Sunday, 1 December 2013

Aishah yang menjadi hamba selama 30 tahun di London berjanji akan pulang Malaysia

Siti Aishah Abdul Wahab yang dikatakan dijadikan hamba selama 30 tahun di London berjanji akan pulang ke Malaysia selepas sembilan bulan, kata kakaknya, Kamar Mahtum.
Kamar Mahtum, 79, yang ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejurus tiba dari London berkata semasa pertemuan beliau dengan Siti Aishah di satu lokasi rahsia di sana Khamis lepas, adik bongsunya itu berjanji akan balik secepat mungkin selepas kerjanya di sana selesai.

"Dia banyak aktiviti di sana, di sana dia buat kerja-kerja sukarelawan   membantu orang tapi saya sudah pujuk dia supaya pulang ," katanya yang tiba di KLIA bersama-sama aktivis politik Hishamuddin Rais kira-kira 7.40 pagi ini.
Katanya beliau lega apabila melihat adiknya sihat dan gembira berada di sana kerana menurut laporan akhbar seolah-olah Siti Aishah tidak sihat.

"Dia sihat fizikal dan lebih gemuk dari saya, dia juga merindui keluarga di Malaysia namun katanya keringatnya untuk membantu orang susah di sana masih diperlukan," katanya.

Sabtu lepas, media melaporkan wanita berusia 69 tahun itu antara tiga wanita yang dibebaskan daripada perhambaan pada 25 Oktober lepas di selatan London, selepas seorang daripada mereka menghubungi pertubuhan kebajikan. Dua wanita lain ialah warga Ireland dan Britain.

Siti Aishah berasal dari Jelebu, Negeri Sembilan dan meninggalkan negara pada 1968 untuk melanjutkan pelajaran di London School Economics di United Kingdom.

Namun ketika berada di sana, dia dikatakan terpengaruh dengan pergerakan Maoist iaitu politik melampau sehingga mengabaikan pelajarannya.

Sementara itu ketika diminta mengulas mengenai status agama Siti Aishah, Kamar Mahtum berkata: "Dengan saya dia sudah bagi tahu tapi antara dia dengan Allah hanya dia sahaja yang tahu".
Sumber : Bernama

Baca lagi >>

Kerajaan Selangor yang jujur, bersih rasuah layak naik gaji komen Dr Asri

Anggota pentadbiran kerajaan yang jujur, bebas rasuah dan memiliki kemampuan kewangan kukuh layak menerima kenaikan gaji, kata bekas Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Mengikut perspektif Islam, beliau berkata, langkah itu mampu membendung Menteri Besar, Speaker dan Timbalan Speaker, Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri itu dari terjebak dalam rasuah.

“Kalau soal akauntabiliti itu betul-betul sudah ditekankan, kemudian dinaikkan gaji sebagai  satu lagi langkah mengangkat akauntabiliti, tidak mengapa.

“Tidak kira Menteri Besar, ADUN atau Ahli Parlimen sekalipun boleh naik gaji kalau benar terbukti mereka tidak pernah ambil apa-apa keuntungan  selain gaji mereka semata-mata,” katanya kepada Selangor Kini.
Bagaimanapun, beliau berkata, sesebuah kerajaan negeri harus terlebih dahulu mengkaji sama ada kenaikan itu memberi kesan negatif dari sudut ekonomi kepada rakyat.

“Bukan Selangor sahaja naik gaji, Ahli Parlimen, Perdana Menteri juga akan naik gaji pada tahun hadapan. Sebelum ini, Sarawak juga naik gaji lebih tinggi dari Selangor.

“Ada laporan 300 peratus kenaikan gaji di Selangor, memanglah. Saya mula-mula terkejut tetapi bila teliti gaji lama memang sangat rendah,” katanya.

Dr Asri berkata, langkah menaikkan gaji sama ada pemimpin negeri atau negara untuk mengelakkan rasuah bukan baru, malah ia dipraktik di Singapura dan negara maju lain.

Katanya,  tuduhan kenaikan itu tidak wajar kerana ada rakyat masih berada di bawah paras kemiskinan tidak timbul kerana ia memudahkan pemimpin membantu golongan sedemikian.

“Dalam kerangka politik Malaysia, perbelanjaan ahli politik besar sebab ramai rakyat datang minta duit. Walaupun bukan wajib diberi tetapi dalam pengurusan politik selalunya bagi juga, tidak banyak sedikit.

“Bukan YB sahaja, tokoh lain seperti tokoh agama, selebriti pun begitu, orang jumpa orang minta. Kalau gaji rendah, untuk keluarga sendiri tak lepas. Sebab RM10,000 bukan besar untuk seorang tokoh yang ke sana ke mari,” katanya.

Sebaliknya, Profesor Madya Fakulti Pengajian Islam di Universiti Sains Malaysia (USM) itu, berkata kenaikan berkenaan menjadi sia-sia dan tidak adil kepada rakyat jika gejala rasuah berlaku dalam pentadbiran negeri.

“Selangor ada beberapa kelebihan. Pertama, duit  banyak. (Tapi) sebab Selangor negeri Pakatan Rakyat, jadi banyak mata tertumpu. Ini bagus sebab menjadikan mereka lebih berhati-hati,” katanya.

Dr Asri berkata, wang rizab Selangor yang ketika ini hampir mencecah RM3 bilion pula mampu memberi manfaat besar kepada segenap lapisan rakyat.

“Selangor sebuah negeri yang efisyen dari sudut laporan audit dan sebagainya. Tiada kes rasuah disabitkan dan pendapatan tinggi. Cuma kena fikirkan bagaimana nak belanjakan duit yang banyak itu kepada rakyat,” katanya.
Sumber : Selangor Kini

Baca lagi >>

Kisah mangsa rogol penuh derita dan trauma

Selepas menjadi mangsa rogol kira-kira tiga bulan lalu, seorang remaja berusia 19 tahun kini hidup menderita, sering menyendiri dan hilang keyakinan.

Lebih malang, dia menggigil ketakutan apabila didekati mana-mana lelaki biarpun hanya rakan sekerja.
Laporan polis yang pernah dibuat Rhana di Balai Polis Kuala Terengganu.
Disebabkan trauma, mangsa yang merupakan seorang jurujual di sebuah pasar raya di Bandaraya Kuala Terengganu lebih selesa mengasingkan diri daripada rakan serumahnya kerana bimbang kejadian menimpanya diketahui ramai.

Rhana (bukan nama sebenar) dari Hulu Terengganu mendakwa, dia dirogol awal pagi pada 25 Ogos lalu oleh seorang lelaki yang dikenalinya sejak setahun lalu selepas keluar bersama.
Kata Rhana, dia tidak menyangka lelaki yang dianggap baik itu sanggup melakukan perbuatan terkutuk setelah berjaya memujuknya untuk ke sebuah rumah di Bukit Payung di sini.

Menurutnya, akibat cetek pengalaman dia terperangkap dan akhirnya rebah dengan pujuk rayu lelaki terbabit yang hanya dianggap sebagai kawan biasa.

“Sebelum itu, kami tak pernah keluar bersama, hanya berhubungan melalui SMS walaupun mengenali sejak setahun lalu.

“Saya takut dan tak biasa buat begitu (keluar dengan lelaki) tambahan tinggal menyewa dengan kawan-kawan di Kuala Terengganu,” katanya.

Kata Rhana, dia amat kesal menerima pelawaan lelaki itu untuk keluar minum pada hari kejadian.

Kejadian itu menghantui hidupnya sehingga tidurnya terganggu.

“Saya masih ingat bagaimana lelaki itu mengugut saya ketika berada di sebuah rumah sebelum bertindak merogol saya,” katanya.

Setiap kali teringatkan reaksi lelaki itu ketika menghantarnya pulang ke Kuala Terengganggu pada hari sama, kemarahannya mula membuak-buak.

“Saya sedih dan marah melihat lagak lelaki terbabit yang bersahaja seperti tiada apa-apa yang berlaku ketika dia menghantar saya pulang.

“Saya tak tahu hendak buat apa, hanya fikir nasib diri serta tragedi menimpa saya. Selepas berkongsi kisah dengan dua rakan, saya dinasihatkan agar beritahu ahli keluarga dan saya akhirnya beritahu kakak,” katanya.

Katanya, selepas kejadian diketahui kakaknya, dia kemudian membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu kira-kira jam 2.05 petang sebelum kes tersebut disiasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Marang.

Bagaimanapun, kata Rhana, dia terpaksa menarik balik laporan dibuat apabila memikirkan perasaan kedua ibu bapanya yang sudah tentu akan menanggung malu dan terkejut.

“Nasihat saya kepada rakan, belajarlah daripada pengalaman orang lain kerana dengan cara itu ia dapat membantu kita menjaga maruah diri dan tidak mudah diperdayakan,” katanya.
Sumber : Sinar Harian

Baca lagi >>

Berhati-hati jika mahu tolong orang tepi jalan

Niat baik seorang pemandu lori membantu seorang wanita yang ditimpa kesusahan selepas kenderaan dinaiki rosak bertukar mimpi ngeri apabila diperangkap sebelum dirompak dua lelaki yang menggunakan wanita itu, dalam kejadian di Batu 15, Siburan, Kuching.
Gambar hiasan
Kejadian berlaku pada kira-kira jam 2.45 pagi ketika mangsa dikenali sebagai Lee, 30, dari Serian memandu Perodua Kancil dalam perjalanan pulang dari bandar raya sebelum terserempak wanita itu yang berdiri di sebelah kereta dengan memasang lampu kecemasan kononnya kenderaan dinaiki rosak.

Menurut Lee, kasihan melihat wanita terbabit berseorangan, dia memberhentikan kereta untuk menghulurkan bantuan tanpa mengesyaki ia sebenarnya perangkap.
“Saya langsung tidak terfikir wanita terbabit digunakan sebagai perangkap untuk menarik perhatian pengguna jalan raya berhenti menghulurkan bantuan.

“Sebaik keluar dari kereta, saya menghampiri wanita itu bertanyakan masalah dihadapi tiba-tiba dua lelaki keluar daripada semak sebelum menahan saya.

“Seorang daripada mereka memegang pintu kereta, manakala seorang lagi mengeluarkan senjata sambil mengarahkan saya menyerahkan barangan berharga,” katanya.

Katanya, dia terkejut kerana tidak menyangka menjadi mangsa samun sebelum menyerahkan semua barangan berharga bagi mengelak dicederakan.

“Perompak terbabit mengambil beg sandang mengandung RM5,320 milik syarikat selain telefon bimbit sebelum melarikan diri bersama wanita itu,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Siburan.

Jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan dan siasatan masih dijalankan.
Sumber : Harian Metro

Baca lagi >>

Ada 168 orang Bilionair di China

China mencatatkan 168 orang bilionair dalam senarai Forbes China Rich 2013, meningkat daripada 113 taikun tahun lepas, demikian menurut senarai yang dikeluarkan pada Rabu.
   
Jumlah kekayaan taikun di dalam negara turut mengukuh 35 peratus daripada tahun sebelumnya kepada US$570 bilion, kata agensi berita Xinhua.
Sejak dekad lepas, China telah menjadi "rumah" kepada antara populasi bilionair paling pesat berkembang di dunia.
   
Wang Jianlin, Pengerusi Dalian Wanda Group, antara usahawan hartanah terbesar di China mendahului senarai tahun ini dengan kekayaan bersih US$14.1 bilion.
Wang Jianlin
Wang mengalahkan orang terkaya tahun lepas, taikun minuman China, Zong Qinghou, Ketua Pegawai Eksekutif Wahaha Co Ltd.
   
Zhou berada di tempat kedua dengan jumlah harta kekayaan bernilai US$11.2 bilion.
   
Turut berada di dalam senarai ialah peserta dalam industri telefon mudah alih dan dalam talian, termasuk Li Yanhong, Ketua Pegawai Eksekutif Baidu, enjin pencari terbesar China dengan kekayaan US$11.1 bilion, di tempat ketiga.  
Sumber : Bernama

Baca lagi >>

Penternak kejam siat bulu arnab hidup-hidup

Penternak arnab di China sanggup bertindak zalim menyiat bulu haiwan itu demi keuntungan berganda.

Dalam keadaan kaki dan tangan diikat, bulu arnab disiat dua hingga tiga bulan sekali selama 5 tahun. Selepas itu, arnab dibiarkan pulih dalam sangkar kotor hingga ada yang terkena jangkitan.

Pengarah hak asasi haiwan Peta Britain Mimi Bekhechi berkata, arnab berusia dua dan lima tahun dibunuh jika bulunya tidak tumbuh.

Rakaman di bawah ini dilakukan secara rahsia telah mendedahkan tentang kekejaman yang mengerikan di ladang bulu Angora.


Video menunjukkan arnab menjerit dalam kesakitan selepas disiat bulunya hidup-hidup oleh pekerja.

Diikat pada bangku kayu, arnab berbulu putih cantik itu diregangkan untuk memastikan mereka tidak bergerak.
Pekerja ladang kemudian mencarik bulu arnab dengan menggunakan tangan.
Proses ngeri ini meninggalkan kesan darah yang masih menitis pada bangku, tanpa menghiraukan arnab yang kesakitan.
Seorang pekerja ladang mengakui yang 60 peratus daripada arnab yang disiat kulitnya mati dalam masa setahun atau dua tahun.

Setelah disiat bulunya sehingga botak, mereka kemudian diletakkan kembali ke dalam sangkar dawai yang kecil, yang mencederakan kaki sensitif mereka.
Dikatakan arnab yang mengalami trauma sudah tidak mampu bergerak selepas kembali ke sangkar mereka yang kotor.

Arnab ini tidak diberikan peluang untuk berlari, melompat atau bermain seperti arnab lain di dunia.

Ben Williamson, jurucakap PETA, berkata: "Sembilan puluh peratus daripada Angora di dunia datang dari China.

"Kemungkinan jika anda membeli Angora, ia datang dari China.

"Hampir separuh daripada ladang-ladang yang dilawati oleh penyiasat kami di Asia, mereka melihat proses kejam ini berlaku."

PETA mendakwa China tidak mempunyai undang-undang bagi penderaan haiwan dan tidak ada sistem yang mengawal rawatan haiwan.

"Kami memboikot baju sejuk atau selendang tertulis Angora," kata Mimi Bekhechi.
(Sumber : Daily Star dan Mail Online hasil terjemahan Berita KL)

Baca lagi >>

Model baru ganti Perodua Viva tahun 2014

Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) akan mengeluarkan model baru menjelang suku ketiga tahun depan dan dijangka mencipta pasaran baharu, kata presiden dan ketua pegawai eksekutif, Datuk Aminar Rashid Salleh.
Kemungkinan rekaan asas diambil daripada Daihatsu Ayla.
Beliau berkata, Perodua akan terus menekankan dan melabur untuk meningkatkan kualiti, kos dan penghantaran model baru itu dan menjangka menjualnya pada harga yang paling mampu dimiliki.
Kemungkinan lain rekaan asas diambil daripada Toyota Agya.
Kereta yang bakal ditawarkan itu juga lebih efisien dengan dilengkapkan ciri keselamatan. 
"Sama ada ia akan menjadi yang paling murah di pasaran, bergantung kepada masa, tetapi kami pasti akan mengeluarkan model yang paling cekap dari segi bahan api di kalangan model-model kami dan harganya sama dengan model termurah kami atau lebih rendah," katanya kepada pemberita.

Model asas Viva yang berada di pasaran kini berharga RM24,900 atas jalan raya.

Aminar Rashid berkata, Perodua telah menyelesaikan kajian daya maju untuk mengeluarkan kereta kompak sedan.

"Kami akan terus mengeluarkan kereta kompak dan memanfaatkan kekuatan kami sebagai pembuat kereta kompak," katanya.

Perodua juga telah melabur RM1.3 bilion untuk membina sebuah kilang baru yang akan mengeluarkan model terbaru nanti. Tapak kilang baru seluas 65,000 kaki persegi yang akan ditempatkan bersebelahan kilang pembuatan sedia ada di Sungai Choh, Rawang utara dan akan beroperasi pada pertengahan tahun 2014.

Kilang baru itu akan dapat menambah 100,000 unit kapasiti pengeluaran tahunan Perodua.
Sumber : BERNAMA, Paultan, mStar

Baca lagi >>