibrahim, dalam kenyataannya kepada Sinar Harian, mengulas kenyataan ketua Pemuda PAS Perak Raja Ahmad Iskandar pada hari Sabtu lalu yang berkata Mohammad Kazim menganggotai parti Islam tersebut sejak 1998.

Kenyataan Tuan Ibrahim itu juga bagi menjelaskan pendirian Mohammad Kazim yang dilaporkan masih yakin bahawa beliau masih ahli PAS.

Mohammad Kazim dalam satu rakaman video Agendadaily.com menyebut, beliau tidak menerima sebarang surat pemecatan jawatan.
Masalah berhubung sikap Kazim ke atas PAS mula dikesan sejak Mei 2011 apabila beliau didapati sering mengkritik parti Islam tersebut dalam soal kerjasama dalam Pakatan Rakyat.
Satu tulisan di blog kelolaan Dewan Ulama PAS Perak pada 28 Mei 2011 menyebut, Muktamar Dewan Ulama PAS Negeri Perak pada 14 Mei 2011 meluluskan usul memecat Kazim kerana menjadi "duri dalam daging" atas kritikannya ke atas parti itu.

Menurut usul yang dimuatkan dalam blog tersebut, langkah tersebut bagi mengelakkan Kazim "tidak merosakkan fahaman Umat Islam termasuk sebahagian ahli PAS sendri yang terpengaruh dengan kepetahannya berpidato".

Sementara itu pesuruhjaya PAS Perak Abu Bakar Hussain berkata keahlian seseorang anggota itu akan gugur secara automatik sekiranya menerima pelawaan Umno seperti itu.

"Memang benar beliau masih ahli PAS. Walaupun ada ura-ura dipecat, (pemecatan) belum secara rasmi.

"Sekiranya beliau menerima pelawaan Umno (menjadi ahli majlis tertinggi) itu, keahliannya secara automatik gugur tanpa perlu surat pemecatan dari PAS," katanya seperti dipetik Sinar Harian.
Sumber : MalaysiaKini

Baca lagi >>

Umur baru 40 Brian O'Conner watak filem Fast & Furious maut dalam kemalangan

Dengan umurnya baru mencecah 40 tahun dan nilai kekayaan sekitar 45 juta Dollar US pelakon utama filem Fast & Furious, Paul Walker dilaporkan terbunuh dalam satu kemalangan tengah hari semalam di Selatan California, lapor TMZ.
Kemalangan berlaku di Santa Clarita, apabila Porsche dinaiki Paul dan kawannya terbabas lalu melanggar pokok.

Kereta berkenaan terbakar dan meletup. Pihak berkuasa masih menyiasat punca kemalangan itu.
Dia adalah penumpang di dalam kereta tersebut dan kawannya Roger Rodas memandu kereta itu. Kedua-dua mereka terbunuh ditempat kejadian.

Kemalangan itu berlaku pada jam 3.30 petang 30 November waktu tempatan.

Menurut sumber, Paul berada di Santa Clarita untuk majlis amal pertunjukan kereta bagi menyokong mangsa bencana alam di Filipina.

Paul membawa kawannya menaiki Porsche GT barunya dan kemalangan berlaku semasa salah satu pusingan ujian tersebut.
Tweeter Rasmi Paul Walker yang mengesahkan kematiannya.
"Kereta telah terbakar dengan api yang marak," kata Antonio Holmes, seorang kawan Walker yang berkejar ke tempat kejadian selepas mendengar mengenai kemalangan itu. "Tiada apa-apa yang boleh dibuat. Mereka terperangkap."
Holmes beritahu beliau adalah antara sekumpulan orang-orang yang muncul di tempat kejadian dengan alat pemadam api dan cuba untuk menyelamatkan Walker dan pemandu. "Kami telah cuba. Kami telah cuba, "katanya kepada pemberita.

"Dia dan rakannya seorang kawan rapat yang hanya membuat keputusan untuk memandu suka-suka, membuat ujian pusingan. Sesuatu yang kita semua lakukan."

Jim Torp, yang juga ada di majlis itu yang mengenal pasti mangsa kedua sebagai Roger Rodas, pelumba pro dan bapa kepada dua orang anak pemilik Always Evolving Performance Motors. Torp menceritakan bagaimana anak lelaki Rodas yang berusia 8 tahun cuba untuk menyelamatkan ayahnya.
Kereta yang Walker naiki yang terlibat dalam kemalangan.
Tambah Torp lagi, "Saya berlari ke sana selepas itu, saya cuba untuk mencari anak Roger, saya dapati anaknya telah melompat pagar dan pergi ke sana, beliau telah cuba untuk selamatkan ayahnya. Rakan baik Paul Walker juga telah cuba untuk keluarkan Paul dari kereta semasa api masih marak... dia cuba untuk menyelamatkan kawannya... tiada apa-apa yang dia boleh lakukan."

"Sungguh aneh," kata Torp. "Walker berlakon dalam filem itu. Beliau hidup seperti itu dan mati Fast and Furious hari ini. Beliau sukakan kelajuan, suka kereta, dan dia telah mati dengan cara ini. Beliau mati di dalam kereta yang laju dengan kawannya."

Koroner Ed Winters berkata mayat 2 orang itu begitu teruk terbakar dan mereka perlu mengambil masa untuk mengenal pasti mayat.
Sumber : Sinar Harian, NY Daily News

Baca lagi >>